Adakah iPad Pro 2018 ini berbaloi untuk anda?

Semalam dalam acara khas di New York, Apple melancarkan iPad Pro generasi ke-3 dengan rekaan baharu sepenuhnya. Sudah pasti, tahun 2018 spesifikasi yang digunakan pada iPad Pro seiring dengan kemajuan teknologi perkakasan dan perisian yang dicapai mereka.

Saya menggunakan iPad Pro sejak 2016. Model yang digunakan adalah iPad Pro versi 9.7 inci 128GB Wi-Fi dari generasi pertama. Sehingga kini, sudah 6 bulan secara berturutan saya menggunakan iPad Pro sebagai peranti utama tanpa bergantung kepada Macbook.

Apa yang saya gemarkan mengenai iPad adalah ciri-ciri ‘portability’nya. Saiznya yang kompak membuatkan anda tidak merasa janggal untuk menggunakannya dimana-mana untuk mengakses maklumat atau berkreativiti.

Ianya lebih santai selain memudahkan pergerakan anda kerana ianya sebuah peranti yang kecil dan ringan. Kehadiran saiz skrin yang lebih besar pada iPad Pro 2018 (11 inci dan 12.9 inci) juga dilihat akan memberi lebih keselesaan.

Selain sebagai pengguna, saya juga melatih dan membimbing para guru serta pelajar yang mahu menggunakan iPad dan ekosistem Apple dalam pendidikan. Daripada maklumbalas yang diterima, kebanyakkan mereka mengakui potensi sebenar iPad menjangkui kepercayaan mereka sebelum ini.

Berbaloikah kalau saya mendapatkan iPad Pro keluaran 2018 ini? Persoalan ini mungkin ditanya kerana harga iPad Pro yang dijual di Malaysia bukannya murah. Kos ini membolehkan anda mendapatkan laptop dengan kemampuan yang sederhana untuk kegunaan harian.

Untuk menjawab soalan sama ada berbaloi atau tidak untuk iPad terbaru ini, anda perlu menjawab 3 persoalan berikut.

1. Sejauh mana anda memerlukannya?

iPad 2018 dijual dengan harga bermula RM1,447. Manakala iPad Pro 2018 dijual pada harga bermula RM3,499.

Mengapa anda mahukan sebuah iPad Pro 2018 sedangkan iPad 2018 (yang juga menyokong Apple Pencil) ditawarkan dengan harga yang jauh lebih rendah. Adakah hanya inginkan ‘gaya’, atau anda benar-benar memerlukannya?.

IPad Pro dihasilkan untuk memenuhi permintaan golongan profesional dalam bidang kreatif yang mahukan pemprosesan yang berkuasa.

Dua saiz ditawarkan, 12.9 inci dan 11 inci.

Mungkin anda mengenali pad dan stylus Wacom yang popular pada masa dahulu. Artis digital menggunakan aksesori ini pada laptop atau PC untuk berkarya.

iPad Pro dan Apple Pencil kini mengambil peranan itu sebagai alat terbaik menghasilkan grafik berkualiti tinggi terus pada tablet tanpa lagi melibatkan peranti tambahan.

Model 2018 ini memiliki spesifikasi yang tinggi serta kemampuan grafik yang mempersona. Jika anda mahukan peranti yang ‘cool’ untuk kerja-kerja berat seperti penyuntingan video 4K dan sebagainya, iPad Pro pilihan terbaik untuk anda.

Sebagai seorang pendidik, saya melihat iPad Pro ini sebagai satu gajet yang amat produktif untuk membantu guru menghasilkan bahan pengajaran yang berkualiti tinggi.

Jadi, tanya pada diri, adakah peranti ini memenuhi keperluan dalam kerjaya anda dengan penggunaan yang optima?

2. Adakah anda ingin berhijrah kepada penggunaan tablet sepenuhnya?

Saya melihat komputer tablet masih belum lagi dapat mencapai kemampuan sesebuah laptop walaupun ia sering dipromosi sebagai ‘masa hadapan komputer’.

Namun, bagi tugasan-tugasan tertentu tablet berfungsi dengan lebih baik dari laptop kerana ianya memiliki skrin sentuh untuk lakaran digital serta kamera belakang untuk fungsi Augmented Reality (AR).

Seperti yang saya sebutkan tadi, saya tidak lagi bergantung kepada laptop atau PC. Saya yakin produktiviti saya di iPad Pro lebih tinggi berbanding menggunakan laptop sebelum ini.

iPad Pro 2018 menawarkan cip pemprosesan A12X Bionic binaan 7nm yang amat berkuasa.

App-app dari App Store sudah memadai untuk saya melakukan pelbagai kerja-kerja grafik, penyuntingan video, kemaskini laman web, penulisan kajian sarjana dan sebagainya.

iOS 12 pula semakin baik dan memahami keperluan para pengguna. Sokongan Face ID dan ciri AR canggih pada iPad Pro 2018 memberikan satu pengalaman yang berbeza dari iPad sebelumnya.

Oleh itu, anda perlu bertanya kepada diri anda sendiri adakah anda akan menjadikan iPad ini sebagai peranti utama atau sekadar peranti sampingan kepada peranti utama anda.

3. Adakah anda sanggup melakukan perbelanjaan tambahan?

iPad Pro bukanlah sebuah ‘iPad Pro’ jika tanpa Apple Pencil. Apple Pencil yang digunakan sebagai alat lakaran digital ini dijual berasingan pada harga RM549.

Apple Pencil generasi kedua hanya menyokong iPad Pro 2018.

Selain itu, untuk lebih produktif, anda memerlukan satu papan kekunci fizikal. Apple menawarkan Smart Keyboard Folio dengan harga RM769. Namun, anda kelak boleh mendapatkan papan kekunci pada harga lebih murah daripada pengeluar pihak ketiga.

Tawaran papan kekunci khas dari Apple Store. Dilekatkan menggunakan 102 plat magnet kecil di dalam iPad Pro.

Jika anda menggunakan iPad Pro dengan spesifikasi asas, hanya 64GB sahaja simpanan memori diberikan. Sejujurnya ianya tidak mencukupi jika anda tidak bersedia dengan dunia ‘cloud’.

Dengan versi asas, anda perlu menguruskan fail media dengan melakukan perbelanjaan tambahan untuk melanggan perkhidmatan simpanan awan seperti iCloud (Apple) atau penyedia lain seperti GDrive (Google), OneDrive (Microsoft), DropBox dan sebagainya.

Langganan iCloud pada iPad saya. Hampir penuh 200GB dengan footage video
Integrasi pelbagai aplikasi simpanan awan di Files pada iOS12

Untuk berkerja secara awanan, anda perlu memiliki akses Internet berkelajuan tinggi di rumah dan tempat kerja untuk mengurus fail-fail media dengan lancar.

Jika tidak anda perlu menambah perbelanjaan untuk mendapatkan iPad Pro dengan ruang storan yang lebih tinggi.

Kesimpulan

iPad Pro 2018 merupakan sebuah peranti yang berkuasa, canggih dan anggun. Ianya kekal dalam kelasnya tersendiri. Namun, harganya bukanlah dalam kategori mampu milik.

Setiap pertimbangan perlu dilakukan sedalam-dalamnya sebelum anda menipiskan dompet anda.

Masih terngiang-ngiang lagi kata seorang rakan mengenai definisi ‘berbaloi’. Bagi beliau, sesuatu pembelian gajet akan dikira berbaloi jika kita menggunakan gajet tersebut untuk menjana pulangan tiga kali ganda daripada nilai gajet tersebut.

Apa pula istilah berbaloi bagi anda?

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.