[Catatan] Terpilih sebagai guru KPM pertama menerima pengiktirafan Apple Distinguished Educator

Agak terkejut apabila dihubungi Apple memaklumkan yang mana saya telah terpilih untuk menerima pengiktirafan sebagai seorang Apple Distinguished Educator (ADE) – menjadikan saya guru pertama dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerima pengiktirafan tersebut.

Projek penggunaan teknologi Apple untuk pendidikan di sekolah-sekolah kendalian KPM sebenarnya telah bermula sejak 2016 lagi. Ia melibatkan beberapa sekolah terpilih. Sekolah-sekolah ini menggunakan sepenuhnya ekosistem pembelajaran daripada Apple dengan iPad sebagai peranti utama.

Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan yang besar dalam pencalonan kali ini. Saya meletakkan sasaran untuk tahun 2021. Pencapaian ini sebenarnya telah meletakkan satu penanda aras baharu kepada projek ini yang kini telah memasuki 4 tahun pelaksanaannya.

Apple Distinguished Educator (ADE)

Google, Microsoft dan Apple merupakan tiga jenama gergasi digital dunia yang menyumbang dana yang besar untuk menggerakkan inisiatif pendidikan seluruh dunia. Pelbagai inisiatif disediakan sebagai salah satu tanggungjawab sosial mereka untuk masyarakat. Mereka melihat dunia pendidikan amat penting kerana teknologi yang mereka hasilkan terbukti digunakan dengan aktif dan efektif.

Jika Google mempunyai program Google for Education Certified Innovators, Microsoft dengan MIE Experts, Apple pula menjalankan program Apple Distinguished Educators yang bagi saya agak berbeza. Pengiktirafan dari Apple diberikan setiap dua tahun melibatkan pembangunan secara menyeluruh dari pelbagai aspek untuk pendidik itu secara jangka masa yang panjang.

Saya sendiri mengambil masa tiga tahun. Ini bermakna perkembangan anda akan sentiasa ‘diperhatikan’ oleh pihak Apple Education. Bagi mereka, ADE mestilah seorang yang dapat memberi inspirasi kepada individu lain menerusi usaha mentransformasi diri dan persekitaran. Mereka juga perlu menonjol dengan terlibat secara aktif dalam komuniti dengan berkongsi amalan-amalan terbaik pendidikan menerusi penerbitan atau media-media sosial.

Pedagogi

ADE sebenarnya merupakan satu program pengiktirafan yang telah wujud sejak 25 tahun lalu. Ianya dirangka untuk memberi pengiktirafan kepada para pendidik dari seluruh dunia yang telah membuktikan mereka telah berjaya mentransformasi dunia pendidikan menerusi penggunaan teknologi Apple. 

Sepanjang tempoh pembangunan, pendidik yang mahu menggunakan teknologi daripada Apple sebagai satu alat pembelajaran mereka akan berusaha memperkasa diri dengan melakukan perubahan pada diri serta persekitaran mereka. Apple Education akan bertanggungjawab menyediakan pelbagai ruang untuk guru memperkasa kemahiran teknikal serta memperkemas kaedah pedagogi digital mereka.

Saya mengalami sendiri program pembangunan bersama pihak Apple selama beberapa tahun. Saya sifatkan pembawakan Apple untuk pendidikan sangat menarik kerana menjurus kepada bagaimana seharusnya pendidikan abad ke-21 harus dipacu bagi menyediakan pelajar kepada anjakkan dan peralihan industri.

Mereka juga memberi pendedahan kepada ‘Enquiry-Based Learning’ serta bagaimana untuk membawa kreativiti dan pemikiran kritis ke dalam pembelajaran. Apple menyediakan panduan dan kurikulum yang lengkap iaitu ‘Everyone Can Code’ dan ‘Everyone Can Create’ yang bukan sahaja hadir dengan panduan, tetapi beberapa aplikasi pintar khas yang didedikasi untuknya.

ADE Class of 2019

Untuk bergelar ADE pada 2019, akibat persaingan yang semakin berkualiti, kami dimaklumkan ia melibatkan pemilihan yang agak ketat. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi seluruh dunia apabila teknologi untuk pendidikan kini menjadi agak ‘’trending’. Ini diakui juga oleh para peserta yang pernah terlibat juga terlibat dengan pembangunan profesional daripada Google.

Untuk Malaysia hanya lima tempat sahaja diberikan. Difahamkan jumlah koata bergantung kepada seberapa banyak jumlah permohonan pada tahun semasa. Jika ramai memohon, semakin banyaklah koata diberikan. Program pengiktirafan ini terbuka kepada guru, pensyarah, pemimpin pendidikan atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam pendidikan.

Alhamdulillah, kami juga dimaklumkan markah merit yang diberikan kepada kami daripada panel pemilihan ADE global adalah tinggi untuk kami melepasi dua saringan awal dengan mudah. Ini membuktikan para pendidik Malaysia juga kini setanding dengan guru-guru di luar sana dalam bidang teknologi pendidikan. Ha ha, kena la masuk bakul angkat diri sendiri.

Satu emel rasmi diperolehi mengesahkan program pengiktirafan kami ini akan diadakan di Gold Coast, Queenland, Australia. Gold Coast yang terletak di Selatan Autralia merupakan satu destinasi pelancongan popular dunia. Nantikan bahagian seterusnya bagaimana perjalanan saya untuk menyertai ADE Institute seterusnya menerima pengiktirafan antarabangsa ini.

Pengalaman menyertai 2019 ADE Institute

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.