Program pembelajaran profesional untuk pendidik, Apple Teacher kini diaktifkan di Malaysia

Setiap pendidik advokasi bertemakan teknologi dalam pendidikan perlu memilih platform yang mereka yakini, percaya dan selesa dengannya. Saya ber’mazhab’kan Apple Education.

Apple memperkenalkan 3 program (secara percuma) sebagai inisiatif kepada dunia pendidikan. Pertama, program Apple Teacher yang boleh disertai oleh semua guru secara atas talian. Sijil dan lencana khas diberikan.

Kedua, Apple Distinguished Educator (ADE), program pengiktirafan pendidik Apple terbaik yang menunjukkan kesungguhan dan inovasi dalam PdPc. Ianya ditawarkan dua tahun sekali pada tahun ganjil.

Untuk 2019 atau dikenali sebagai ADE Class of 2019, tawarannya telahpun ditutup iaitu pada awal Februari lalu. Beberapa pendidik terpilih akan menyertai sesi latihan khas di Australia tahun ini.

Ketiga, Apple Professional Learning Provider (APLP) dan Apple Professional Learning Specialist (APLS), satu program kejurulatihan profesional untuk membekalkan latihan kepada guru dan pelajar.

Alhamdulillah saya telah menjadi guru sekolah pertama dibawah KPM memperolehi status APLP pada tahun lepas. Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana saya boleh terlibat dengan ekosistem pendidikan Apple?.

Saya sememangnya peminat dan pengguna produk Apple sejak 2013. Kebetulan saya bertukar ke sekolah yang menjalankan program Apple Distinguished Schools (ADS). Disitulah bermulanya jodoh kami 😋.

Saya menyertai lebih 200 jam latihan dibawah kendalian Apple Education dengan kerjasama KPM. Apa yang menariknya, mereka bukan menerap kemahiran teknologi semata-mata, aspek pedagogi dititikberatkan.

Program Apple Teacher

Apple Teacher merupakan satu program pembangunan profesional secara pembelajaran atas talian direka bentuk khas untuk guru pengguna Apple untuk pendidikan. Ianya terbuka untuk semua peringkat pendidikan.

Dilancarkan pada 2017, program ini ditawar secara berperingkat ke seluruh dunia bermula di Amerika Syarikat.

Pelbagai kursus pembelajaran atas talian disediakan untuk anda bagi pengguna Mac dan iPad.

Mulai awal Mac, pihak Apple Education nampaknya telah mengaktifkan program ini di Malaysia. Saya menyedari hal ini apabila melihat salah seorang rakan di Facebook menyiarkan sijil yang diperolehinya.

Dengan tiada pengumuman dari pihak Apple Education, serta terdapat beberapa rakan yang mempunyai masalah untuk ‘sign-up’ saya merasakan ianya masih dalam fasa pengujian. Pengumuman rasmi mungkin dibuat dalam masa terdekat.

Menerusi percubaan saya, ianya menyediakan panduan dan sumber pembelajaran untuk kreativiti, produktiviti dan koding menerusi platform Mac serta iPad. Juga disediakan sistem kad laporan untuk memantau perkembangan anda.

Bagi saya, kehadiran program ini pada 2019 tepat pada masanya yang mana projek sekolah-sekolah ADS aktif dilaksanakan serta komuniti guru pengguna Apple di Malaysia menunjukkan perkembangan yang amat luarbiasa.

Sertai komuniti pendidik Apple Malaysia (Telegram)

Bagi anda yang mahu pergi jauh dalam ekosistem pendidikan Apple, saya cadangkan anda bermula dengan program Apple Teacher ini seterusnya memohon menyertai program ADE yang bakal dibuka pada awal tahun 2021.

Kemaskini : Apple pada 5 Mac mengumumkan program Apple Teacher sedia diakses secara rasmi di Malaysia. Bagi guru yang mempunyai masalah untuk akses, pihak Apple meminta anda memaklumkan kepada mereka.

Sepertimana program dari Microsoft Education, peserta akan diberi lencana dan juga sijil setelah tamat kursus yang disediakan.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.