Belajar Robotik di Rumah Semasa PKPB COVID-19

Hai semua, catatan ini akan disiarkan dalam tiga bahagian iaitu (1) enam sebab mengapa perlu belajar Robotik, (2) cadangan kit Robot yang sesuai serta dimana nak beli di musim PKPB ini, dan (3) dimana nak belajar Robotik?.

Robotik merupakan satu bidang kejuruteraan yang menjadi trend sejak era 90-an lagi. Memasuki fasa pertengahan Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0) peranan Robotik semakin besar. 

Dahulunya, kit robotik sangat mahal. Kini, kita menyaksikan banyak kit robotik untuk pembelajaran yang dihasilkan untuk pelbagai peringkat umur pada harga yang lebih mampu milik. 

Baik, seperti dijanjikan, berikut merupakan ENAM sebab mengapa anak-anak anda di rumah perlu belajar Robotik pada musim PKP ini.

1. Belajar ilmu Pengekodan

Menerusi aktiviti robotik, anak-anak akan belajar mengendali sistem kawalan dengan menyusun atur kod-kod kawalan aturcara (coding). Mungkin mereka pernah menyertai program ‘Hour of Code’ sebelum ini atau belajar pengekodan dalam subjek Asas Sains Komputer di sekolah. Seterusnya, inilah masanya untuk aktiviti Robotik bagi memantapkan ilmu dan kemahiran mereka.

2. Asah kreativiti serta kemahiran teknikal

Dengan aktiviti robotik anak-anak akan belajar memasang komponen-komponen Robotik. Jika anak anda sudah memiliki set atau kit robotik ini, perkara pertama yang akan dilakukan adalah belajar memasang Robot mengikut modul yang diberikan. Seterusnya, barulah mereka akan terokai inovasi atau potensi lain yang boleh dilakukan dengan memperolehi aksesori-aksesori tambahan.

3. Belajar Robot adalah belajar kemahiran Penyelesaian Masalah 

Penyelesaian Masalah merupakan satu sub kemahiran penting Pembelajaran Abad Ke-21. Untuk itu, sebagai ibu bapa, anda boleh memberi tugasan berbentuk misi atau cabaran kepada anak-anak. Contohnya, minta mereka untuk bangunkan satu robot lipat baju atau robot mop lantai. Dengan itu, mereka akan berusaha untuk mencari penyelesaian teknikal bagi memenuhi objektif tersebut. 

4. Kit pembelajaran STEM terbaik

Sebenarnya, kit Robotik merupakan set aktiviti pembelajaran STEM terbaik kerana hampir kesemua disiplin ilmu STEM diaplikasi dan diintergrasi bersamanya. Anak-anak akan mula menyedari hal ini apabila di kelas-kelas STEM, mereka dapat mengaitkan apa yang dipelajari dengan pengalaman mereka sebelum ini dalam aktiviti Robotik.

5. Aktiviti menyeronokkan bersama ahli keluarga 

PKP menjadikan rutin harian agak membosankan. Jadikan aktiviti Robotik sebahagian daripada proses pembelajaran bersama keluarga yang menyeronokan. Setiap ahli keluarga boleh saling bantu-membantu untuk memasang dan menggerakkan Robot. Aktiviti ini akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

6. Persediaan untuk pekerjaan masa hadapan

PKP yang agak lama menyaksikan banyak industri terjejas teruk kerana kebergantungan kepada manusia untuk proses pengeluaran. Selepas krisis pandemik COVID-19, saya meramalkan satu fenomena baharu akan muncul apabila semua industri akan melihat kepada kaedah baharu berasaskan automasi mekatronik lantas menjadikan kemahiran Robotik sangat-sangat diperlukan. 

Robot sebenarnya dapat digunakan untuk manfaat semua bidang. Dari kesihatan, keselamatan hinggalah pertanian. Jadi, dengan menyediakan anak anda dengan kemahiran Robotik bermakna anda telah menyediakan mereka dengan cabaran perkerjaan pada masa hadapan.

Berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Robotik. Jangan lupa, nantikan bahagian kedua. Terima kasih kerana terus menyokong Cikgu Siber.

Cikgu Razif merupakan pendidik era digital yang gemar berkongsi sumber-sumber pendidikan. Ikuti beliau di IG dengan klik pada gambar beliau dibawah.

Grafik: Design vector created by Macrovector on Freepik

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.