KPM menerbitkan Panduan Sistem Kehadiran Murid – tiada lagi kaedah manual merekod kehadiran

Masih ingat lagi pada 2017, pelajar saya hadir dengan inovasi eKehadiran menggunakan Telegram Bots pada aplikasi permesejan popular Telegram.

Dengan meletakkan Bot (kod automasi) yang dibina ke dalam kumpulan Telegram guru, para guru yang bertanggungjawab hanya mengemaskini kehadiran dengan butang khas dengan mudah.

Untuk menghasilkan inovasi ini pelajar menggunakan kemahiran pengaturcaraan serta akses kepada pangkalan data menggunakan pelayan (server) khas.

Namun, inovasi yang dicadang untuk digunapakai pada peringkat dalaman sekolah ini masih lagi dalam bentuk prototaip dan belum dilaksanakan.

Mengurang beban guru

Susulan amanat Menteri Pendidikan semalam, salah satu inisiatif yang akan diumumkan adalah untuk mengurangkan beban guru.

Saya sempat 3 tahun menjadi guru kelas. Sebelum ini, kaedah manual digunakan untuk merekod kehadiran pelajar ke sekolah.  Saya akui, menjadi guru kelas dan berurusan dengan kaedah lama ini agak membebankan.

Ada sekolah yang memerlukan guru bergerak ke pejabat mengambil buku rekod, menuju ke kelas atau tapak perhimpunan (bagi sekolah yang mengamalkan perhimpunan secara harian) dan kembali semula ke pejabat untuk menyerahkan buku rekod tersebut.

Sekolah lain mungkin memerlukan guru mendapatkan maklumat terlebih dahulu, kemudian ke tempat rak simpanan buku rekod kehadiran dan kemaskinian data perlu dilakukan di situ sahaja. Buku rekod tidak dibenarkan dibawa keluar tanpa kebenaran.

Kadang-kadang terdapat guru yang mempunyai kelas yang padat pada awal pagi atau hal kecemasan menyebabkan mereka ‘diburu’ kerana tidak mengemaskini buku rekod sebelum jam 10 pagi.

Proses seterusnya, staf atau guru tertentu akan menyemak dan memindahkan data dari semua buku rekod kehadiran untuk dimasukan ke dalam satu lagi sistem peringkat pusat.

Setiap bulan guru terpaksa menyalin semula kesemua nama dari halaman bulan sebelumnya dan melakukan analisis laporan kehadiran sendiri menggunakan kalkulator.

Bukan sahaja jadual kehadiran murid perlu diisi. Maklumat asas pelajar seperti nama ibu bapa, alamat dan sebagainya juga perlu dicatat secara manual. Bayangkannya betapa produktifnya jika teknologi digunakan.

Pedulikan cakap-cakap di media sosial dari kalangan bukan guru yang mempertikaikan dan menuduh guru sekarang sebagai pemalas sehinggakan kerja mencatat kehadiran pun dianggap beban.

Sistem eKehadiran KPM

KPM dalam surat perkeliling iktisas terbaru pada 14 Januari 2019 mengeluarkan satu panduan pengurusan rekod sistem kehadiran murid di sekolah-sekolah KPM.

Mereka memutuskan untuk semua sekolah menggunakan sistem ini mulai 2019. Tiada lagi kaedah manual digunakan kecuali bagi sekolah yang tiada akses capaian Internet atau tika bila sekolah mengalami gangguan Internet.

Guru kelas perlu merekod maklumat kehadiran menerusi aplikasi web APDM atau app menerusi peranti pintar. App boleh didapati menerusi App Store (iOS) dan Play Store (Android).

Diharap dengan inisiatif ini, kecekapan dalam urusan pentadbiran di sekolah dapat dipertingkat dan hasrat mengurangkan beban guru dapat dipanjangkan menerusi penggunaan pelbagai inovasi dan teknologi.

Anda guru kelas?. Kongsikan pengalaman anda menggunaan aplikasi ini pada ruangkan komen dibawah.

Lihat panduan eKehadiran
Muat turun eKehadiran Murid (Play Store)
Muat turun eKehadiran Murid (App Store)

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.