Selamatkan bumi dari ‘climate catastrophe’ – Bagaimana pendidik dapat berperanan?

Saya seorang yang amat sensitif dengan isu alam sekitar.

Projek-projek yang diusahakan di universiti hinggalah membimbing pelajar di sekolah dalam gerakan kokurikulum, isu alam sekitar sentiasa menjadi pilihan.

Setelah melihat satu pendedahan mengenai isu terkini alam sekitar bertajuk ‘Peningkatan Paras Air – 8 pulau di dunia akan tenggelam’ di RTM baru-baru ini, saya memulakan carian di Internet.

Saya dapati laporan ini berpunca daripada satu pendedahan terkini dari portal BBC yang membincangkan isu ini secara panjang lebar.

Setelah selesai melihat dan membaca laporan tersebut saya merasakan ia merupakan satu isu yang penting dan serius.

Sebagai seorang pendidik saya berpendapat, komuniti pendidikan di Malaysia harus melakukan sesuatu.

Guru di sekolah mempunyai peluang untuk memimpin instruksi dengan merancang dan mengolah pengajaran secara kreatif.

Penerapan unsur pendidikan alam sekitar dengan isu terkini ke dalam mata pelajaran yang diajar merupakan satu kaedah yang pantas dan praktikal tanpa perlu menunggu perubahan dasar kurikulum.

Kita haruslah bersama komuniti dunia untuk bersama bagi memastikan bencana besar akibat perubahan iklim ini dapat diatasi.

Cadangan aktiviti untuk pendidikan alam sekitar

Mari kita lihat bagaimana guru setiap subjek dapat menyampaikan isu ini kepada pelajar menerusi aktiviti di kelas.

Nota: Cadangan aktiviti dibawah mungkin bersifat umum. Anda boleh memperkayakan dengan idea anda sendiri.

Bahasa Melayu / Bahasa Inggeris – Menulis rencana mengenai fenomena perubahan iklim berdasarkan maklumat dari carian di Internet.

Matematik / Asas Sains Komputer – Melakukan analisis data daripada NCDC (Climate Data Online)

Geografi – Mengkaji fenomena dan sesan  perubahan iklim serta kes semasa akibat fenomena ini.

Sejarah – Meninjau usaha-usaha komuniti global untuk mengurangkan kesan fenomena perubahan iklim.

Sains – Menghasilkan satu laporan daripada artikel-artikel dan jurnal-jurnal penyelidikan mengenai fenomena perubahan iklim.

Pendidikan Seni Visual – Menghasilkan poster kempen bumi hijau.

Pendidikan Islam / Sivik & Kewarganegaraan – Menganjurkan forum pelajar membincangkan isu alam sekitar serta fenomena pemanasan global.

Reka Bentuk & Teknologi – Mereka bentuk inovasi mesra alam.

Jika anda seorang pendidik yang prihatin dengan perkembangan terbaru ini, sama-sama kita sebarkan mesej ini agar kita dapat melahirkan generasi pelajar yang cakna terhadap isu alam sekitar.

Usaha ini begitu kecil jika dibandingkan dengan usaha yang dijalankan oleh komuniti dunia.

Kita bukanlah Elon Musk yang mempunyai visi kelestarian menerusi pembangunan kereta elektrik. Kita bukanlah pemimpin negara yang berautoriti untuk merencana polisi pembangunan.

Semoga dengan kaedah ini, kita dapat menghasilkan generasi yang peka terhadap alam sekitar seterusnya menjamin kelestarian bumi.

Apa pula idea anda?. Sila tinggalkan dalam ruangan komen dibawah.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.