“Bolehkah anak saya belajar pengekodan (coding) menggunakan tablet?”

Menjadi fenomena kini yang mana ramai ibu bapa menyediakan peranti sendiri kepada anak-anak mereka untuk tujuan pembelajaran. Tablet menjadi pilihan kononnya ia lagi murah serta mudah dikendalikan.

Terdapat sekolah-sekolah arus perdana yang telah memperkenalkan dasar yang membolehkan pelajar membawa peranti mereka sendiri ke sekolah. Sebagai contoh, TKC dan MRSM Taiping membenarkan pelajarnya membawa tablet jenis iPad ke asrama dan kelas.

Belajar pengekodan menggunakan tablet

Seorang bapa datang bertanya, “Bolehkah anak saya belajar pengekodan (coding) menggunakan tablet?”. Ini kerana sahabat beliau seorang pengaturcara memberitahunya untuk belajar pengekodan mestilah mempunyai sebuah komputer atau laptop.

”Tapi saya dah belikan anak saya iPad…” ujarnya lagi yang mana anaknya berada di tingkatan 1. Bagi yang baru mengenali istilah ‘pengekodan’, ianya merupakan satu aktiviti memanipulasi kod arahan komputer bagi tujuan tertentu.

Diharap jawapan dibawah (berdasarkan pengalaman saya sebagai guru Asas Sains Komputer) dapat menjadi panduan kepada beliau, ibu bapa, guru-guru serta pembaca yang mempunyai persoalan yang sama.  

1. Memang benar sebuah ‘komputer sebenar’ seperti PC dan laptop diperlukan untuk belajar ilmu pengekodan dan pengaturcaraan. Kelemahan tablet adalah limitasi pada sistem pengoperasian tablet membuatkan ianya tidak dapat menjalankan ‘terminal’ yang membolehkan sesebuah IDE digunakan. Namun, ianya tidak bermakna tablet tidak boleh digunakan untuk belajar pengekodan.

2. Sebenarnya, ianya bergantung kepada objektif pembelajaran serta tahap yang ingin dicapai. Pada peringkat umur 8 sehingga 15 tahun, lazimnya mereka perlu belajar asas pengekodan (fundamental of coding) serta satu lagi kemahiran penting iaitu pemikiran komputasional (computational thinking). Jika di sekolah menengah, asas ini diajar di Tingkatan 1 sehingga 3 dalam subjek pilihan Asas Sains Komputer (ASK).

3. Tablet menyediakan pengalaman pembelajaran yang MENYERONOKKAN. Mengapa saya tonjolkan perkataan ‘menyeronokkan’? Baiklah, pengekodan ini asalnya bukanlah satu subjek yang menarik. Anda terpaksa ‘berurusan’ dengan puluhan malahan ratusan baris kod dalam bentuk karektor dan nombor. Ianya umpama subjek Matamatik yang memerlukan daya pemikiran secara logikal (logical thinking).

Salah seorang pelajar menggunakan tablet untuk mempelajari asas pengekodan. App seperti Swift Playgrounds menyediakan cabaran ala permainan untuk pembelajaran.

4. Tablet telah mengeluarkan tanggapan bahawa belajar pengekodan sebagai satu perkara yang membosankan kepada satu pengalaman yang mengujakan. Ianya dilakukan dengan pembangun instruksi memanipulasi ciri-ciri interaktiviti pada skrin sesentuh serta memperkenalkan elemen-elemen ala permainan pada aplikasi pembelajaran yang dibangunkan.

5. Menerusi gedung app seperti App Store dan Play Store, pembangun menawarkan banyak app pembelajaran yang menarik untuk asas pengekodan. Ada berbayar dan kebanyaknya percuma. Contoh app popular adalah seperti Scratch Jr, Tynker, Hopscotch dan banyak lagi. App-app yang menawarkan pembelajaran menerusi pelbagai strategi mengikut tahap umur.

6. Selain app, aplikasi pembelajaran pengekodan juga boleh diakses menerusi pelayar web. MIT Scratch contohnya mencetuskan trend pembelajaran menggunakan kaedah ‘block’ bagi konsep dalam pengaturcaraan. Kaedah ini diikuti oleh kebanyakkan platform pembelajaran lain. Aplikasi ini telah dioptimasi pada paparan pelayar web di tablet.

Aplikasi web Scratch yang menyokong paparan tablet. Pelajar belajar asas pengekodan menggunakan ‘block’ secara serek dan lepas.

7. Bagi pengguna tablet seperti iPad, saya paling sarankan app Swift Playgrounds. Selain belajar asas pengekodkan secara cabaran penyelesaian masalah, app dari Apple ini boleh mengerakkan set robotik seperti LEGO V3, mBot dan sebagainya. Belajar menerusi Swift Playgrounds bermakna mereka telah belajar satu bahasa pengacaraan sebenar iaitu Swift.

