Isu Projek 1BestariNet KPM – Ini setakat mana yang diketahui

Akhir-akhir ini dunia pendidikan agak kecoh. Ini gara-gara surat yang dikeluarkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) meminta para guru membuat sandaran data Frog VLE.

Desas-desus muncul mengatakan kontrak projek 1BestariNet yang diberikan kepada YTL Communications tidak lagi disambung setelah fasa 2 berakhir pada 30 Jun 2019 nanti.

Bagi yang baru mengenali 1BestariNet, ia merupakan satu projek pembekalan Internet berkelajuan tinggi KPM serta platform untuk pembelajaran bermula 2011 mengantikan projek SchoolNet.

Dalam perancangan asal, projek 1BestariNet mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan melibatkan beberapa fasa. Sehingga 2025, ia bakal menelan belanja sehingga lebih RM4 bilion.

Pasca PRU 14, NST melaporkan Menteri Pendidikan telah memaklumkan projek ini sedang disemak semula susulan beberapa isu yang telah dikenalpasti.

‘Interim’

Menurut sumber dalaman, semalam telah sah fasa seterusnya projek ini bakal ditangguhkan (setelah tamat Fasa 2 pada 30 Jun). Ini berdasarkan satu edaran surat kepada Pengarah-Pengarah JPN Negeri serta agensi berkaitan.

Difahamkan penangguhan ini adalah untuk sementara waktu bagi pihak KPM memutuskan hala tuju baharu rangkaian ICT mereka. Ianya mungkin berpunca daripada banyak aduan yang melibatkan penyedia sebelum ini.

Sehingga 31 Disember 2019, segala bekalan Internet kepada pihak sekolah akan disediakan secara ‘interim’ daripada tiga ISP terpilih iaitu TM, Celcom Axiata dan Maxis.

Agak menarik strategi yang dipilih kali ini. Sekurang-kurangnya ketiga-tiga penyedia ini diuji sebelum pihak KPM memutuskan penyedia yang layak untuk fasa seterusnya setelah tamat tempoh interim.

Ini juga membuatkan ketiga-tiga penyedia ini bersaing untuk memberikan perkhidmatan terbaik yang sudah pasti menguntungkan lebih 10,000 buah sekolah dan organisasi pendidikan yang terlibat.

Cumanya, saya menjangkakan proses transaksi ini akan mewujudkan keadaan yang sedikit ‘huru-hara’ jika tidak ditangani dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab.

Frog VLE

Frog VLE disediakan oleh pihak YTL Communications sebagai salah satu platform pembelajaran dalam talian. Sebenarnya, terdapat banyak sekolah yang menggunakannya dengan berkesan.

Sudah tentu mulai 1 Julai ia bukan lagi platform rasmi KPM. Namun, saya difahamkan ianya masih boleh terus digunakan jika guru-guru masih berminat dengannya.

Terdapat ura-ura juga mengatakan satu platform alternatif akan diperkenalkan untuk tujuan tersebut dalam tempoh ini. Ianya sebuah LMS sedia ada popular yang ditawarkan dari salah satu gergasi teknologi digital.

Persoalan

Saya dihujani dengan pelbagai pertanyaan daripada rakan dan ramai juga yang sedang melakukan kajian mengenai perkara ini untuk peringkat sarjana dan Ph.D. Perkembangan terkini ini sudah pasti diikuti rapat oleh mereka.

Penamatan Fasa 2 projek 1BestariNet, tempoh interim serta mungkin pemberian kontrak baharu selepas interim amat menarik untuk dilihat. Ia juga menimbulkan beberapa persoalan kepada diri saya dan mungkin anda. Antaranya:

1. Apakah strategi baharu KPM untuk memastikan infrastuktur Internet di sekolah-sekolah dapat menyokong gaya pembelajaran digital masa kini?.

2. Adakah projek ini masih kekal dengan nama 1BestariNet dengan mengikuti garis masa asal atau akan diberi penjenamaan semula dengan perancangan baharu?.

3. Apakah nasib menara 1BRIS yang telahpun dipasang dikebanyakkan sekolah? Adakah ianya akan dialihkan atau diambilalih oleh penerima kontrak baharu nanti?.

4. Berapakah kelajuan maksima rangkaian Internet yang dibekalkan kepada pihak sekolah dalam tempoh interim ini?. Adakah setiap sekolah menikmati kelajuan berbeza?.

5. Apakah platform pembelajaran baharu yang akan diperkenalkan kepada guru nanti semasa interim atau setelah tamat tempoh interim?.

Apapun persoalan yang muncul dalam pemikiran saya dan anda, sudah pasti pihak kementerian kali ini telah banyak belajar daripada projek SchoolNet serta kedua-dua fasa projek 1BestariNet.

Sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi yang akan dikeluarkan oleh pihak KPM nanti. Tinggalkan pandangan anda pada ruangan komen dibawah.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.