Pandangan saya mengenai isu terkini aplikasi teknologi dalam Pembelajaran Abad ke-21

Hari ini saya terpanggil untuk berbicara soal isu penggunaan teknologi dalam pendidikan. Kebetulan, saya dalam proses akhir menyiapkan sebuah modul atas inisiatif sendiri berkenaan teknologi dalam pembelajaran abad ke-21 (PA21). Ada juga meringkaskan dengan PAK21.

Isu ini agak hangat diperkatakan pada minggu ini apabila apabila Menteri Pendidikan kita, Dato’ Seri Mahdhir Khalid menjawab beberapa kritikan di laman sosial terhadap penggunaan teknologi dalam pembelajaran dalam abad ke-21.

Beliau memberi contoh satu komen pengikut di Facebook beliau membawa maksud “macam mana nak PA21, laptop pun takde, internet apa lagi”. Respon ini diterima sejurus beliau melakukan catatan perkongsian video mengenai projek pembelajaran Abad ke 21.

‘Teknologi hanya bonus’

Meninggalkan catatan tersebut, beliau sekali lagi memuatkan satu lagi catatan memberi penjelasan kepada maklum balas yang diterima. Beliau memautkan catatan laman blog beliau untuk penerangan lanjut.

Maksud catatan terbaru beliau di blog beliau jika gagal dihayati, mungkin ada yang akan tersalah faham dengan menganggap bahawa pendidikan abad ke-21 tidak memerlukan teknologi dalam pembelajaran.

Menerusi pembacaan, pada pemahaman saya, beliau bukanlah bermaksud menafikan keperluan teknologi itu sendiri, namun, menegaskan hasil PA21 dapat dicapai walaupun tanpa penggunaan teknologi.

Merujuk kepada kerangka oleh P21-Partnership for 21st Century Learning, beliau menyatakan teknologi merupakan hanya satu alat untuk membantu proses PdP.

Ujar beliau lagi, penggunaan teknologi terkini hanyalah satu bonus. Yang penting adalah pendekatan PdP yang berlaku di bilik darjah dan dalam aktiviti di sekolah.

P21 Framework for 21st Century Learning

Catatan balas beliau terus mendapat perhatian dengan perbincangan hangat di media-media sosial dan kumpulan-kumpulan di laman permesejan.

Baiklah, untuk membincangkan hal ini, saya hanya memilih satu sumber iaitu terus merujuk kepada sumber yang beliau nyatakan, iatu satu kerangka visi bertajuk P21 Framework for 21st Century Learning.

Dalam kerangka ini digaris 3 hasilan utama (pada arca separa bulatan), kemahiran-kemahiran yang diharapkan dari pembelajaran PA21. Bermaksud, seseorang ‘pelajar abad ke-21’ haruslah mempunyai ciri-ciri atau kemahiran yang dinyatakan.

Ketiga-tiga hasilan itu (yang saya sebut sebagai domain) adalah Life and Career Skills (Merah), Learning & Innovation Skills /4Cs (Jingga) dan Information, Media, and Technology Skills (Unggu). 

Ketiga-tiga domain ini berpaksi kepada Key Subjects (Hijau) berasaskan 3Rs (Reading, Writing & Arithmetic) bertemakan abad ke-21.

Di Malaysia subjek 3Rs merujuk kepada subjek-subjek yang sedang dipelajari pada peringkat rendah dan menengah dalam sistem pendidikan.

Tema abad ke-21 yang dinyatakan adalah kesedaran global (global awareness), literasi perniagaan, ekonomi & kewangan, literasi sivik, literasi kesihatan dan literasi alam sekitar. Tema-tema ini selalunya akan merentasi subjek-subjek 3Rs tadi.

Arca ini bertunjangkan 4 sistem sokongan abad ke-21 (gelung gelombang kelabu) iaitu persekitaran pembelajaran, pembangunan profesional, kurikulum dan instuksional dan terakhir standard & penilaian.

Berikut merupakan penerangan terperinci mengenai salah satu domain kemahiran tersebut iaitu Information, Media, and Technology Skills yang berwarna unggu tadi.

Hasil yang diharapkan daripada pembelajaran PA21: Information, Media & Technology Skills
Hasil yang diharapkan daripada pembelajaran PA21: Information, Media & Technology Skills (sambungan)

Dalam penerangan diatas, 3 karektoristik masyarakat abad ke-21 yang mahu dihasilkan menerusi domain ini adalah:

  1. Akses kepada kepelbagaian maklumat.
  2. Perubahan pantas alat-alat (perkakasan/perisian/perkhidmatan) teknologi.
  3. Kemampuan untuk berkolaborasi dan memberi sumbangan-sumbangan individu dalam skala/situasi baharu.

Jika dilihat semula matlamat diatas, pertanyaan seperti “macam mana nak PA21, laptop pun takde, internet apa lagi” nampaknya macam masuk akal jika ketiga-tiga domain mahu dicapai.

Muat turun panduan lengkap P21 Framework for 21st Century Learning.

Membincang isu

Timbul persoalan di sini, untuk mewujudkan seorang pelajar ideal (seperti yang diharapkan) dalam kesemua domain tersebut, bagaimana sistem sokongan PA 21 yang harus dibentuk?

Saya ulang semula, sistem sokongan PA21 yang dimaksudkan oleh badan P21 adalah persekitaran pembelajaran, pembangunan profesional, kurikulum & instuksional dan standard serta penilaian.