8. Swift merupakan satu bahasa pengaturcaraan moden, sumber terbuka serta dinamik. Ia digunakan untuk pembangunan app-app untuk iOS, macOS, watchOS dan sebagainya. Kalau tanya pembangun dalam industri, ramai yang menyatakan Swift sebuah bahasa yang mempunyai permintaan tinggi. Menariknya, Apple menyediakan kurikulum khusus untuk guru dan pelajar untuknya menerusi inisiatif Everyone Can Code.

Swift Playgrounds menyediakan set pembelajaran yang lengkap dan disemak dengan kurikulum pembelajaran pengekodan di US dan UK.

Pengekodan, Pemikiran Komputasional & Sains Komputer

9. Pengekodan dan pemikiran komputasional merupakan sebahagian daripada ilmu Sains Komputer. Pengekodan dipromosikan sejak kebelakangan ini kerana ia dirasakan sebagai satu literasi asas yang wajib dimiliki, sepertimana juga menulis, membaca dan mengira. Belajar pengekodan bukan semestinya anak anda mesti berkerja sebagai pengaturcara. Sama seperti Sains, kita belajar Sains bukan mahu jadi Saintis; objektifnya mahukan pelajar memahami kejadian alam.

10. Perkara yang perlu dipelajari dalam pengekodan adalah asas pemikiran logik, penyelesaian masalah serta memahami bagaimamana dunia digital berfungsi. Set pengetahuan ini penting untuk menyediakan pelajar dengan cabaran abad ke-21 yang kebanyakkan pekerjaan anak-anak kita nanti masih belum wujud pada waktu sekarang.

Perkongsian saya mengenai pengalaman menjalankan program rintis penggunaan modul ‘Everyone Can Code’ dalam subjek Asas Sains Komputer. Pelajar belajar asas Sains Komputer menggunakan iPad.

11. Baiklah, ada juga yang bertanya, umur berapa paling sesuai untuk belajar pengekodan? Bagi saya tingkatan satu (13 tahun) merupakan tahap yang sesuai untuk belajar pengekodan kerana mereka telah mahir dalam pengiraan arimatik tertentu serta pemikiran pun lebih matang. Namun, ia juga boleh dipelajari seawal 8 tahun atau lebih muda daripada itu dengan aplikasi yang bersesuaian.

12. Jika anak anda berumur 16 tahun atau lebih, masih belum terlambat untuk belajar pengekodan. Malah ianya lebih mudah kerana mereka telah terdedah dengan lebih banyak kemahiran tertentu. Belajar pengekodan adalah untuk semua orang tanpa mengira umur. Saya juga pernah mengendalikan bengkel pengekodan untuk para guru dan mereka menyelesaikan cabaran dengan cemerlang.

Pelajar mempersembah proposal cadangan bagi satu inovasi app. Kemahiran asas penting sebelum pelajar melangkah ke tahap seterusnya.

13. Persoalannya disini setelah lengkap dengan kemahiran asas, apakah tahap seterusnya? Haa, disini barulah anda memerlukan sebuah ‘komputer sebenar’. Pada peringkat ini, jika anak ada berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains Komputer ataupun mahu jadi seorang ‘digital maker’, sebuah PC atau laptop diperlukan. Saya lebih menyarankan sebuah Macbook terpakai.

14. Tablet yang dibeli sebelum ini tidak lah rugi. Malah ia boleh jadi alat yang sangat berguna untuk pembelajaran. Sebagai contoh, dalam pembangunan inovasi app, tablet boleh digunakan untuk menguji prototaip app. Menguji di peranti sebenar lagi bagus berbanding menggunakan simulator kerana ia melibatkan ekosistem perkakasan sebenar.

15. Selain itu, tablet juga boleh jadi alat bantu yang berguna untuk pelajar. Dalam proses pembelajaran Sains Komputer, pelajar akan perlu banyak melakukan rujukan. Tablet boleh diletakkan disebelah untuk memaparkan video tutorial dalam masa yang sama anda melakukan suntingan. Ia juga boleh dijadikan paparan sekunder. 

16. Lazimnya pada tahap yang lebih tinggi, sedikit kematangan diperlukan pada pelajar dalam kemahiran analisis dan sintesis untuk menyelesaian masalah. Paling sesuai apabila mereka memasuki peringkat menengah atas atau berumur 16 tahun ke atas. Ia boleh dicapai lebih awal jika pelajar telah bersedia dengan perkara-perkara asas.

Pelajar bimbingan saya dalam pertandingan-pertandingan inovasi digital. Terlibat dalam bidang ini memerlukan pelajar mempunyai kemahiran penyelesaian masalah yang baik.

Semoga perkongsian saya kali ini dapat memberi penjelasan kepada ibu bapa diluar sana yang masih gusar mengenai penggunaan tablet untuk belajar literasi digital ini. Sila tinggalkan komen pada ruangan dibawah jika anda masih mempunyai persoalan-persoalan lain.

Terima kasih daun keladi.

Sumber gambar: Fail peribadi & Apple Everyone Can Code

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.