DELIMa 2.0 bakal menyokong sehingga 250 peserta menerusi Google Meet – pelbagai lagi ciri tambahan baharu hadir

Semua sedia maklum antara perkhidmatan alat pembelajaran yang ditawarkan oleh projek DELIMa dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah Google Workspace for Education Fundamentals (yang dahulunya dikenali sebagai G Suite for Education).

Namun, pakej tersebut mempunyai batasan tertentu seperti aplikasi persidangan video seperti Google Meet hanya dihadkan kepada 100 pelajar sahaja. Keadaan ini, menyukarkan guru atau pihak sekolah untuk menganjurkan kelas atau bengkel berskala besar.

Berita baik kerana mulai 26 Julai 2021, KPM mengumumkan perolehan pakej baharu yang akan melibatkan semua ID DELIMa sekolah dan guru. Berita yang sedikit kurang baik, pelaksanaan adalah secara berfasa. Ini bermaksud, akaun anda mungkin belum lagi diaktifkan.

Dalam fasa pertama, pakej baharu yang dikenali sebagai DELIMa 2.0 ini telah diaktifkan untuk JPN/PPD. Seterusnya, ID sekolah juga telah diaktifkan termasuk lapan ID khas baharu, yang bagi saya cukup untuk diagihkan kepada bidang-bidang tertentu di sekolah.

Seterusnya, dalam fasa 2, yang tarikhnya belum diumumkan bila, semua ID guru akan diaktifkan dengan pakej terbaharu ini yang membolehkan para pendidik menggunakan kesemua ciri-ciri yang dilampirkan di bawah.

Untuk ID DELIMa guru, ciri-ciri baharu Google Meet yang menarik bagi saya selain had penyertaan kepada 250 pelajar adalah kemampuan merekod sesi, breakout room serta laporan kehadiran. Google Classroom pula bakal menawarkan fungsi Originality Report yang sebelum ini ditawarkan secara percubaan.

Menarik bukan? Saya melihat Google Meet sehingga 250 peserta serta ciri-ciri lain seperi fungsi rakaman dan video streaming (untuk ID sekolah sahaja) sangat penting untuk kegunaan sekolah dalam situasi PdPR ketika pandemik. Keadaan ini dapat meringankan beban sekolah yang terpaksa melanggan perkhidmatan berbayar.

Semoga kemudahan ini, yang pastinya pihak KPM perlu membayar kos tertentu, dapat disegerakan untuk ID DELIMa guru agar ciri-ciri baharu diatas dapat dimanfaatkan. Terima kasih KPM.

Nota: Semakan pada 7 Ogos 2021, akaun/ID DELIMa 2.0 di sekolah saya masih belum diaktifkan untuk para guru. Lapan ID sekolah telah sedia aktif untuk digunakan. 

Jom join Telegram Cikgu Siber

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.