6 sebab mengapa pelajar anda perlu menyertai ‘hackathon’

Penyertaan ke dalam program hackathone-ICON World Contest di Gyeongju, Korea Selatan pada Julai 2016 memberi pengalaman yang sangat berharga.

Ianya merupakan pengalaman pertama saya selaku guru pembimbing inovasi digital di pentas antarabangsa.

Malaysia diwakili oleh 3 buah sekolah yang dipilih dan disaring kelayakkannya oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pasukan hackathon yang dikendalikan telah memperolehi Best Innovation Award atas idea serta prototaip digital yang dipersembahkan.

Pelajar saya bersama komuniti pembangun muda antarabangsa.

‘Sekolah Hackathon’

Seterusnya, pada Oktober tahun yang sama kami menyertai pula 2016 MAMPU Open Data Hackathon. Disini kami mula mengenali konsep hackathon dengan lebih dekat. Setelah 30 jam bersengkang mata pasukan pelajar yang dibimbing memperolehi tempat pertama cabaran. Syukur.

Penyertaan kali kedua ini telah membuka jalan untuk kami terus mara ke hadapan untuk menerokai potensi dalam dunia digital dengan lebih serius.

Saya menggelar gerakan kami sebagai ‘sekolah hackathon’ dengan tanda pengenalan #hackathonterusmara.

Kejayaan bermakna di 2016 MAMPU Open Data Hackathon

Apa itu Hackathon?

Mendengar frasa ‘hack’ pada perkataan ‘hackathon’ menyebabkan ramai yang mengaitkan aktiviti ini dengan maksud yang negatif iaitu merujuk kepada aktiviti pengodaman secara tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya ‘hack’ disini bermaksud ‘menulis aturcara komputer untuk keseronokan. Hackathon pula merujuk kepada satu  ‘acara perlumbaan’ yang mengumpulkan para pembangun bertujuan untuk mencari solusi kepada permasalahan yang wujud.

Dalam hackathon, fokus utama adalah pembangunan teknologi digital terutamanya pembangunan perisian aplikasi.

Anda bebas menghasilkan idea serta prototaip dalam pelbagai bentuk seperti sistem automasi, perisian aplikasi ataupun aplikasi peranti pintar.

Fenomena Hackathon

Di Malaysia, sejak awal 2016, acara hackathon mewujudkan fenomenanya tersendiri sehinggakan syarikat syarikat besar seperti Malaysia Airlines Berhad,Telekom Malaysia, AirAsia, GRAB dan pelbagai lagi terpanggil untuk menganjurkan hackathon mereka sendiri.

Airvolution Hackhaton anjuran AirAsia – Gambar Airasia.

 

Ada juga hackathon yang dijalankan secara sukarela atau bersifat komuniti seperti Dev/Con Community-driven Hackathon, JBK Hackthon, JomHack dan HackFest.my.

MAMPU pula merupakan satu-satunya agensi kerajaan terawal yang menganjurkan hackathon dengan tema Big Data Analytics menerusi MAMPU 48 hours Open Data Hackathon. Mereka melihat betapa besarnya potensi ‘open data’ yang mereka miliki di http://www.data.gov.my.

MDEC pula sejak awal 2016 dilihat begitu aktif menganjurkan hackathon yang melibatkan pembangun-pembangun muda dari kalangan pelajar sekolah menerusi inisiatif #mydigitalmaker.

Dua Pasukan hackathon  yang dibimbing memperolehi hadiah utama berupa biasiswa digital serta Macbook Pro with Touch Bar bernilai RM20,000 di MDEC e-ASPIRASI Hackathon – Gambar MDEC

Hanya datang dan ‘nikmati’ hari anda…

Di hackathon, satu kumpulan akan terdiri daripada 3-5 peserta. Peserta akan itempatkan di satu meja kerja bersama peserta lain dalam satu ruang terbuka.

