Barisan baharu Arduino Nano diperkenal dengan kemampuan yang diperingkat pada harga lebih rendah

Arduino merupakan unit papan kawalan mikro (MCU) popular. Ia digunakan secara meluas dalam sektor pendidikan untuk pelajar memahami ilmu elektronik dan pengaturcaraan.

Kekuatan Arduino sudah tentu pada persekitaran sumber terbukanya serta sumber rujukan yang banyak untuk pembelajaran. Di sekolah, Arduino diperkenalkan dalam subjek Reka Bentuk & Teknologi Tingkatan 2.

Terdapat beberapa variasi Arduino ditawarkan. Antaranya Uno (variasi standard popular yang sering digunakan), Leonardo (kemaskini bagi Uno dengan sokongan USB terbina), Mega dan Due (bagi projek kompleks yang memerlukan lebih kuasa dan pin).

Arduino juga memperkenalkan variasi arduino yang lebih kecil serta mempunyai ciri-ciri unik seperti Lilypad (untuk kegunaan e-tekstil serta ‘boleh dibasuh’) dan Micro (bersaiz kecil dengan keupayaan seperti Leonardo – menyokong USB membolehkan peranti seperti tetikus dan papan kekunci dihubungkan).

Selain beberapa variasi lain Arduino yang dibangunkan secara kerjasama, pihak Arduino juga menawarkan pelbagai kit sokongan dan aksesori tambahan serta unit-unit penderia selain boleh dibeli daripada pihak ketiga pada harga yang lebih murah.

Masih ingat lagi dua tahun lepas seorang rakan yang juga guru praktikal di sekolah saya bersama pelajar projek inovasi bimbingannya membangunkan prototaip ‘tongkat pintar’ untuk kegunaan orang kelainan upaya (OKU).

Pelajar melakukan demo penggunaan prototaip di pameran inovasi. Lihat sahaja saiz MCU pada tongkat ini.

Prototaip ini mempunyai fungsi yang baik, namun, penggunaan Arduino Uno yang agak besar menjadikan prototaip ini agak janggal. Prototaip ini juga agak berat serta memerlukan kuasa yang tinggi untuk beroperasi sepanjang hari.

Sebenarnya, Arduino mempunyai satu lagi variasi iaitu Arduino Nano yang bersaiz sedikit kecil daripada Micro. Ianya ditawarkan pada tanda harga RM92 di gudang jualan dalam talian rasmi mereka. Bagi saya ianya agak mahal.

Kelebihan variasi ini adalah saiznya yang kecil membolehkan prototaip yang lebih kompak dihasilkan selain pemberikan penjimatan penggunaan tenaga. Ini bermakna, anda tidak perlu menggunakan ‘powerbank’ yang begitu besar.

Mungkin melihat kepada keperluan semasa, hari ini Arduino mengumumkan yang mana mereka bakal hadir dengan barisan baharu Arduino Nano dengan kemampuan yang dipertingkat pada harga yang lebih berpatutan.

Mari kita lihat.

1. Arduino Nano Every

Nano Every merupakan penganti kepada Nano sebelum ini menampilkan saiz dan rupa yang sama tetapi prestasi dipertingkat dengan tawaran harga yang lebih rendah. Ianya sesuai untuk sebarang projek elektronik.

Harga: RM42 +/-

2. Arduino Nano 33 IoT

Sepertimana namanya, versi ini menyokong persekitaran IoT atau ‘Internet of Things’ yang membolehkan pembangun menghasilkan peranti berhubung. Harga yang ditawarkan adalah dua kali ganda dari Nano Every.

Harga: RM75 +/-

3. Arduino Nano 33 BLE

Versi 33 BLE ini menyokong sebarang projek yang memerlukan sambungan Bluetooth dengan penjimatan kuasa. Ianya membolehkan pembangun menghasilkan peranti boleh pakai yang berkomunikasi dengan peranti lain pada jarak dekat. BLE disini bermaksud Bluetooth Low Energy.

Harga: RM79 +/-

4. Arduino Nano 33 BLE Sense

33 BLE Sense membawakan integrasi beberapa penderia antaranya 9 paksi Inertial Measurement Unit (IMU), pengesan suhu, tekanan, kelembapan, cahaya, warna dan juga gerak isyarat (gestures). Arduino juga menawarkan library yang khusus untuknya.

Harga: RM123 +/-

Keempat-empat Arduino Nano ini boleh mula di pra tempah mulai hari ini. Penghantaran bagi Every dan 33 IoT dijangka pada pertengahan Jun ini manakala 33 BLE dan 33 BLE Sense pada pertengahan Julai.

Pra-tempah

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.