Bina app pertama anda dengan App Inventor 2 dari MIT

Dua bulan sebelum menyertai satu acara hackathon di Korea Selatan kira-kira 2 tahun lepas, saya dan pelajar menerokai aplikasi Android Studio untuk pembangunan aplikasi pintar. 🇰🇷

Menyedari masa yang terbatas untuk belajar serta pelbagai kekangan tertentu, pelajar saya hadir dengan satu solusi yang lebih mudah dan pantas, iaitu MIT App Inventor. ⏳=📱

Sewaktu hackathon kami agak terkejut 😮 yang mana hampir 80% peserta dari pelbagai negara juga menggunakan aplikasi yang sama untuk cabaran membangunkan inovasi pembelajaran.

Membawa balik gelaran Best Innovation Award, MIT App Inventor juga digunakan oleh pelajar saya sejurus balik untuk menyertai satu lagi hackathon peringkat kebangsaan dengan tema berlainan.

Walaupun telah memenangi tempat pertama kategori sekolah, namun ia ditertawakan oleh para ‘real coders’ yang turut sama menyertai hackathon kategori terbuka. 🤣

Mereka merasakan penggunaan MIT App Inventor terlalu mudah dan tidak memberi cabaran sebenar membagunkan sesebuah sistem.

Sebagai contoh, untuk melakukan satu fungsi geolokasi kita hanya perlu drag and drop serta mengubah beberapa tetapan. Ianya banyak menyediakan shortcut kepada pembangunan sebenar, kata mereka lagi. 😊

Memang benar, ianya berbeza dengan aplikasi sebenar pembangunan aplikasi pintar yang mungkin melibatkan lebih 40 baris skrip aturcara (untuk geolokasi) dengan proses debugging dan sebagainya.

Namun, mereka mengakui sebagai permulaan pagi pelajar yang tiada asas dan ingin belajar membangunkan app, MIT App Inventor dirasakan sesuai.

Mengapa hari ini saya memperkenalkan MIT App Inventor? 🤔

Ya, masih ingat tak lagi, pada penghujung 2017 dimana pihak KPM dan MDEC memperkenalkan kempen Hour of Code. Ianya mengajar koding menerusi visual menggunakan kaedah blok.

Dalam subjek Asas Sains Komputer pula, aplikasi Scratch (juga dari MIT) diajar dalam bab 4 – Kod Arahan. Sistem blok yang sama juga digunakan dalam MIT App Inventor.

MIT App Inventor merupakan pilihan terbaik untuk ‘level-up’ kan pelajar anda dengan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan pembelajaran mereka sebelum ini. 😃

MIT App Inventor

MIT App Inventor (versi terkini App Inventor 2) merupakan satu aplikasi pembangunan app secara visual berasaskan blok sepertimana Scratch. Ianya untuk mengajar konsep koding dalam pembangunan aplikasi pintar peringkat permulaan.

Berbeza dengan pembangunan secara tradisional, ianya hanya memberi fokus kepada pembinaan proptotaip serta alat pembelajaran untuk mengajar kreativiti. Untuk membangunkan aplikasi sebenar, App Inventor agak kurang sesuai. 🤖

MIT App Inventor dibangunkan oleh Google Inc. dan kemudian diurus tadbir oleh MIT Media Lab di Massachusetts Institute of Technology (MIT). Aplikasi popular koding untuk kanak-kanak, Scratch juga dibangunkan di sana. 🙂

Untuk memulakan projek pembangunan app di MIT App Inventor 2, apa yang anda perlukan adalah sebuah laptop atau PC, dan sebuah peranti pintar Android untuk anda menguji app tersebut.

Bagi pelajar yang mahukan sedikit cabaran, mereka boleh menggunakan extension untuk mengintegrasi kod Javascript ke dalam pembangunan yang dirancang. 😎

MIT App Inventor 2 hanya menyokong pembangunan di Android sahaja buat masa ini. Mereka juga baru-baru ini, telah mengumumkan akan hadir ke iOS dalam masa terdekat.

Adakah anda mempunyai pengalaman menggunakan aplikasi ini? Kongsikan catatan ada pada ruangan komen dibawah.

Terokai  MIT App Inventor 2

Sentiasa bersama kami untuk pelbagai perkongsian teknologi dalam pembelajaran abad ke-21 dan jangan lupa untuk 👍 laman Facebook kami.

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.