Indahnya di hackathon, peserta hanya perlu datang dengan atau tanpa sebarang idea atau persediaan lain. Yang diperlukan hanyalah sebuah laptop bagi setiap peserta. Proses seterusnya tidaklah terlalu ‘indah’ kerana anda terpaksa memerah otak anda sepenuhnya.

Peserta diberi tempoh masa tertentu untuk mencakna idea lantas membangun kod aturcara mereka dan idea serta prototaip perlu dipersembahkan pada hari terakhir dalam sesi pembentangan yang disebut ‘pitching’.

Perlukah semua peserta mahir menulis kod aturcara?

Jawapannya TIDAK. Mungkin dua peserta sudah memadai untuk membina kod aturcara. Selebihnya, mungkin boleh memberi fokus kepada hal-hal lain yang sama penting seperti pembangunan struktur data, algoritma, rekabentuk grafik/antaramuka serta persediaan untuk persembahan idea.

Perlu juga ada ahli yang mahir berkomunikasi serta memahami selok belok model perniagaan digital. Soalan mengenai model perniagaan seringkali ditanya oleh para juri semasa sesi pembentangan (pitching).

Bersama cikgu k-pop, cikgu JJ dari Changwon Science High School, Korea Selatan membimbing para peserta

 

Menyertai hackathon merupakan satu aktiviti yang saya rasakan mempunyai impak yang besar kepada perkembangan pelajar dan ia amat relevan dalam tuntutan zaman peralihan Industry 3.0 kepada Industry 4.0.

Berikut, berdasarkan pengalaman yang tak  seberapa ini, saya senaraikan 8 sebab mengapa anda sebagai pendidik harus menggalakkan pelajar anda menyertai aktiviti hackathon.

Mengapa perlu menyertai hackathon?

# 1 – Mengalakkan perkembangan idea dan meningkatkan kreativiti

Aspek terpenting  hackathon adalah bagaimana pelajar anda menerokai idea-idea baharu inovasi digital bagi menyelesaikan masalah kehidupan umat manusia.

Lazimnya satu tema tertentu diberikan.  Seterusnya idea yang diperolehi perlu diterjemahkan kepada satu prototaip produk atau perkhidmatan. Proses ini memangkin pemikiran pelajar agar lebih kreatif dan inovatif.

Hackfest.my di KDU, Penang bertemakan ‘Smart Tourism’

#2 – Belajar Kemahiran Pengurusan Masa dan Menghadapi Tekanan

Hackathon lazimnya diadakan pada hujung minggu. Pada Jumaat petang peserta boleh mula check-in. Pada malamnya akan terdapat satu sesi taklimat serta perkongsian pengalaman dari tetamu jemputan.

Seterusnya peserta mempunyai masa sehingga pagi Ahad untuk menyiapkan prototaip. Masa yang terhad membuatkan para peserta  belajar untuk mengurus masa dan tekanan. 

Fenomena biasa di hackathon, tak hackathon kalau tak semak.

 

Peserta bebas mengatur masa mereka. Ada yang bergilir-gilir berjaga dan tidur bagi memastikan masa dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan.

Sewaktu menyertai HackFest.my di Pulau Pinang pada Mac lepas, kami masih sempat beriadah di tepi pantai sebelum menyambung kembali cabaran.

Bagi para peserta keselesaan bukan keutamaan. Mereka tidur di mana-mana penjuru sehinggakan ada juga yang tertidur di bawah meja.

 

Tekanan akan benar-benar dirasai apabila masa hampir ke penghujungnya. Peserta bukan sahaja perlu menyiapkan prototaip. Mereka juga harus merancang untuk sebuah persembahan berkesan di hadapan para juri nanti.

#3 – Interaksi Sosial Pelajar dengan Komuniti

Perkara ini saya rasanya yang paling menarik mengenai hackathon. Di hackathon para peserta akan berjumpa dengan ramai personal dari pelbagai latar belakang.

