6 sebab mengapa pemilik iPad perlu memanfaatkan Swift Playgrounds

Selama berdekad, matapelajaran Sains menjadi satu matapelajaran penting yang wajib dipelajari oleh setiap manusia.

Ianya bukan bertujuan untuk melahirkan ramainya saintis. Sains diajar kerana ia sebahagian daripada kehidupan manusia.

Dalam zaman peralihan atau disebut era revolusi perindustrian ke-empat, Sains Komputer merupakan satu lagi cabang Sains yang amat diperlukan.

Belajar koding dan kemahiran berfikir secara komputasional menjadi satu cetusan fenomena seluruh dunia.

Kemahiran-kemahiran ini membantu pelajar untuk memahami dunia digital yang menjadi tunjang kepada dunia hari ini.

Saya seringkali bertemu dengan ibu bapa yang menyatakan bahawa mereka sedar akan perkembangan semasa dunia digital.

Persoalan yang sering ditimbulkan mereka adalah – bagaimana untuk memberi pendedahan awal ilmu Sains Komputer kepada anak mereka?

Mari kita lihat salah satu alat terbaik yang boleh digunakan dan sebab-sebab mengapa anda harus menggunakan alat tersebut.

Apple – Swift Playgrounds

Swift Playgrounds merupakan satu app pembelajaran koding yang dikhususkan untuk peranti iPad.

Ianya untuk menyokong salah satu inisiatif pendidikan terbesar Apple iaitu Everyone Can Code.

Menerusi Swift Playgrounds, pengguna akan belajar kemahiran penyelesaian masalah menerusi manipulasi kod-kod pengaturcaraan secara ala permainan.

Swift Playgounds ditawarkan secara percuma di App Store untuk dijalankan pada peranti iPad sahaja.

Apple memilih iPad atas faktor saiz skrin serta peranan iPad itu sendiri yang ditawarkan sebagai alat pembelajaran dan juga kreativiti.

Berikut merupakan 6 sebab mengapa pemilik iPad perlu memanfaatkan app Swift Playgounds.

1. Modul Asas Pengaturcaraan yang Sistematik & Lengkap

Pembelajaran dimulakan dengan konsep asas pengaturcaraan ‘Hour of Code’. Seterusnya terdapat dua set pembelajaran asas yang lebih mendalam iaitu ‘Learn to Code 1’ dan ‘Learn to Code 2’.

Modul ‘Learn to Code 3’ pula ditawarkan untuk pengguna memahami pelbagai konsep seterusnya pengaturcaraan seperti manipulasi antaramuka dan media.

Pelajar juga boleh mempelajari modul lain yang menarik seperti ‘Augmented Reality’, mengubahsuai permainan serta juga terdapat beberapa modul robotik yang sedia dihubungkan dengan pelbagai kit robotik fizikal.

2. Pembelajaran yang Menyeronokkan

Menerusi Swift Playgrounds, anda perlu menyelesaikan cabaran satu persatu menerusi beberapa set modul yang menyeronokkan.

Di sebelah kiri skrin, anda akan dapat melihat barisan kod aturcara manakala di sebelah kanan merupakan paparan animasi yang menerima arahan daripada anda.

Anda akan diperkenalkan dengan beberapa watak yang dikenali sebagai ‘Byte’. Misi ‘Byte’ adalah untuk mendapatkan ‘germ’ menerusi laluan yang mencabar.

Selaku guru Asas Sains Komputer, secara peribadinya, mencuba Swift Playgounds merupakan satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.

3. Belajar Bahasa Pengaturcaraan Sebenar

Dalam Swift Playgrounds anda akan memanipulasi bahasa pengaturcaraan sebenar dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Swift 4.1.

Untuk makluman, Swift 4.1 merupakan bahasa pengaturcaraan popular dari Apple yang digunakan untuk membangunkan aplikasi untuk iOS, macOS, watchOS dan Linux.

Ini bermakna, setelah tamat kesemua modul, pengguna akan mengenali sintaks-sintaks (cara penulisan) yang sama digunakan dalam Swift 4.1.

Ianya akan memudahkan pelajar untuk bergerak ke tahap seterusnya seperti pembangunan app dan sebagainya. Berbaloi bukan?.

3. Menyokong Kit Robotik & Kawalan Permainan Berpenderia

Swift Playgrounds menyokong pelbagai kit robotik seperti LEGO V3 serta kawalan permainan berpenderia seperti Sphero, Meebot, Dash dan Parrot.

Dengan itu, pelajar akan dapat memanipulasi kod didalam Swift Playgrounds untuk membina arahan untuk kawalan pergerakkan dan manipulasi penderia.

Dengan kemahiran memanipulasi kod untuk cabaran menggerakkan robot serta kawalan penderia, pelajar akan dapat berfikir secara kreatif dan kolektif untuk menyelesaikan masalah.

5. Sokongan untuk Guru Sains Komputer 

Saya terlibat sebagai penyelaras untuk projek sekolah rintis bagi penggunaan modul Everyone Can Code (ECC).

Modul ini diterapkan dalam subjek Asas Sains Komputer dengan kerjasama Apple Education pada tahun lalu.

Menerusi inisiatif ini, Apple menyediakan panduan yang lengkap kepada guru untuk mengajar asas pengaturcaraan menerusi Swift Playgrounds di kelas.

Mereka menyediakan panduan set pembelajaran dengan pelbagai bahan dan sumber seperti video, slaid dan sebagainya.

Modul ini telah disemak dengan sulibus pembelajaran Sains Komputer di US. Menerusi penelitian saya modul ECC ini juga melebihi kandungan bahagian ‘Kod Arahan’ untuk sulibus Asas Sains Komputer tingkatan 1 dab 2.

Panduan-panduan ini boleh diakses menerusi iBooks secara percuma kepada para guru.

6. Tahap Seterusnya

Potensi Swift Playgrounds sangat besar. Jika pelajar mempunyai sebuah Macbook atau iMac, mereka boleh menerokai ‘tahap seterusnya’ menerusi Xcode.

Saya sewaktu mendapat latihan khas Playgroundbook & App Development di Singapura pada 2017, kami didedahkan dengan teknik-teknik untuk mempelbagaikan kemahiran koding menerusi Swift Playgrounds.

Catatan – Bengkel Apple Swift App Development & Swift Playgroundbook @ Apple SG

Setelah memahami asas sebenar menerusi app ini, seterusnya mereka boleh terlibat dalam pembangunan prototaip app dengan menerokai idea-idea baharu digital. Memang ‘cool’.

Secara kesimpulannya, saya melihat Swift Playgrounds sebenarnya bukan sekadar app pembelajaran koding semata-mata.

Ia dibina dengan mengambil kira persekitaran pembelajaran bagi menyokong para pendidik untuk menerapkan kemahiran pemikiran komputasional kepada pelajar.

Di Malaysia, secara peribadi saya beranggapan Swift Playgrounds sesuai untuk pelajar bermula dari 8 sehingga 15 tahun. Namun, jika ada diluar lingkungan umur tersebut ( iaitu lebih) anda masih boleh menikmatinya.

Kepada ibu bapa pula, jika sebelum ini anak-anak anda hanya bermain permainan di iPad, apa kata permainan mereka bulan ini adalah Swift Playgrounds.

Terokai Apple – Everyone Can Code

Berminat untuk malatih guru dan pelajar dalam Swift Playgrounds? Boleh hubungi saya di nombor 013-4863010

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.