Frog VLE & 1bestarinet – harapan saya untuk 2019

Frog VLE

Saya menjadi jurulatih teknologi bagi JPN untuk latihan Frog VLE pada 2012 hingga 2015 bersama beberapa lagi rakan. Masih ingat lagi diawal fasa latihan, kami mengambil masa sehingga 4 hari untuk melengkapkan modul latihan yang dibekalkan.

Untuk makluman anda, Frog VLE disediakan sebagai sokongan platform pembelajaran dalam talian dalam pakej projek 1bestarinet KPM. Tender projek ini dianugerahkan kepada YTL Communications yang mana Frogasia yang menguruskan Frog VLE merupakan satu syarikat dibawahnya.

Mulai 2015, guru-guru dan sekolah diberi tekanan daripada pihak kementerian untuk meningkatkan kadar penggunaan sejurus teguran dalam laporan audit mengenai kadar penggunaan yang rendah. Isu penerimaan pengguna kepada sesuatu teknologi sebenarnya perkara biasa.

Berdasarkan jaringan saya dengan rakan-rakan antarabangsa, isu penggunaan berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah berlaku di seluruh dunia. Mungkin anda boleh membaca kajian-kajian akademik yang menguji model UTAUT (Venkatesh, 2003) atau TAM untuk memahami fenomena ini..

Saya tertarik dengan pengenalan inovasi dari Frogasia seperti pengenalan modul-modul mudah seperti PIE dan CHEnDOL, penganjuran cabaran kuiz FrogPlay serta usaha memperkasa kandungan resipotari.

Kredit juga harus diberikan kerana membenarkan halaman disiarkan secara umum di web. Namun, alangkah baiknya jika pihak pembangun dapat memikirkan solusi agar kandungan lebih mesra engin carian Google.

Untuk kesinambungan Frog VLE pada 2019, dasar kementerian yang mahu kadar penggunaan diperhebat sudah tentu memberi cabaran besar kepada pasukan pelaksana serta guru.

Harapan saya untuk 2019

Untuk 2019, kegagalan Frogasia untuk memacu inovasi baharu serta meningkatkan minat guru untuk terus menggunakan Frog VLE tanpa paksaan bakal memberi reputasi buruk kepada platform ini.

Pengguna akan bermotivasi menggunakan sesuatu aplikasi jika ianya diyakini memudahkan kerja guru dan berkesan. Google Classroom sebagai contoh bagaimana sebuah aplikasi yang baik dapat menarik minat pengguna.

Sepertimana diketahui, Frogasia telah melancarkan Frog Assignment di Play Store. Diharap, aplikasi Frog VLE perlu segera hadir dengan sokongan app penuh di App Store & PlayStore dengan ciri-ciri unik serta mesra pengguna.

Ya, mustahil untuk membawa keseluruhan sistem VLE ke dalam bentuk app yang strukturnya lebih kecil. Mungkin pembangun boleh mengusahakan sebuah LMS yang lebih ringkas, menarik dan mudah untuk digunakan.

Sudah tentu harapan terbesar saya untuk KPM tidak lagi menjadikan kadar penggunaan sebagai KPI utama seiring dengan dasar terkini mereka untuk tidak membebankan guru.

Akses Internet menerusi projek 1bestarinet

Prestasi capaian Internet merupakan perkara paling penting dalam usaha mengintegrasi penggunaan ICT dalam pembelajaran di sekolah. Pelajar sudah tidak lagi ke perpustakaan untuk membuat penyelidikan.

Dasar dalaman sesetengah sekolah membenarkan komputer riba atau komputer tablet milik sendiri dibawa ke sekolah untuk tujuan pembelajaran. Program Komputer 1Malaysia juga membekalkan komputer netbook kepada pelajar yang layak.

Kadar kelajuan Internet perlu dipertingkat seiring dengan kadar downstream media pembelajaran kini yang semakin membesar. Sebagai contoh, video kini dinikmati secara HD. Pelajar memerlukan akses yang lancar untuk pembelajaran. Begitu juga guru.

Semua sedia maklum, KPM mengambil inisiatif dengan menyediakan kemudian Internet di lebih 10,000 buah sekolah menerusi projek 1bestarinet mulai 2011. Tentu anda perasan dengan menara setinggi 10 tingkat yang dipasang di setiap sekolah.

Projek ini mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan melibatkan beberapa fasa yang menelan belanja lebih RM4 bilion. Maknanya, pada 2025, liputan di Malaysia sepatutnya akan tip top.

Setelah 7 tahun, menerusi perbualan dengan ramai rakan-rakan Guru Penyelaras ICT dan Guru Penyelaras Bestari, mereka memberi maklum balas yang negatif dengan perkhidmatan yang diterima.

Bernama melaporkan setakat pertengahan 2018 kerajaan telahpun membelanjakan RM741 juta dan fasa kedua akan tamat pada Jun 2019. Seterusnya tender baharu akan dibuka. KPM pada September telah melakukan penilaian semula projek ini.

Disebalik kritikan mengenai prestasi projek ini, akan wujud beberapa persoalan besar menanti. Antaranya, adakah vendor sedia ada akan diberikan sambungan kontrak untuk fasa ke-3? Dan jika berlakunya pertukaran vendor, bagaimana dengan teknologi yang telah sedia dipasang?.

Harapan saya untuk 2019

Satu sahaja harapan saya agar pihak KPM berbincang semula dengan pihak pembekal untuk menambah kelajuan Internet di sekolah-sekolah. Teknologi lebih baik juga perlu difikirkan untuk menampung bilangan pengguna yang ramai secara serentak.

Selain itu, bilangan Access Point (AP) jenis  Zoom yang sedang digunakan sekarang perlu ditambah untuk memperluaskan lagi liputan. Pihak kementerian juga perlu melihat inisiatif lain untuk menempatkan satu AP didalam setiap kelas.

Jadi apakah harapan anda untuk 2019. Sila tinggalkan pendapat anda pada ruangan komen dibawah.

Sumber gambar: Frogasia

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.