Mereka akan melakukan interaksi dengan peserta lain yang lebih mahir dan berpengalaman.

Untuk makluman hackathon disertai oleh pelajar-pelajar sains komputer dari IPTA/IPTS,  peserta program intership syarikat berteraskan teknologi, usahawan startup serta ‘orang lama’ industri digital Malaysia yang hanya meluangkan masa lapang mereka.

Jaringan dan jalinan membawa pelajar melangkah lebih jauh

 

Ada juga hackathon yang menyediakan khidmat pementoran kepada para peserta. Para mentor ini amat penting untuk membuka minda para pelajar mengenai realiti dunia digital serta tips-tips kejayaan.

Ini peluang yang sangat baik untuk pelajar anda memperluaskan jaringan, meraih pengalaman serta mencari para mentor yang dapat memberi panduan, tunjuk ajar serta memberi inspirasi kepada mereka.

#4 – Meningkatkan Kemahiran Komunikasi

Hari terakhir hackathon merupakan hari yang penuh debaran. Setelah ‘visel akhir’ ditiup, peserta dikehendaki ke bilik khas untuk mempersembahkan hasil mereka.

Ada format hackathon yang memerlukan peserta melakukan persembahan kepada umum / semua peserta.

Setiap kumpulan akan diberi nombor giliran untuk mempersembahkan idea serta prototaip mereka. Dalam sesi pitching mereka perlu meyakinkan para juri mengenai idea luabiasa mereka dan mengapa produk mereka penting dan relaven dengan dunia semasa.

Lazimnya, juri yang dijemput bukan ‘calang-calang’orangnya.

Para juri mencuba prototaip yang dihasilkan

 

Sesi ‘pitching’ akan melatih kemahiran komunikasi para peserta. Masa untuk persembahan dan sesi soal jawab adalah sekitar 5-15 minit. Semakin ramai jumlah menyertaan, semakin sedikit masa diperuntukan.

Peserta perlu merancang dan menguruskan persembahan agar segala-galanya jelas dan masa yang diberikan mencukupi.

Pengalaman melakukan pembentangan sewaktu sesi ‘pitching’ akan memberi pelajar anda keyakinan yang tinggi pada masa hadapan. Kemahiran ini amat penting untuk mereka miliki untuk digunakan di alam kerjaya kelak.

#5 – Ganjaran Kemenangan yang Lumayan

Biasanya bagi hackathon yang berprestij, tiada yuran penyertaan dikenakan. Ianya percuma kerana penaja telahpun menanggung kos penganjuran. Kos yang anda perlu tanggung mungkin kos pengangkutan pergi dan balik ke tempat pertandingan.

Di hackathon, lazimnya para peserta akan berada di co-working space yang biasanya membenarkan anda akses untuk 24 jam.

Jadi pelajar anda tidak memerlukan hotel dengan bantal yang empuk. Tempat solat, beristirehat dan membersihkan diri lazimnya akan disediakan penganjur.

Jika pelajar anda terpilih sebagai pemenang utama, ganjaran berbentuk wang tunai merupakan satu bonus buat mereka dan mungkin juga anda selaku guru pembimbing.

Ianya juga mungkin dapat digunakan sebagai modal untuk proses seterusnya iaitu menjadikan prototaip mereka satu produk yang dapat dipasarkan.

Selain ganjaran berbentuk meterial, apabila sesebuah pasukan memenangi sesuatu pertandingan, ianya membuka peluang untuk mereka melangkah lebih jauh. Sebagai contoh untuk kelayakan memohon skim pembiayaan permulaan atau disebut dana startup.  

Ganjaran kepada para pemenang di JBK, disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan – Gambar JBK

 

Salah satu objektif pihak penaja dan juga penganjur adalah untuk mencari inovasi yang mungkin boleh digunakan dalam perniagaan mereka.

