6 cabaran / pertandingan sepanjang 2018 untuk disertai

Saya sering mengaplikasikan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dalam kebanyakkan projek kokurikulum pelajar yang saya kendalikan.

Pertandingan bertemakan PBL lazimnya melibatkan tempoh masa penyertaan yang panjang, komitmen yang berterusan serta daya kepimpinan yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Projek yang berskala besar menuntut sokongan padu daripada keseluruhan warga sekolah. Penyertaan aktif dari komuniti juga diperlukan untuk sama-sama menyelesaikan pelbagai masalah dan dugaan.

Pertandingan seperti myHarapan SPC dan Toyota Eco Youth sudah tentu menuntut perancangan yang rapi serta kesungguhan daripada semua pihak untuk menjayakan misi yang telah digariskan.

Semestinya, kejayaan sebagai finalis atau juara merupakan satu pengalaman yang sangat manis. Ia juga akan mengangkat nama sekolah ke persada negara.

Kali ini saya kongsikan 6 cabaran (tempatan) yang boleh sekolah anda sertai sepanjang 2018.

myHarapan Social Project Challenge (myHarapan SPC)

myHarapan merupakan satu NGO yang memberi fokus kepada usaha memperkasa dan membangunan generasi muda dengan menyokong projek serta inisiatif golongan ini dalam proses pembinaan negara.

myHarapan SPC dianjur sebagai satu usaha untuk mempromosi inovasi dalam bidang keusahawanan sosial di Malaysia yang mana mereka melihat bidang ini dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan masyarakat.

Dalam cabaran ini 5 tema disentuh iaitu alam sekitar, penjagaan kesihatan, pembangunan komuniti, pendidikan serta sains & teknologi.

Ianya terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah kebangsaan, sekolah swasta ataupun sekolah antarabangsa.

Tiada had ahli dalam pembangunan projek namun jika terpilih sebagai 10 pasukan pilihan, hanya 4 pelajar akan terlibat dalam peringkat seterusnya.

Seterusnya, daripada 10 pasukan yang menyertai bootcamp, 5 pasukan akan diberi dana untuk menjadikan idea satu realiti.

Pasukan yang memenangi cabaran ini akan membawa pulang RM20,000 sebagai ganjaran serta peluang mendapatkan geran pembangunan projek.

Juara tahun lepas, iaitu  SMK Tamparulli, Sabah telah dinobat sebagai Young Changemakers Awards 2017 (YCMA) di acara The Tuanku Bainun Young Changemakers Awards 2017.

Pertandingan edisi ke-4 ini telah pun bermula. Anda boleh menghantar proposal kepada pihak penganjur sebelum 2 Mac 2018.

Peringkat cabaran: (1) Penulisan proposal (2) 10 pasukan pilihan dijemput menyertai bootcamp (3) 5 pasukan terbaik dipilih melaksana projek (4) ‘Final pitch’

Kelayakan peserta: Pelajar sekolah menengah (berumur 13-17 tahun)

Juara edisi 2017: SMK Tamparulli, Sabah

Mengenai myHarapan
Laman Facebook myHarapan

Toyota Eco Youth Challenge (TEY) 

Toyota Eco Youth Challenge merupakan satu cabaran tahunan berprestij yang mempunyai sejarah yang panjang.

UMW Toyota Motor memberi sokongan yang padu terhadap usaha melestarian alam sekitar menerusi tanggungjawab sosial korporat mereka.

Saya mendengar nama cabaran ini semasa tingkatan 5 pada tahun 2003. Sekolah saya pada ketika itu membawa inovasi penapis sisa minyak menggunakan buangan batang pisang.

Dalam cabaran ini, pasukan akan menjalankan projek kelestarian alam sekitar dengan tema tertentu. Untuk menyelesaikan misi, setiap pasukan yang terpilih akan diberi geran permulaan projek dalam jumlah tertentu.

Mereka perlu menjalankan projek dengan menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan. Saya dimaklumkan, terdapat juga sekolah yang telah berjaya mengumpul dana sehingga ratusan ribu bagi sesebuah projek.

Selain membangunkan projek secara fizikal, peserta juga perlu menjalankan kempen menerusi pelbagai media seperti media sosial serta mengemaskini aktiviti pembangunan projek menerusi penulisan blog.

Pendaftaran untuk TEY Challenge 2018 masih belum dibuka dan dijangka diumumkan sekitar Mac ini.

Peringkat cabaran: (1) Penulisan proposal (2) 12 pasukan pilihan dijemput menyertai bootcamp (3) Melaksana projek (4) ‘Final Pitch’ dan pameran.

Kelayakan peserta: Pelajar sekolah menengah Malaysia

Juara 2017: SMK Raja Perempuan, Ipoh

Lihat blog aktiviti peserta TEY 2017
Mengenai TEY 

Karnival Inovasi Teknologi Hijau

Karnival Inovasi Teknologi Hijau merupakan satu program kokurikulum untuk mencungkil daya inovasi serta kreativiti pelajar dalam usaha memupuk pendidikan lestari.

Pertandingan ini adalah inisiatif  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dengan kerjasama Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

Ianya melibatkan 7 kategori seperti projek rekacipta inovasi teknologi hijau, inovasi tenaga biojisim, ‘green cooker challenge’, perlumbaan kereta solar, rekabentuk bandar teknologi hijau, sketsa ‘green technology show’ dan exporace.

Pertandingan ini diadakan secara berperingkat bermula dari pemilihan pasukan daerah, karnival peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan.

