6 perkara yang perlu anda tahu mengenai CikgooTUBE | #CikgooTUBE

Pada September, Saya dan Cikgu Romie terlibat dalam satu mesyuarat bersama pihak Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) KPM. Kami diberi peluang untuk membentang idea untuk merialisasikan hasrat KPM yang mahukan para guru terlibat sama membangunkan kualiti pendidikan negara menerusi penerbitan kandungan kreatif pembelajaran. Disini bermulanya idea CikgooTUBE.

Seterusnya saya, Cikgu Romie dan Cikgu Hailmi diberi tanggungjawab sebagai Jurulatih Utama (Master Trainer) untuk membentuk modul bagi latihan guru. Bengkel rintis pertama dijalankan di BTPN Perak sebulan kemudian. Seterusnya beberapa siri latihan dijalankan atas inisiatif BSTP serta inisiatif sendiri para jurulatih.

Tanpa disedari, sebelum acara pelancaran semalam, seramai 568 guru telah pun dilatih. Kami hanya mengambil masa kira-kira 2 bulan untuk tujuan tersebut. Dari Perlis hingga ke Sabah segala usaha digembeling. Ini kerana, pada awal 2020, inisiatif ini akan digerakkan secara besar-besaran.

Nak tahu lebih lanjut mengenai CikgooTUBE?. Berikut saya senaraikan 6 perkara yang perlu anda tahu mengenai projek ini.

Kenali #cikgooTUBE

1. Dimulakan oleh Dr. M

Dr. M sewaktu lawatan ke Jepun begitu tertarik dengan projek pengajaran menggunakan video pakar mereka. Beliau seterusnya meminta pihak KPM agar idea ini dapat diadaptasi dalam persekitaran pendidikan Malaysia. KPM menerusi BSTP (dahulunya dikenali sebagai BTP) diberi peranan untuk menjayakan hasrat ini.

2. Guru menerbit kandungan mereka sendiri

Dalam projek ini, guru perlu mencipta serta menerbit kandungan pembelajaran mereka sendiri. Guru bebas berkarya mengunakan apa sahaja teknik dan gaya pesembahan. Untuk meningkatkan kualiti penerbitan, para guru akan dilatih dengan kemahiran yang asas dan lanjutan. Para guru juga boleh mendapatkan bantuan BTP Negeri untuk khidmat rakaman, kepakaran pembangunan kandungan serta penerbitan.

3. Menggunakan platform Youtube

Para guru digalakkan mewujudkan saluran sendiri di Youtube kerana platform ni percuma dan mudah diakses oleh lebih ramai audien. Pihak BSTP akan membantu para guru meningkatkan jumlah subscribers agar guru dapat pula menjana pendapatan menerusi ciri pengiklanan pada Youtube. Inisiatif ini akan memberi motivasi kepada guru untuk sentiasa hadir dengan persembahan yang lebih kreatif dan menarik.

4. Diteraju oleh komuniti

CikgooTUBE sebenarnya milik komuniti. Peranan BSTP hanyalah untuk memberi sokongan kepada para guru untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti menerusi khidmat latihan, nasihat dan sebagainya. Setakat ini, 600 guru telah dikumpul di platform Telegram dan lebih 2000 likes di Facebook page. Pasukan cikgooTUBE secara rasmi telah dilancarkan pada 12 Disember 2019.

Sempat la mencelah. Bersama Cikgu Romie, Pengarah BSTP dan Datuk KPPM.

5. Penganugerahan

Hasil karya adalah hak milik eksklusif pencipta kandungan iaitu guru itu sendiri. Bagi mengiktiraf hasil kreatif guru dalam usaha penerbitkan video pengajaran, dalam majlis pelancaran semalam, diumumkan beberapa anugerah. Satu festival mungkin diwujudkan untuk mengiktiraf usaha para guru membangunkan kandungan-kandungan yang berkualiti tinggi untuk pendidikan.

6. #cikgooTUBE

Tanda pagar #cikgooTUBE digunakan untuk tanda pengenalan dan perkongsian. Pencipta kandungan diminta menggunakan tanda pagar ini pada platform Youtube ataupun platform media lain untuk tujuan pengesanan. BSTP memaklumkan kandungan terpilih yang menepati standard akan disiarkan terus di laman portal EduWebTV mereka.

Saya juga dimaklumkan pihak BSTP akan merakam semula kandungan-kandungan terbitan guru yang berpotensi untuk penerbitan video pengajaran yang lebih berkualiti. Berminat untuk menjadi pencipta kandungan pendidikan? Ayuh sertai Team CikgooTUBE.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.