6 aplikasi untuk produktiviti kaunselor sekolah


Saya percaya tuntutan tugas guru bimbingan dan kaunseling sekolah rendah dan menengah (guru kaunselor) di Malaysia dalam mendepani cabaran abad ke-21 bukanlah mudah.

Menerusi pemerhatian saya terhadap tugas salah seorang rakan yang juga seorang guru kaunselor sekolah, saya merasakan penggunaan teknologi ICT merupakan satu jalan terbaik untuk beliau meningkatkan produktiviti kerja.

Catatan kali ini, saya senaraikan 6 cadangan aplikasi yang boleh membantu tugas harian para kaunselor kesayangan guru dan pelajar.

1. G Suite oleh Google

Menguruskan pelbagai dokumen begitu memeningkan. Tawaran G Suite for Education daripada Google merupakan satu solusi terbaik untuk para guru mengurus dokumen dengan pantas, selamat dan mudah.

Aplikasi pejabat seperti Google Docs, Google Spreadsheets dan Google Slides menyediakan fungsi kolaborasi berkumpulan. Anda dapat menghasilkan laporan dengan pantas bersama rakan kaunselor yang lain.

Google Drive ditawarkan sebagai satu storan awan yang amat mudah dikendalikan. Aplikasi sokongan lain seperti Google Keep, Google Calendar dan Gmail juga membantu dengan peranan masing-masing.

Google Classroom pula boleh digunakan untuk membentuk kumpulan untuk tujuan kempen-kempen tertentu. Sebagai contoh kuanselor boleh membentuk kumpulan dari semua pelajar tingkatan 5 untuk panduan kerjaya.

Google Form boleh menjadi alat yang efektif untuk para kaunselor menjalankan tinjauan. Selain itu ia juga boleh dijadikan platform untuk para guru mentor menghantar laporan dan aduan.

Namun, perlu diingat, untuk menggunakan aplikasi berasaskan web dan cloud ini, anda mestilah mempunyai perkhidmatan Internet yang bagus.

Kenali G Suite for Education

2. Flipgrid

Salah satu tugasan kaunselor sekolah adalah untuk bertemu dengan pelajar untuk sesi kaunserling berkelompok (untuk satu kelas). Selain memberi motivasi dan khidmat nasihat, mereka juga boleh menjalankan aktiviti yang lebih interaktif.

Flipgrid menyediakan aktiviti yang menyeronokan kepada pelajar untuk mereka memberi maklumbalas serta melontar sebarang idea dan pandangan dalam bentuk rakaman video.

Kaedah ini boleh menjadi terapi bagi para pelajar lantas memberi kestabilan emosi kepada mereka. Ianya merupakan aktiviti yang menyeronokkan berbanding hanya aktiviti bercerita dikala kelas ‘relief’ pada waktu petang.

Selain ini, menerusi Flipgrid pelajar dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka serta dapat memperbaiki kemahiran komunikasi.

Untuk melaksanakan sesi ini di sekolah, pelajar perlu mengakses peranti dengan mempunyai kemampuan untuk melakukan rakaman video seperti komputer riba, Chromebook atau PC dengan webcam.

Sambungan Internet juga perlu cemerlang kerana elemen video melibatkan penghantaran dan penerimaan fail dalam saiz yang besar.

Kenali Flipgrid

3. Curator

Saya telah berkongsi aplikasi ini pada catatan sebelum ini.

Curator akan menyelesaikan masalah penyimpanan pelbagai pautan web penting untuk rujukan anda dan juga pelajar.

Contohnya, tips-tips kerjaya, pautan tawaran biasiswa pelajar atau pautan pendaftaran ke institut pengajian tinggi. Curator dapat menyediakan satu kanvas yang kemas, sistematik dan mudah dicapai.

Selain pautan, anda juga boleh menyimpan ungkapan mutiara kata ataupun paparan grafik untuk menyuntik motivasi dan semangat kepada pelajar. Saya melihat kurasi sebegini amat penting bagi seseorang kaunselor.

Buat masa ini Curator hanya ditawarkan untuk peranti iOS (iPhone dan iPad). Diharapkan aplikasi ini hadir pula untuk Android dalam masa terdekat.