Siaran iklan pertandingan ini lazimnya akan dilakukan oleh pejabat PPD atau JPN negeri anda.

Jika anda risau terlepas siaran iklan anda boleh menghubungi PPD untuk mendapatkan maklumat ‘PIC’ pegawai yang menguruskan penyertaan pertandingan ini.

Peringkat cabaran: (1) Pemilihan pasukan daerah (2) Pertandingan negeri (3) Pertandingan kebangsaan

Kelayakan peserta: Pelajar sekolah menengah KPM (Tingkatan 1-4)

Juara Keseluruhan 2017: Negeri Terengganu Darul Iman

Laporan CETREE

Sime Darby Young Innovators Challenge (SDYIC)

Young Innovators Challenge merupakan satu platform untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang inovasi digital seiring dengan inisiatif #mydigitalmaker movement.

Ianya membawa cabaran penyelesaian masalah kehidupan seharian menggunakan sistem atau aplikasi sumber percuma.

Program yang dikendalikan oleh Chumbaka ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 1000 pasukan edisi lalu. 15 pasukan terbaik dipilih untuk menyertai bootcamp seterusnya melangkah ke peringkat akhir.

Program ini melibatkan sokongan dari pelbagai pihak seperti MDEC, Kementerian Pendidikan Malaysia serta IPT-IPT tempatan dan antarabangsa dengan tajaan Sime Darby.

Untuk menyertai, peserta perlu terlibat secara berfasa. Setiap fasa perlu dilalui untuk cabaran peringkat seterusnya.

Selain hadiah yang agak lumayan, pemenang juga akan berpeluang menyertai lawatan sambil belajar ke luar negara.

Saya cuba menghubungi Chumbaka untuk mendapatkan maklumat mengenai penganjuran edisi 2018. Mereka menyatakan akan meniup visil cabaran sekitar Mac.

Untuk kali ini, guru juga akan diberi latihan dalam bootcamp bagi sekolah-sekolah yang terpilih.

Peringkat cabaran: (1) Menyertai bengkel & menghasilkan prototaip (2) Menyertai ‘Maker Fest’ peringkat negeri (3) 15 pasukan pilihan dijemput menyertai bootcamp (4) ‘Final Pitch’.

Kelayakan peserta: Pelajar sekolah menengah Malaysia

Juara 2017: Sekolah Agama Menengah Jeram, Kuala Selangor

Laman Facebook SDYIC
Mengenai SDYIC

#MYSEKOLAH Competition

 

#MYSEKOLAH Competition merupakan sebuah pertandingan produksi video pendek anjuran AICT College untuk para pelajar sekolah di Malaysia.

Dalam cabaran ini anda perlu menghasilkan satu video pendek berdurasi 2-5 minit, poster kreatif serta ‘write-up’ mengenai karya anda.

Dengan namanya #MYSEKOLAH sudah semestinya temanya berkisar hal-hal berkaitan sekolah kesayangan anda.

Setiap pasukan boleh terdiri daripada maksimum 5 peserta. Pertandingan ini menuntut tahap kreativiti yang tinggi pelajar terhadap penghasilan media yang berkesan.

Lazimnya, pentandingan ini dilancarkan sekitar Julai. Sila 👍 laman Facebook mereka untuk sebarang notifikasi mengenai pertandingan ini.

Mereka juga menawarkan bengkel percuma kepada para peserta yang berminat untuk belajar mengenai teknik produksi video.

Peringkat cabaran: (1) Produksi video & poster (2) Penjurian awam/pengundian (3) Penjurian akhir

Kelayakan peserta: Pelajar sekolah menengah Malaysia (Tingkatan 4,5/Year 10,11/Senior Middle 2,3)

Juara 2017:  St John Institution, Kuala Lumpur

Mengenai #mysekolah

SME Bank Y-Biz Challenge

SME Bank Y-Biz Challenge memberi fokus kepada pembangunan pelajar dengan pendidikan keusahawanan.

Bermula dari tahun 2012 cabaran ini telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 400 buah sekolah yang melibatkan lebih 1000 pelajar.

Mereka mengsasarkan penyertaan daripada kelab keusahawanan, kelab usahawan muda serta keusahawanan koperasi sekolah.

Pendaftaran SME Bank Y-Biz Challenge telah dibuka Disember lalu sehingga 28 Februari 2018. Anda dikehendaki menghantar kertas cadangan projek untuk dinilai.

Pasukan terpilih akan dipilih menyertai bootcamp serta diberi dana untuk memulakan projek keusahawanan mereka.

Y-Bizz Challenge menawarkan hadiah yang amat lumayan dengan ganjaran keseluruhan bernilai RM91,000.

Bagi pemenang utama RM15,000 akan diberikan kepada pelajar, RM15,000 diberikan kepada sekolah dan yang paling menarik hadiah khas tiket penerbangan bernilai RM25,000.

Peringkat cabaran: (1) Penulisan proposal (2) 20 pasukan pilihan menyertai bootcamp (3) 10 pasukan pilihan melaksana projek (4) ‘Final Pitch’.

Kelayakan peserta: Pelajar sekolah menengah Malaysia.

Juara 2017: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Selangor

Laman Facebook Y-Biz Challenge
Mengenai Y-Biz Challenge

Hubungi kami untuk mempromosi sebarang pertandingan anjuran anda. Sentiasa bersama cikgusiber.com untuk pelbagai kemaskinian pertandingan dalam dan luar negara.

#sentiasainginberubah

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.