Ianya merangkumi keseluruhan sistem pendidikan termasuklah dasar kementerian, kaedah pelaksanaan sekolah serta kaedah instruksi para guru.

Pelajar melakukan penyiasatan menerusi sumber luas maklumat – Gambar hiasan

Saya merujuk kembali kepada kenyataan Menteri Pendidikan tadi bahawa konsep pembelajaran abad ke-21 ini bukan semata-mata mengenai teknologi.

Ya, secara peribadi saya menyokong kenyataan ini. Teknologi bukanlah PA21 dan PA21 bukanlah hanya mengenai teknologi. Saya juga bersetuju teknologi hanyalah sebagai satu alat.

Namun, ianya merupakan satu alat terpenting dan berkuasa untuk menyediakan pelajar dengan kerjaya masa hadapan yang semakin mencabar.

Penggunaan teknologi dapat meningkatkan minat pelajar serta dapat digunakan untuk memberi pendedahan kepada mereka terhadap literasi-literasi yang dinyatakan iaitu literasi maklumat, literasi media serta literasi teknologi/ICT.

Ia juga beleh digunakan secara berkesan untuk mencapai 4Cs serta objektif berorentasikan kerjaya. Potensi penggunaan teknologi dalam pendidikan sebenarnya melangkaui apa yang anda faham, dan apa yang wujud sekarang.

Salah seorang pelajar saya melakukan projek IoT untuk kelestarian alam sekitar – Gambar hiasan

Saya sentiasa yakin dan percaya, Menteri Pendidikan kita juga sedar akan manfaat besar teknologi dalam revolusi industri keempat ini. Bagi saya, catatan terbaru di blog ini, merupakan satu kenyataan yang bersifat toleransi dan adil.

Mengapa saya katakan ianya toleransi dan adil?. Baiklah, penggunaan teknologi sepenuhnya di kesemua sekolah, ia sudah tentu melibatkan pebelanjaan yang amat besar.

Saya menjangkakan kosnya 10 kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan untuk projek 1bestarinet. Mustahil untuk pihak kerajaan menyediakan kemudahan yang menyeluruh dan terkini ini kepada semua guru dan pelajar dalam masa terdekat.

Dengan menjadikan teknologi sebagai asas terpenting dalam agenda pendidikan untuk mempromosi Pembelajaran Abad ke-21 sudah pasti akan meminggirkan institusi tertentu yang kurang atau tiada kemudahan teknologi.

Oleh itu, beliau mencadangkan sekolah memberi tumpuan kepada kaedah pembelajaran itu sendiri untuk mencapai sebanyak mana hasrat lain dalam pembelajaran abad ke-21 menggunakan sumber sedia ada.

Saya juga yakin, dalam pada masa yang sama kerajaan akan berusaha meningkatkan aspek teknologi dalam pembelajaran. Ianya seiring dengan anjakkan ke-7 PPPM iaitu ‘Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia’.

Kita masih belum memahami maksud sebenar apa itu PA21

Perkara ini menjadi polemik kerana pertama, kita kurang memahami definisi pembelajaran abad ke-21 itu sendiri. Kedua, kita keliru dengan bentuk-bentuk teknologi dalam pembelajaran abad ke-21.

Saya menyelusuri beberapa komen di Facebook beliau mengenai isu ini. Ada pandangan yang kritikal dan ada yang meraikan pandangan beliau.

Saya dapati kebanyakkan masih tidak tahu membezakan antara persekitaran pembelajaran abad ke-21, ciri-ciri pelajar atau guru abad ke-21 dan aktiviti-aktiviti dalam pedagogi pembelajaran abad ke-21.

Kita juga sebenarnya masih kurang memahami jenis dan bentuk aplikasi teknologi itu sendiri dalam pendidikan dan bagaimana teknologi ini berguna untuk mencapai ketiga-tiga domain berdasarkan kerangka yang dibincangkan tadi.

Seni dalam mengaplikasi teknologi dalam Pembelajaran Abad ke-21

Tidak dapat dinafikan, penggunaan teknologi digital dalam pendidikan melibatkan kos-kos tertentu sama ada ianya dari bajet kerajaan persekutuan, inisiatif sekolah atau duit poket guru serta ibu bapa kepada anak mereka.

Aplikasi teknologi dalam kelas abad ke-21 sebenarnya memerlukan ‘seni’ tersendiri untuk menampakkan keberkesanannya. Saya menyedari perkara ini sejak 3 tahun lepas, terus mengkaji dengan menjalankan beberapa eksperimentasi.

Aplikasi yang betul dalam penggunaan teknologi digital sebenarnya dapat memudahkan urusan kerja guru, menjimatkan masa serta memberi impak yang besar kepada perkembangan kreativiti pelajar.

Kini, saya sudah hampir bersedia dengan satu modul lengkap untuk memberi kefahaman kepada para pendidik mengenai bagaimana amalan terbaik mengaplikasi setiap bentuk teknologi ke dalam pendidikan dalam PA21.

Modul ini akan diperkenalkan buat pertama kali pada Mac 2019 di salah sebuah sekolah projek PA21 di utara tanah air.

Sekumpulan guru sedang menjalani latihan penggunaan teknologi bersama cikgusiber.com

Seterusnya, saya merancang untuk modul ini disebarluas kepada para pendidik yang berminat untuk mempelajari kemahiran yang bakal mengubah diri anda menjadi seorang guru transformasi. Inshaallah.

+Facebook Cikgu Razif

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.