Manalah tahu, mereka berminat dengan potensi idea dan prototaip anda lantas mahu anda membangunkannya sebagai satu produk perkhidmatan utama mereka dengan modal tertentu. Rezeki ayam nampak dikaki, rezeki kita siapa yang tahu.

#6 – Membina Reputasi Pelajar

Semakin banyak hackathon yang pelajar anda sertai ia akan memberi merit kepada portfolio mereka. Pelajar akan memperolehi pengalaman yang tidak ternilai.

Setiap hackathon mempunyai kelainannya tersendiri. pelajar akan mempunyai pengalaman yang berbeza. Setiap kemenangan pula akan memberi tambahan merit kepada mereka.

Jarang sekali hackathon menawarkan kategori sekolah. Ia diadakan secara terbuka dan jika pelajar bejaya meraih hadiah utama atau 10 pasukan terbaik kategori terbuka, kesannya akan lebih besar kepada masa depan mereka.

Membina Malaysia yang lebih gemilang

Pernah sekali penyertaan pasukan pelajar saya ditolak oleh penganjur untuk MAB Hackathon atas faktor umur, Maklumlah pelajar saya masih pelajar sekolah. Tetapi, pengalaman sebegini menaikkan semangat kami untuk terus bersaing.

Setakat ini, pelajar saya telah meyertai lebih 6 acara hackathon yang kebanyakkan dalam kategori terbuka. Namun, sepanjang menyertai cabaran, kelibat pelajar-pelajar sekolah lain amat jarang kelihatan.

Dikala agenda pembangunan kemahiran digital menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan, kehadiran generasi muda remaja ke pertandingan seperti ini dilihat amat penting bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan cabaran. Ianya merupakan pendedahan yang mereka perlukan untuk kemenjadian mereka.

Suasana JBK Hackathon di MaGIC, Cyberjaya – Gambar JBK

 

Untuk lebih adil, saya mencadangkan para penganjur memperkenalkan satu kategori baharu khas untuk pembangun muda. Memang diakui amat baik untuk bersaing secara terbuka, namun, dengan wujudnya kategori ini penyertaan dari golongan ini dapat dipertingkatkan.

Pengalaman di sekolah hackathon akan mematangkan mereka serta menjadikan mereka seorang ‘inventor sejati’. Pelajar secara berterusan membangunkan diri serta berusaha melakukan yang terbaik. Perubahan yang positif akan berlaku seterusnya mematangkan pelajar untuk bersaing secara sihat.

Kesan positif

Secara jujurnya, saya berpendapat pelajar-pelajar hackathon saya tidak perlu pun memasuki universiti untuk mengambil jurusan sains komputer untuk mereka menjadi penulis kod aturcara yang bagus.

Pembelajaran kendiri, penerokaan berterusan, bimbingan para mentor serta penglibatan dalam pelbagai cabaran sudah cukup untuk mereka belajar dan memantapkan kemahiran.

Pelajar membentangkan projek komuniti berasaskan IoT kepada para komuniti setempat.

 

Interaksi mereka dengan ‘orang industri’ membuka minda terhadapat peluang besar yang wujud. Mereka seterusnya dapat mencari inovasi baharu untuk menjadikan dunia lebih baik.

Dengan tumpuan kerajaan kini kearah dunia digital seperti rombakan sistem pendidikan nasional serta pembinaan frasarana hebat seperti KL Internet City, pembangunan akar umbi sebegini perlu diberi perhatian utama dari pelbagai pihak.

Dengan mengalakkan pelajar menyertai hackathon kita sebagai pendidik sebenarnya telah melakukan satu usaha kecil sebagai salah satu sumbangan kepada pembangunan negara.

Pelajar yang dihasilkan akan menjadi modal insan yang sangat berkualiti untuk bersaing dengan negara-negara maju yang telahpun jauh ke hadapan. Ianya akan memacu Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya suatu hari nanti.

#hackathonterusmara

Ikuti Cikgu Razif di Facebook

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.