6 teknik guna infografik secara kreatif di sekolah anda

Sejak 2014, pelajar saya menghasilkan infografik menerusi aplikasi penyunting grafik dalam talian sebagai salah satu aktiviti kelas. Bagi mereka ianya begitu menyeronokkan.

Saya akan memilih tajuk yang bersesuaian seterusnya ‘melepaskan’ mereka ke makmal komputer untuk menyelesaikan tugasan yang diberi.

Infografik merupakan satu bentuk komunikasi visual untuk menyampaikan maklumat. Ianya popular digunakan dalam industri penyiaran dan penerbitan memapar statistik, garis peristiwa dan sebagainya.

Idea visual mewakili data sebenarnya bermula pada zaman batu lagi. Ianya berkembang seiring dengan kajian mendalam mengenai kaedah komunikasi era baru.

Course Hero Infographic

The Hobbit, sebuah novel klasik JRR Tolkien telah diceritakan semula secara ringkas menerusi infografik di atas.

Mungkin novel-novel dan cerpen yang dipelajari dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Ingeris dapat diterangkan dengan cara yang menarik menerusi infografik.

Keberkesanan infografik bergantung kepada cara persembahan sesebuah infografik tersebut. Terdapat juga pelajar saya secara kreatif menghasilkan infografik ala-ala peta pemikiran iThink.

Bercadang untuk menggunakan infografik di sekolah anda? Berikut merupakan 6 teknik sebagai panduan anda.

1. Infografik sebagai slaid persembahan menggantikan powerpoint

Jadikan persembahan slaid berkumpulan satu kelainan dengan menghasilkan slaid infografik. Fungsi kolaborasi yang membolehkan slaid dibina oleh beberapa pengguna dalam satu-satu masa membolehkan slaid dibina dengan begitu pantas.

Membina persembahan slaid menerusi aplikasi penyuntingan grafik dalam talian memberi pengalaman baharu kepada mereka.

2. Infografik sebagai poster

Menghasilkan infografik sebagai poster dapat mengasah bakat pelajar dalam seni visual.

Poster infografik yang dihasilkan dapat dicetak untuk memenuhi ruangan kosong di ‘sudut ilmu’ di belakang kelas. Ianya pasti memberi manfaat kepada semua disamping menceriakan kelas.

3. Penghantaran laporan dalam bentuk infografik

Saya menggemari laporan yang ringkas, padat serta mengandungai maklumat-maklumat yang perlu. Selain itu, laporan secara visual menjimatkan masa guru untuk penilaian.

Guru boleh menggalakkan pelajar menghasilkan infografik bagi sesuatu konsep yang sukar difahami dalam sesebuah subjek. Maklumat ini boleh dikongsi kepada pelajar lain menerusi pelbagai media masa kini.

4. Infografik sebagai intrumen penilaian

Sekali sekala cuba lihat idea dan kreativiti pelajar anda menerusi penilaian formal. Ianya amat sesuai diaplikasikan merentasi pelbagai subjek.

Diakui penilaian sebegini memerlukan masa yang agak lama berbanding kaedah biasa yang digunakan sebelum ini. Namun, percayalah anda akan sukakan hasilnya.

Salah satu contoh infografik yang dihasilkan pelajar saya. Infografik boleh dihasilkan dalam pelbagai saiz dan orientasi

5. Mural infografik

Dinding-dinding di sekolah akan lebih berinfomatif dengan mural infografik. Kelab seni dan sebagainya boleh menjadikan ianya sebagai satu aktiviti utama kelab.

Antara mural yang boleh yang dilukis adalah paparan maklumat seperti garis masa sejarah penubuhan sekolah, fakta-fakta menarik mengenai sekolah, infografik bertemakan sains dan sebagainya.

6. Pertandingan mereka bentuk infografik

Pertandingan mereka bentuk infografik dilihat dapat memberi rangsangan kepada pelajar menghasilkan reka bentuk infografik yang bekualiti dan menarik.

Hasil terbaik pertandingan boleh disiarkan di majalan sekolah, laman web ataupun laman media sosial sekolah sebagai galakkan.

Potensi pertandingan ini dapat diperluaskan lagi dengan penganjuran peringkat daerah, negeri seterusnya peringkat kebangsaan.

Sumber imej: Piktochart Blog

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.