[COVID-19] Penutupan sekolah – Cikgu-cikgu tak perlu risau, ini panduan untuk anda.

Ahad lepas, saya menjangkakan yang mana sekolah bakal ditutup apabila Malaysia mencatatkan kes paling tinggi Covid-19 antara negara-negara Asia Tenggara.

Sehingga artikel ini ditulis, PBB menerusi UNESCO melaporkan lebih 500 juta pelajar tidak dapat hadir ke sekolah kerana arahan penutupan sekolah oleh kerajaan secara menyeruruh dan separa menyeluruh di 56 buah negara.

Semalam diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang mana sekolah akan ditutup sehingga 31 Mac 2020. Langkah ini disusuli tindakan yang serupa di negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Kemboja dan Filipina.

Saya amat yakin, dengan perkembangan semasa, tempoh penutupan sekolah akan dilanjutkan beberapa minggu lagi setelah tamat bulan Mac. Mungkin sekurang-kurangnya untuk 2 minggu lagi.

Sebagai seorang pendidik, seperti juga anda, saya melihat penutupan ini sesuatu perkara yang amat merugikan apabila proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak dapat dijalankan.

UNESCO menyedari hal ini lantas mereka mempromosi penggunaan platform pembelajaran secara jarak jauh. Para sahabat guru jangan lah terlalu risau kerana dengan kecanggihan yang ada kini, pembelajaran boleh berlaku dimana-mana sahaja.

Jadi, mari kita lihat apakah platform yang boleh digunakan oleh para guru Malaysia untuk memastikan pembelajaran masih tetap berlaku.

Platform MOE Digital Learning

Setelah Frog VLE tidak lagi menjadi platform rasmi KPM, terdapat usaha membangunkan platform pembelajaran digital secara dalaman oleh pihak KPM sendiri. Satu usaha yang sangat bagus.

Platform yang dikenali sebagai MOE Digital Learning ini menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Google for Education, Microsoft Education dan terkini Apple Education.

Apa yang ditawarkan oleh MOE Digital Learning?

Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat tiga perkhidmatan utama yang ditawarkan. Ianya dapat dimanfaatkan oleh para guru bagi memastikan kelas tetap dapat dijalankan secara maya. Ianya adalah:

  1. Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS)
  2. Pautan kepada pelbagai aplikasi-aplikasi pembelajaran.
  3. Panduan penggunaan untuk para guru serta sumber pembelajaran lain.

Terkini, KPM memperkenalkan menu baharu ‘COVID-19 Remote Teaching’ sebagai satu kemudahan akses serta sumber pembelajaran untuk kemudahan guru sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Menu baharu ‘COVID-19 Remote Teaching’ untuk guru sebagai persediaan.

Jadi, bagaimana hendak bermula?. Baik, apa kata kita mulakan dengan para guru berkenalan dengan apa itu LMS dan aplikasi persidangan video.

Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS)

LMS merujuk kepada sistem pembelajaran dalam talian yang membolehkan guru mengendalikan kelas seperti berkongsi bahan untuk pembelajaran (nota, fail, e-book, video, pautan web dsb.), menghantar dan mengred tugasan, menjalankan kuiz dan sebagainya.

Dua LMS utama ditawarkan adalah Google Classroom dan Microsoft Teams. Saya cadangkan anda memilih salah satu platform sahaja untuk digunakan. Masing-masing hadir dengan simpanan awan Google Drive dan Microsoft OneDrive dengan sokongan pelbagai aplikasi menarik.

Berikut merupakan persediaan yang boleh anda lakukan untuk menggunakan LMS menerusi MOE Digital Learning ini:

  1. Dapatkan ID anda yang telah dibekalkan KPM. Seterusnya log masuk ke MOE Digital Learning. [Lihat panduan]
  2. Dapatkan ID daripada Guru Penyelaras Bestari / ICT sekolah anda. Mengedarkan ID pelajar bagi pelajar kelas anda.
  3. Menyediakan perancangan pengajaran serta bahan-bahan yang bakal digunakan.
Ini masanya untuk anda menerokai dunia baharu. Google Classroom amat mudah digunakan.

Seterusnya, digalakkan untuk anda menyertai saluran komuniti berikut yang disertai oleh ribuan guru dari seluruh negara:

Pengajaran secara video persidangan

Seterusnya, jika guru bercadang untuk menganjurkan pengajaran video secara dalam talian, dan jika ada memilih platform Google Classroom, saya cadangkan anda guna sahaja Hangouts Meet.

Ini kerana anda tidak perlu melakukan pendaftaran baharu. Hangouts Meet adalah milik Google dan ekosistemnya selari dengan barisan aplikasi yang ditawarkan mereka.

Bagaimana untuk bermula?. Sebagai contoh, anda ingin mengajar salah satu sub-topik Algoritma dalam subjek Asas Sains Komputer. Menerusi Meet anda dapat menyiarkan video anda secara langsung untuk diikuti oleh pelajar anda.

Dengan Meet selain video diri anda, ia juga membolehkan anda menyiarkan paparan skrin. Jika anda mempunyai slaid atau aplikasi pembelajaran lain seperti interactive whiteboard dan sebagainya ia akan membantu proses memberi kefahaman kepada pelajar.

Aplikasi Hangouts Meet yang sedia diakses menerus aplikasi Google Classroom. Sila ke penjuru kanan atas untuk melihat pelbagai tawaran aplikasi daripada Google.

 

Menerusi Google Meet anda boleh menyusun jadual bila pengajaran akan bermula. Maklumkan kepada pelajar anda waktu serta kod untuk menyertai kelas yang telah anda cipta.

Anda boleh menggunakan Google Classroom untuk membuat pengumuman mengenai jadual anda bersiaran serta kod untuk menyertai sesi di Meet. Jika anda berhubung dengan pelajar anda menerusi kumpulan sembang Whatsapp atau Telegram ianya lebih mudah.

Seperti juga Google Classroom, Hangouts Meet juga boleh diakses menggunakan telefon pintar. Jadi, para pelajar boleh mengakses dari mana-mana sahaja dengan mudah. Integrasi Google Classroom dan Hangouts Meet amat menyeronokkan.

Jika anda memilih untuk menggunakan Micosoft Teams, fungsi video persidangan untuk pengajaran video juga ditawarkan secara terbina menerusi aplikasi tersebut.

Aplikasi seperti Google Hangouts Meet dan ciri persidangan video pada Microsoft Teams merupakan antara aplikasi yang diberikan secara percuma kepada para pendidikan Malaysia.

Demo dan ujilari yang dijalankan pada Isnin bersama Penolong Kanan untuk persiapan modul di MCKK

Sebagai guru, disarankan anda menggunakan paranti dengan paparan besar seperti laptop atau tablet untuk kedua-dua LMS ini. Saya mencadangkan anda menguji aplikasi-aplikasi ini dengan rakan guru yang lain sebelum akan menggunakan dengan pelajar.

Dikala bencana yang melanda dunia sekarang, inilah peluang terbaik untuk para guru menerokai kaedah baharu berasaskan teknologi digital. Diharap keadaan kembali pulih, inshaallah.

Jangan lupa sertai saluran Telegram kami untuk pelbagai informasi terkini teknologi dalam pendidikan.

Dapatkan maklumat terkini mengenai COVID-19 di laman web rasmi WHO

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.