Kenali Curator

4. TeacherKit

TeacherKit merupakan aplikasi yang ideal untuk guru matapelajaran dan juga guru kelas. Namun, ia juga sesuai digunakan oleh seorang guru kaunselor.

Menerusi TeacherKit, anda boleh memasukan maklumat kesemua pelajar mengikut senarai kelas di sekolah anda. Ianya akan memudahkan anda mengenal setiap pelajar anda dengan lebih baik dan sistematik.

Untuk menggunakan TeacherKit dengan berkesan, anda perlu berusaha dengan sedikit gigih untuk menghimpunkan maklumat setiap pelajar sebagai permulaan.

Tahun berikutnya, anda hanya perlu mengemaskini maklumat pelajar yang baru mendaftar serta maklumat-maklumat lain seiring dengan perubahan kelas.

Untuk sesuai dengan bidang anda, beberapa fungsi perlu dibuang seperti rekod kehadiran. Caranya pergi ke Setting > Customization > Attendance Types > Edit dan padamkan menu kehadiran.

Dengan fungsi Customization juga ada boleh menambah rekod baru dengan Custom Field. Mungkin fungsi ini membolehkan anda merekod bilangan berapa kali pelajar ini mengadakan sesi bersama ada.

TeacherKit juga mempunyai kemampuan yang unggul untuk menjana kad laporan yang cantik untuk tujuan lampiran bagi laporan kes yang dikendalikan anda.

Kenali TeacherKit

5. Youtube Live / Facebook Live / IG Live

Kaunselor diberi bakat luarbiasa dan karisma tersendiri untuk mendepani pelbagai situasi unik di sekolah. Mereka mempunyai pelbagai pengalaman dan tips-tips yang ingin dikongsi bersama pelajar.

Apa kata anda menggunakan bakat yang anda miliki untuk bersiaran secara langsung menerusi Youtube Live, Facebook Live ataupun IG Live.

Anjurkan satu temujanji bersama sekumpulan pelajar untuk sesi ‘live video streaming‘. Sebagai contoh sesi melibatkan pelajar tingkatan 5 yang bakal mengambil peperiksaan.

Kesemua aplikasi siaran langsung yang dicadangkan mempunyai fungsi yang interaktif yang mana pelajar boleh bertanyakan soalan menerusi fungsi ‘live chat‘ semasa sesi berlangsung.

Bagi yang terlepas sesi secara langsung, aplikasi ini akan merakam aksi sepanjang sesi perkongsian lepas.

Selain perkongsian daripada anda, boleh juga menjemput bekas-bekas pelajar yang berjaya atau rakan kaunselor dari sekolah lain menyertai sesi bersama anda.

Sesi seperti ini juga boleh melibatkan para ustaz atau ustazah ataupun dengan pihak pentadbir.

Pelajar Bertanya Prof Muhaya MenjawAb Khas Bersama Pelajar Cemerlang Universiti Ummul Qura Mekah : Harith

Posted by Prof Dr Muhaya on 6hb September 2017

Berinspirasi bersama Prof Dr Muhaya 

6. Telegram Channel

Telegram Channel merupakan alat yang berkuasa untuk menyalurkan maklumat daripada Unit Bimbingan & Kaunseling terus kepada pelajar dan mungkin juga ibu bapa.

Berbeza dengan kumpulan sembang Telegram, Telegram Channel bersifat satu hala yang tidak menganggu maklumat penting yang sedang disiarkan.

Fungsi cloud yang dimiliki membolehkan peserta baharu yang menyertai saluran ini melihat sebarang pengumuman lepas.

Penggunaan aplikasi penerbitan web oleh Telegram iaitu Telegra.ph juga dapat membantu kaunselor berkongsi bahan yang agak panjang diiringi elemen video dan grafik.

Bayangkan jika anda memulakan usaha kecil ini – mengumpul keahlian selama 20 tahun berkidmat melibatkan pelajar-pelajar sekolah anda.

Sudah tentu ia memudahkan anda menyalurkan maklumat kepada bekas-bekas pelajar serta berguna jika anda ingin menjejaki mereka kembali.

Telegram Blog

Kongsikan aplikasi yang anda gunakan untuk produktiviti kerja anda selaku kaunselor pada ruangan komen dibawah.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.