Bilik Darjah Pintar Abad ke-21 dalam Bajet 2018 – 5 cadangan kami untuk KPM

Saya merupakan seorang graduan dalam bidang Multimedia Interaktif dari Pusat Teknologi Pengajaran & Multimedia, USM dan kini menyambung program sarjana dalam bidang Teknologi Pendidikan & Multimedia. Minat dan fokus saya sejak 10 tahun adalah mengenai inovasi dan teknologi dalam bidang pendidikan.

Khidmat sebagai jurulatih utama VLE KPM serta jurulatih sambilan sejak 2012 telah banyak membuka mata saya terutamanya mengenai realiti pendidikan di Malaysia. Api perjuangan untuk berkongsi kaedah terbaik pedagogi berasaskan teknologi kepada para pendidik tidak pernah  padam dalam diri.

Misi saya dan rakan sejak 2014 (menerusi inisiatif cikgusiber.com) adalah untuk mengintegrasi teknologi dalam kelas abad ke-21. Di sekolah pertama, iaitu salah sebuah sekolah harian luar bandar, saya bersama rakan membangunkan sebuah kelas ‘ala pintar’ dengan teknologi cast TV  iaitu menggunakan set televisyen dipasang dengan dongle khas untuk tujuan ‘mirroring’ tanpa wayar.

Kaedah ini membolehkan guru menggunakan peranti mereka sebagai alat pengajaran dengan fungsi kawalan kandungan multimedia, paparan app pendidikan menarik, dakwat digital serta fungsi visualizer. Peranti dihubungkan secara tanpa wayar membolehkan guru bebas bergerak di dalam kelas.

Kesungguhan pihak pentadbir dan semua warga sekolah tersebut haruslah dipuji apabila setelah setahun hampir semua kelas  dengan kapasiti keseluruhan hampir 600 pelajar ini berjaya dilengkapi dengan teknologi tersebut.

Seterusnya saya ditugaskan di salah sebuah sekolah berprestasi tinggi yang mengamalkan pembelajaran abad ke-21 menerusi modul Sekolah Amanah.

Disana saya dipertanggungjawabkan mengurus projek 4 bilik darjah pintar yang diberi nama Future Classroom. Kaedah pembelajaran digital secara  1:1 dan BYOD dilaksanakan untuk memberi pengalaman pembelajaran terbaik dan terkini kepada pelajar. Pelbagai cabaran dilalui telah mematangkan saya dengan pengalaman yang tidak ternilai.

Kini saya sedar, pembangunan kelas pintar sepertimana yang dihasratkan dalam bajet 2018 bukan hanya pembangunan fizikal kelas semata-mata. Ianya adalah mengenai pembangunan kemahiran pedagogi guru, kemahiran teknikal penggunaan, serta pengurusan & penyelenggaraan fizikal secara berterusan.

Asas terpenting adalah kepimpinan, visi, halatuju serta dasar dalaman sesebuah sekolah.

Berbekalkan pengalaman yang tidak seberapa, saya dan sahabat-sahabat saya di cikgusiber.com menggariskan 5 cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk penerapan elemen teknologi dalam pelaksanaan Bilik Darjah Pintar Abad ke-21.

#1

Membawa balik idea dan catatan pengalaman dari negara-negara yang sudah matang pelaksanaan kelas pintar abad ke-21 seperti Australia, USA dan UK untuk diaplikasikan di Malaysia. Idea ini harus diadun semua agar sesuai dan serasi dalam konteks pendidikan di Malaysia.

#2

Mewujudkan jawatan jurulatih SICS+ di setiap Pejabat Pendidikan Daerah dalam bidang teknologi pendidikan dan kemahiran pedagogi Pendidikan Abad ke-21.

#3

Kajian terperinci perlu dilakukan untuk memilih teknologi terbaik dan praktikal untuk melengkapi kelas abad ke-21 kelak. KPM diminta tidak terpengaruh dengan gimik kecanggihan aplikasi atau produk yang didemostrasikan oleh syarikat-syarikat tertentu.

#4

Melatih sumber manusia dalam aspek penyelenggaraan dan teknikal kelas. Jawatan atau peranan baru mungkin perlu dipertimbangkan.

#5

Capaian kepada maklumat amat penting. Dimana kini pelajar lebih berminat kepada bahan pembelajaran berbentuk video atau animasi yang memerlukan bilik darjah mempunyai kemampuan rangkaian Internet yang cemerlang.

Integrasi teknologi mungkin salah satu dari 5 atau 6 elemen dalam kelas abad ke-21, namun ianya merupakan aspek yang tidak boleh dipandang remeh. Teknologi yang digunakan mestilah besifat semasa serta dapat memenuhi keperluan generasi baharu yang berbeza dengan generasi sebelumnya.

Kelima-lima cadangan ini diperincikan dan akan dipanjangkan kepada Menteri Pendidikan kita nanti. Jika anda ada pempunyai pendapat atau cadangan lain untuk disertakan bersama, sila tinggalkan pada ruangan komen dibawah.

Sumber gambar: UTUSAN MALAYSIA

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.