Belajar seni, sejarah dan kebudayaan menerusi Google Arts & Culture

Sejujurnya, saya kurang meminati subjek Sejarah sewaktu di bangku sekolah. Ianya berubah setelah mengikuti lawatan sambil belajar anjuran sekolah ke tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah.

Agak terkejut melihat peninggalan sejarah ini yang terdiri daripada kompleks binaan masyarakat awal yang luas dan menarik. Ianya berlainan dengan tanggapan awal saya yang sebelum itu hanya melihat buku teks sahaja.

BERNAMA melaporkan hasil kajian pakar mengesahkan Sungai Batu di Lembah Bujang berusia 2,000 tahun dan jauh lebih tua daripada Angkor Wat di Kemboja yang berusia 900 tahun dan Chandi Borobodur di Indonesia yang berusia 1,200 tahun.

Di Singapore pada 2017, saya diberi kesempatan mengunjungi National Museum of Singapore, satu galeri muzium moden yang memaparkan banyak bahan bersejarah mengenai Singapura. Di sana juga saya dapat melihat betapa kayanya peninggalan budaya Melayu.

Melawat ke tempat bersejarah sebegini sebenarnya telah membuka minda saya mengenai dimensi baharu terhadap sesuatu perkara terutamanya berkenaan dengan kebudayaan, manusia dan latar masa.

Google Arts & Culture

Sudah tentu untuk berkunjung sesebuah tempat bersejarah atau galeri yang memaparkan koleksi kesenian terkenal memerlukan kos yang tinggi. Bukan semua orang mampu terbang ke luar negara berkunjung ke Piramid di Mesir atau Colosseum di Itali.

Google mengambil tanggungjawab membawa masyarakat mendekati seni dan budaya menerusi inisiatif Google Arts & Culture. Mereka mengkurasi serta menawarkan pengalaman mengembara ke galeri, muzium serta tapak bersejarah terkenal dunia – segalanya secara digital.

Pengguna dapat meninjau keseluruhan pelusuk bangunan atau monumen, melihat karya-karya seni dari artis terkemuka dunia serta mendapatkan maklumat mengenai tokoh-tokoh terkenal dalam bidang ini.

Selain itu, beberapa monumen terkenal dunia juga dibina semula dalam bentuk 3D membolehkan anda melihat keseluruhan bahagian dengan navigasi mudah pada komputer anda. Menarik bukan.

Selain itu, terdapat 3,071 lokasi telah berjaya dirakam meliputi hampir kesemua galeri dan muzium seluruh dunia menerusi Museum Views. Imej-imej ini dirakam menerusi kamera 360 darjah mengunakan teknologi Street Views mereka.

Guru-guru Sejarah atau Seni mungkin boleh memanfaatkan teknologi ini untuk diadaptasi dalam pengajaran mereka di kelas. Namun, carian saya untuk kandungan yang memaparkan Malaysia, hasilnya kurang relevan.

Diharap pada masa hadapan, agensi-agensi berkenaan dapat menjalinkan kerjasama dengan pihak Google agar koleksi berharga Malaysia juga dapat dirakam seterusnya kebudayaan kita yang kaya dapat dikongsi kepada masyarakat dunia.

Google Arts & Culture

Sumber gambar: Google Arts & Culture 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.