Perkongsian – Aplikasi Apple Swift Playgrounds dalam ASK Tingkatan 1

Apple menyediakan sokongan pembelajaran terbaik dan berterusan kepada sekolah-sekolah ini menerusi inisiatif Apple Education.

MCKK terpilih sebagai salah sebuah sekolah yang terlibat dalam projek rintis penggunaan Swift Playgrounds dalam subjek Asas Sains Komputer (ASK) Tingkatan 1.

Sepertimana yang diketahui, ASK merupakan satu transformasi pendidikan nasional dikenali sebagai ‘MY Digital Maker’ bermula dengan pengenalan modul koding dalam TMK di sekolah rendah.

Asas Sains Komputer (ASK) Tingkatan 1

Dalam kandungan sulibus ASK tingkatan 1, empat bidang bab diperkenalkan iaitu Konsep Asas Pemikiran Komputasional, Perwakilan Data, Algoritma dan Kod Arahan.

Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran untuk Asas Sains Komputer Tingkatan 1

Untuk bab Kod Arahan, 15 minggu diperuntukkan dengan 10 minggu untuk Kod Arahan menggunakan MIT Scratch, iaitu sebuah aplikasi pembelajaran pengaturcaraan secara visual atau block-based.

Manakala 5 minggu lagi untuk Kod Arahan HTML. Untuk makluman, 2 jam diperuntukan untuk subjek ini seminggu.

Apple menyediakan panduan pembelajaran lengkap serta media yang menarik untuk memudahkan guru mengajar pengaturcaraan

Pelajar saya separuh daripada mereka telah didedahkan dengan kemahiran menggunakan MIT Scratch di sekolah rendah menerusi modul TMK.

Bagi pelajar yang tiada pendedahan pula, mereka dengan pantas menguasai aplikasi ini. MIT Scratch sangat mudah digunakan.

Jangkaan saya, 10 minggu merupakan tempoh yang terlalu lama memang tepat. Pelajar dapat belajar dan menyiapkan projek dalam masa 6 minggu sahaja. Masih ada baki 4 minggu.

Oleh itu, seiring program iPad 1:1 yang sedang berjalan, saya dan Apple menjalankan ujian rintis bagi penggunaan Swift Playgrounds pada peranti iPad sebagai nilai tambah kepada kemahiran mereka.

Everyone Can Code & Swift Playgrounds

Swift Playgrounds merupakan satu tawaran aplikasi pembelajaran daripada Apple untuk semua peringkat. Ianya boleh dimuat turun secara percuma pada peranti iPad sahaja.

Apple memulakan inisiatif Everyone Can Code dengan menyediakan beberapa modul pembelajaran di iBooks dan iTunes U bagi aplikasi Swift Playgrounds.

Panduan untuk guru juga disediakan untuk memudahkan para pendidik mengajar konsep pengaturcaraan dengan lebih berkesan.

Apple Education menyediakan set pembelajaran untuk guru termasuk panduan rancangan pembelajaran, video penerangan konsep, slaid serta cadangan aktiviti-aktiviti dalam kelas.

Modul Everyone Can Code meliputi pelbagai aspek pedagogi yang mantap menerusi penggunaan teknologi di iBooks
Pelajar melakukan aktiviti di luar kelas dengan pelbagai aktiviti pembelajaran aktif untuk memahami konsep dalam Sains Komputer.

Antara modul asas yang ditawarkan oleh pihak Apple di Playgrounds adalah Hour of Code, Learn to Code 1, Learn to Code 2 dan Learn to Code 3.

Ianya menawarkan set pembelajaran asas yang sistematik dan berperingkat dengan pelbagai cabaran yang menyeronokan. Dalam masa yang sama pelajar mempelajari konsep sebenar dalam pengaturcaraan.

Tiada aplikasi seumpamanya sepertimana Swift Playgrouds.

Swift Playgrounds menyediakan sintaks yang sama dengan bahasa pengaturcaraan Swift, iaitu sebuah bahasa pengaturcaraan yang digunakan para pembangun profesional untuk menghasilkan aplikasi pintar di iOS dan macOS.

Ini akan memberi kelebihan kepada pelajar jika ingin serius dalam bidang digital kerana mereka telah mempunyai asas kepada satu bahasa pengaturcaraan yang penting untuk industri.

Swift merupakan bahasa pengaturcaraan yang moden, persekitaran sumber terbuka serta mempunyai rujukan yang banyak di Internet.

Adakah modul yang ditawarkan memenuhi kandungan sulibus (DSKP) yang telah dibekalkan oleh pihak kementerian?

Sebenarnya, menerusi kajian saya, jika pelajar menyelesaikan kesemua modul Swift Playgrounds, mereka bukan sahaja menguasai bab Kod Arahan di tingkatan 1, malahan juga Kod Arahan di Tingkatan 2.

Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran untuk Asas Sains Komputer Tingkatan 2
Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran untuk Asas Sains Komputer Tingkatan 2 (sambungan)

Setelah 3 bulan menjalani projek rintis, data daripada pelajar dikumpul untuk melihat impak kaedah ini kepada perkembangan pelajar.

Dapat dirumuskan, hampir keseluruhan pelajar mengakui belajar pengaturcaraan di Swift Playgrounds amat menarik lantas meningkatkan motivasi mereka untuk terus belajar.

Pelajar ASK saya melakukan perkongsian mengenai Swift Playgrounds di salah sebuah pameran pendidikan.

Tujuan Swift Playgrounds adalah untuk mengajar proses berfikir menerusi cabaran untuk menyelesaian masalah.

Ianya sebagai persediaan sebelum mereka melangkah kepada aras lebih tinggi iaitu penciptaan solusi.

Modul Everyone Can Code akan menjadi pelengkap kepada keseluruhan kandungan ASK yang sangat komprehensif dan terkini.

Bagaimanakah untuk mempromosi penggunaan Swift Playgrounds ke dalam bilik darjah?.

Kita memahami yang mana Swift Playgrounds hanya ditawarkan pada peranti iPad sahaja. Oleh itu, hanya pelajar atau sekolah yang menggunakan peranti ini sahaja yang dapat memanfaatkan teknologi ini.

Bagi sekolah-sekolah yang menjalani projek BYOD menggunakan peranti iPad, ianya merupakan peluang terbaik untuk para pelajar mengaplikasikan teknologi dan sumber pembelajaran yang dibekalkan.

Untuk makluman, dalam pengetahuan saya, dianggarkan terdapat lebih 20 buah sekolah KPM dan MSRM sedang menjalani program pendidikan bersama Apple sejak 2015.

Peringkat seterusnya

Bagi sekolah tertentu, untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi setelah menjalani modul asas, saya cadangkan mereka menerokai pula Custom Playgrounds menerusi manipulasi Swift Playgrounds pada Xcode.

Dengan mahir menghasilkan ‘Playground Book’ sendiri, mereka dapat menyunting dan membina pelbagai aplikasi sendiri menggunai API yang sedia tertanam dalam templat yang dibekalkan.

Panduan khusus pembelajaran kendiri oleh Apple di iTunes-U dan iBooks

Mereka juga boleh melangkah dengan lebih jauh dengan menghasilkan inovasi mereka sendiri menerusi projek pembangunan app ataupun perisian aplikasi.

Semestinya untuk tujuan tersebut, pihak sekolah perlu menyediakan kemudahan ‘Apple Mac Lab‘ kepada pelajar, atau pelajar boleh mendapatkan Macbook mereka sendiri secara BYOD.

 

Hafizuddin, pelajar ASK T1, penerima 5 anugerah emas kebangsaan & antarabangsa menerangkan inovasi dalam Playgrounds kepada KSU KPM.

Robotik dan Augmented Reality

Selain itu, aplikasi Swift Playgrounds juga dapat dikembangkan lagi dengan menerokai kemampuan terbarunya untuk berhubung dan mengawal kit robotik seperti Lego, Sphero , Parrot Drone dan pelbagai lagi.

Swift Playgrounds juga kini membawa kemampuan dan sokongan Augmented Reality (AR). Ianya membuka peluang kepada pelajar menerokai satu teknologi baharu yang cuba dipelopori Apple menerusi pengenalan ARKit.

MCKK vs TKC dalam pertandingan demo ‘Coding Challenge’ di Karnival PA21 di TKC pada November 2017

Saya melihat inisiatif Everyone Can Code harus dipromosi penggunaannya di sekolah-sekolah yang sedang menjalani projek BYOD iPad atau projek Apple Distinguished Schools.

Ianya mampu memberi nilai tambah kepada kandungan Asas Sains Komputer dengan memanfaatkan segala bahan serta panduan yang dibekalkan.

Bengkel Custom Playgrounds 2018

Saya dan seorang teman di MRSM, Cikgu Hazrat sedang merancang untuk menyebarluaskan kemahiran mengenai Custom Playgrounds ini pada 2018 kepada para pendidik yang berminat.

Ilmu yang kami perolehi di salah satu bengkel di Apple Singapore pada Ogos lepas akan kami manfaatkan kepada para pendidik di Malaysia.

Nantikan pengumuman bengkel tersebut yang akan diberikan secara percuma di cikgusiber.com. Dan jangan lupa bawa bersama iPad dan Macbook kesayangan anda nanti.

Everyone Can Code
Muat turun Swift Playgrounds (App Store)

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.