2018 Breakthrough Junior Challenge tawar hadiah hampir RM1.6 juta kepada pelajar, guru dan sekolah

Ya, jumlah diatas merupakan tawaran hadiah kepada pemenang untuk cabaran Breakthrough Junior Challenge kali ini.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak penganjur menawarkan biasiswa hampir RM1 juta untuk pelajar, geran hampir RM200,000 untuk guru serta sebuah makmal sains bernilai hampir RM400,000 untuk pihak sekolah kepada pemenang utama cabaran.

Cabaran kali keempat ini masih mengekalkan konsep pertandingan yang sama yang mana anda perlu menghantar sebuah video (maksimum 3 minit panjang) mengenai Fizik, Matematik ataupun Sains Hayat.

Pertandingan adalah secara individu. Setelah memahami sesuatu teori saintifik, konsep atau prinsip penting, anda hendaklah berkongsi perkara tersebut dengan kreatif dari sudut pandangan anda.

Video haruslah dapat menerangkan sesuatu konsep yang kompleks untuk memahamkan audien yang lazimnya memerlukan teks yang panjang dan berjela-jela.

Filem pendek ini boleh dipaparkan dalam pelbagai bentuk yang disukai sama ada dalam bentuk animasi, dokumentari, anda sebagai hos, ‘dramatic reconstruction‘ dan sebagainya.

Gunakan gambar rajah, simulasi, demonstrasi fizikal dan sebagainya untuk menjadikan persembahan lebih berkesan.

Selain keaslian, video anda akan dinilai mengikut kriteria berikut:

1. ‘Engagement’
2. Pencahayaan
3. Kreativiti
4. Tahap Kesukaran

Edisi pertama 2015 dimenangi oleh Ryan Chester dari Amarika Syarikat, manakala edisi 2016 dimenangi oleh Deanna See dari Singapura dan Antotella Masini dari Peru (pemenang bersama). Seterusnya, edisi 2017 dimenangi oleh Hillary Diane Andalas dari Filipina.

Melihat kepada pencapaian pelajar dari Singapura dan Filipina, berdasarkan pengalaman peribadi, saya mengakui kualiti yang dimiliki oleh masyarakat Asia terutamamanya masyarakat Asia Tenggara amat tinggi.

Ini terbukti apabila pada 2016 saya telah menyertai 2 acara peringkat antarabangsa di Singapura dan Korea Selatan yang mana para peserta dari Asia Tenggara terutamanya Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia diberi pujian oleh guru-guru pengiring yang terlibat.

Pelajar kita disifatkan sebagai amat kreatif, komunikator yang baik serta mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.

Adakah edisi 2018 akan terus dikuasai oleh pelajar dari Asia Tenggara dan adakah kali ini giliran Malaysia pula? Siapa tahu.

Jadi, jangan berlengah lagi. Ayuh! hantar penyertaan berkualiti pelajar bimbingan anda sebelum atau pada 1 Julai 2018.

Maklumat lanjut 2018 BJC

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.