Bina set pembelajaran interaktif di Quizlet

Apabila aksara ‘Q’ ditaip pada ruang carian Google, sistem algoritma carian mereka akan memaparkan cadangan carian dengan nama ‘Quizlet’.

Quizlet merupakan satu penyedia khidmat pembinaan set pembelajaran berasaskan kuiz yang mula diperkenalkan pada tahun 2005. Sepanjang tempoh ini pelbagai inovasi baru diperkenalkan  dalam usaha memberi difinisi baru untuk kuiz.

Menariknya Quizlet dimulakan oleh  Andrew Sutherland sewaktu berumur 15 tahun. Tujuan asal beliau adalah untuk membantu beliau belajar dalam kelas bahasa Perancis.

Beliau seterusnya berkongsi aplikasi yang dibangunkan kepada rakan yang lain dan bermula dari situ Quizlet berkembang sehingga digunakan di lebih 196 buah negara seluruh dunia serta diakses oleh 40 juta pengguna sebulan.

Ia disenaraikan sebagai antara 5 aplikasi yang popular digunakan oleh pelajar kolej oleh portal popular pelajar Daily Collegian.

Halaman dashboard utama Quizlet
Fungsi set pembelajaran yang dibina oleh anda

Menariknya di Quizlet, ianya bukan sekadar kuiz semata-mata. Ia menyediakan set pembelajaran dengan alat yang pelbagai seperti nota pembelajaran dengan Cards, pengukuhan dengan Learns dan Spellers, aplikasi kuiz dengan Test dan permainan teguh minda dengan Scatter dan Gravity.

Dalam kemaskinian terbaru minggu ini mereka membawakan ciri baru iaitu Long-Term Learning, dimana statistik pembelajaran anda dapat dilihat dan dianalisis (untuk versi naiktaraf).

Di atas merupakan video perkongsian tutorial ringkas oleh 2Minute Teacher Tech. Untuk fungsi Race (dalam video ini). Quizlet telah mengantikan dengan fungsi baru Gravity pada kemaskinian terbaru.

Sepanjang hari ini saya mencuba aplikasi ini dengan membina satu pembelajaran contoh. Sistemnya amat pantas dan rensponsif, namun saya agak kurang selesa dengan antaramuka yang dibina.

Saya sedikit terkeliru pada mulanya dengan beberapa butang tetapan tetapi selepas beberapa jam penerokaan saya sudah boleh memahami keseluruhan sistem. Saya yakin anda juga akan mengalami masalah yang sama jika anda adalah pengguna baru.

Untuk pengguna baru, sebelum anda membina set pembelajaran sendiri saya sarankan untuk anda melihat dan mencuba contoh beberapa tajuk pembelajaran yang telah dibina melalui fungsi carian untuk memahami cara sebenar pembelajaran di Quizlet.

Setelah set Quizlet  anda siap akan boleh berkongsinya dalam pelbagai cara (sepertimana aplikasi pembelajaran yang lain). Mereka juga mengintergasikan perkongsian dengan laman sosial, kurator web (ujian) dan juga Google Classroom.

Akaun percuma menyediakan hanya ciri asas dan batasan dalam kawalan keseluruhan sistem.

Versi berbayar (upgrade to Teacher) ditawarkan dengan menyediakan anda dengan pelbagai ciri tambahan (untuk guru) seperti melihat progres kerja pelajar, fungsi media tambahan pada halaman pembelajaran serta tiada had untuk membina kelas.

Untuk langganan setahun anda perlu membayar RM105.00 dan diskaun 20% akan diberikan jika anda mendaftar secara berkumpulan.

Intergasi perkongsian ke laman sosial, email, pautan khas dan Google Classroom

Melangkah ke hadapan, Quizlet juga pada tahun ini memperkenalkan aplikasi mudah alih untuk platform Android dan iOS.

Mereka menyatakan kedua-dua aplikasi ini masih dalam ujian beta dan mereka akan sentiasa memperbaiki sebarang ralat perisian dari masa ke semasa. Aplikasi ini akan saya ulas dalam catatan akan datang.

Muat turun Quizlet di Android
Muat turun Quizlet di iOS

Kesimpulannya, walaupun pada namanya kita membayangkan ia adalah aplikasi membina kuiz semata-mata namun sebenarnya ianya lebih daripada itu.

Mereka telah menawarkan  satu set pembelajaran yang lengkap dengan sokongan pembelajaran interaktif dengan analisis pembelajaran yang dapat membantu anda para guru mencerap proses pembelajaran.

Saya yakin aplikasi ini amat menarik untuk anda cuba dengan tawaran naiktaraf kepada akaun  guru yang dilihat amat berbaloi.

Terokai Quizlet
Layari Quizlet Blog

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.