Catatan – Bengkel Apple Swift App Development & Swift Playgroundbook @ Apple SG

Alhamdulillah setelah saringan awal, saya berjaya layak ke satu program yang julung kali diadakan di benua Asia iaitu Apple Swift App Development & Swift Playgroundbook di pusat latihan serantau Apple di Singapura pada 4-8 September 2017.

Pengembaraan ke sana tidak seorang diri. Saya bersama Cikgu Hazrat dari MRSM. Sebelum ini kami pernah sama-sama membentangkan mengenai insiatif Everyone Can Code di Apple Leadership & Learning Summit 2017.

Ini kali kedua saya ke kota singa. Kali pertama pada tahun lepas untuk satu program 10th Asia Pasific Young Leader Summit selama hampir 2 minggu di Wha Chong Instituitions.

Akibat tempoh jemputan yang pendek, saya mengalami sedikit kesukaran untuk memohon kebenaran ke luar negara. Kebetulan, tarikh bengkel terletak dalam tempoh saya bertransaksi cuti belajar memberi sedikit kesulitan.

Pada 4 September kami bertolak dari Pulau Pinang. Saya memilih untuk memakir kereta di bersebelahan masjid USM dengan jangkaan kereta saya mungkin di’klem’. Membayar kompaun RM30 lebih berbaloi daripada memakir di parkir lapangan terbang yang mahal.

Jam 1.20 petang kami tiba di Changi Airport, Singapura. Kami sempat mendapatkan tourist pass di lapangan terbang untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam di Singapura tanpa had sepanjang 5 hari.

Kami terus menuju ke Geylang, tempat hotel penginapan kami. Kami mendapat harga terbaik untuk penginapan selama 4 malam.

Rezeki kami hotel dalam proses renovasi dan menawarkan potongan harga. Bayangkan dengan hotel yang agak selesa kami hanya membayar RM570 sahaja iaitu kira-kira RM142 semalam.

Hari pertama kami melakukan ‘simulasi perjalanan’. Setelah check-in kami keluar untuk meninjau terlebih dahulu tempat berbengkel pada esoknya. Dengan MRT kami menuju ke stesen One North berhampiran Queens Town.

Berpandukan ‘deria ke-enam’ kami mencari arah tuju. Akhirnya kami menemui Innovis, sebuah bangunan yang gah dimana terletak pejabat serantau Apple, tempat kami menjalani latihan. Sempat juga kami bergambar dilobi bangunan.

Balik sahaja dari sana kami terus menujuk ke Marina Sand Bay untuk menikmati pesta lampu LED di Supertrees. Tepat sahaja jam 7.30 malam, ketibaan kami disambut dengan persembahan yang begitu mempersona.

Hari Pertama – Pembangunan App 

Hari pertama kami memilih untuk bertolak awal. Kami sempat bersarapan di kedai mamak di Geylang Road. Geylang Road menawarkan pelbagai restoran muslim yang halal. Di sini juga terletak sebuah Masjid.

Sepanjang pagi kami membincangkan mengenai isu-isu dalam negara mengenai pelaksanaan 1bestarinet oleh KPM, tekanan mencapai KPI dan sebagainya.

Penjalanan ke sana sedikit sesak kerana ramai perkerja yang ingin ke pejabat. Seterus tiba di stesen MRT One North kami dengan yakinnya menuju ke destinasi. Tourist pass yang  dibeli sewaktu di lapangan terbang amat membantu menjimatkan kos pengangkutan kami.

Hari pertama kami disapa oleh salah seorang pegawai Apple Education Singapura yang pernah kami bertemu di Kuala Lumpur. Maaf tidak memaparkan nama mereka kerana kami diberitahu polisi Apple tidak membenarkan kami menyiarkan nama staf mereka.

Setelah bersarapan kami memulakan sesi latihan oleh seorang pakar dalam bidang pengaturcaraan Swift dari Autralia. Beliau merupakan seorang staf Apple bukan tetap yang telah lama terlibat dalam pelbagai projek serta latihan bersama Apple. Selain Swift beliau juga mahir dalam pelbagai bahasa pengaturcaraan lain.

Setelah sesi memperkenalkan diri kami memulakan bengkel dengan tajuk system architecture untuk sesebuah app. Kemudian kami dipandu untuk menghasilkan aplikasi pintar pertama kami menerusi Xcode. Ianya lebih kepada perkara asas.

Hazrat datang dengan idea yang bagus untuk merakam hasil kerjanya menggunakan Quicktime. Ianya boleh dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Sepanjang bengkel, kami diberikan kupon makan sebanyak SGD10 sehari. Ianya cukup banyak untuk kami menghadam di kantin milik Apple. Jam 1 petang kami melihat kira-kira lebih 200 staf Apple sedang bersantai sambil menikmati hidangan makanan tengah hari mereka.

Pelbagai pilihan disediakan termasukkan kegemaran saya di situ, Nasi Lemak Ayam Goreng Rempah. Setiap hidangan datang dengan saiz yang besar sebagai standard. Staf Apple memberitahu mungkin saiz itu mengikut saiz standard di USA.

Tamat hari pertama, kami terus menuju ke Arab Street mencari nasi arab terbaik disini. Selesai sahaja, kami terus balik ke hotel untuk berehat serta menyiapkan tugasan yang diberikan.

Hari Kedua – Pengalaman di Apple Store

Hari kedua diteruskan dengan kami tiba lebih awal. Hazrat tanpa berlengah lagi telah menyerang mesin pembuat kopi automatik di sudut pantri. Semalam sahaja beliau menghabiskan 5 cup kopi pelbagai perisa di situ.

Sejurus sahaja tamat hari kedua, kami menuju ke Apple Store di Orchard Road. Untuk makluman, Apple Store ini baru dilancarkan pada tahun ini.

Setibanya disana kami terus menuju ke tingkat atas. Bahagian bawah kedai menawarkan pelbagai produk Apple manakala di atasnya ruang untuk pengunjung bersantai.

Apple Store menawarkan persekitaran yang kondusif untuk para pengunjung mengenali produk mereka dengan sokongan staf serta rekabentuk dalaman yang menarik.

Kami amat tertarik dengan sudut toy/maker yang memaparkan pelbagai inovasi pembelajaran digital dan robotik.

Kami mencuba sendiri aplikasi yang ditawarkan. Menurut pembantu kedai, Sfero serta beberapa lagi jenama amat sesuai digunakan untuk kanak-kanak belajar koding dan robotik.

Hari Ketiga – Playgroundbook

Hari ketiga diterusnya dengan tajuk baru iaitu Swift Playgroundbook. Kami memilih untuk menaiki shuttle sahaja untuk ke Innovis. Tidak dapat dinafikan Singapura mempunyai sistem pengangkutan yang amat cekap sekali.

Sesi bengkel kali ini kami belajar bagaimana untuk mengunakan fail dalam aplikasi Swift Playgrounds dan bagaimana untuk mengaplikasikan APInya di Xcode. Fail ini boleh dieksport semula ke aplikasi Swift Playgrounds untuk dijalankan pada iPad.

Ianya merupakan sesuatu perkara yang baharu. Kami melihat potensinya amat besar untuk diaplikasikan di Malaysia bagi sekolah yang terlibat dengan program Apple Distinguished Schools yang mempunyai iPad dan ‘Mac lab’.

Tamat program hari ketiga kami memilih untuk bersiar-siar mengunakan perkhidmatan shuttle. Untuk menikmati pemandangan kami memilih untuk berada di tingkat atas. Kami menuju ke tempat terakhir persinggahan shuttle di salah sebuah apartment di Red Hill.

Nasib kami agak malang apabila kami dipersilakan turun kerana menurut pemandunya bas menamatkan perkidmatannya disitu.

Kami terpaksa berjalan kaki menuju ke stasen MRT berdekatan kira-kira 1 kilometer. Sepanjang perjalanan kami sempat melihat rutin sibuk rakyat Singapura pulang berkerja.

Dari stesyen MRT Red Hill kami menuju balik ke Hotel. Hari ke-empat kami meneruskan perjuangan untuk membawa balik satu kemahiran baharu ke Malaysia.

Setelah melengkapkan modul akhirnya program ditamatkan pada jam 4.00 petang. Sepanjang 4 hari, Hazrat berjaya menghabiskan kopinya 3 kali dari jumlah cup kopi saya.

5 hari mengenali Hazrat, dapat saya simpulkan beliau merupakan seorang guru yang penuh dengan idea-idea baharu yang segar. Mengenali beliau merupakan satu peluang terbaik dalam perjalanan hidup.

Masa untuk bergerak pulang. Kami singgah di hotel di Geylang untuk mengambil beg dan bergerak ke lapangan terbang untuk pulang semula ke Penang.

Sepanjang bengkel, kemahiran yang diberikan memberi kami satu dimensi baru untuk kami mencipta modul kami sendiri untuk mengajar pengaturcaraan. Kami merupakan guru subjek Asas Sains Komputer dan pendedahan sebegini amat penting sekali.

Setiba di Pulau Pinang, seperti dijangka kereta saya telah diklem. Jam 12 malam saya terpaksa ke Jabatan Keselamatan menguruskan hal kompaun dan sebagainya.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.