Kemahiran Pedagogi Digital Guru – harapan saya untuk 2019

2018 bakal melabuhkan tirai. Sepanjang tahun kita menyaksikan pelbagai warna-warni dalam arena teknologi pendidikan. Dalam era Pembelajaran Abad ke-21, teknologi ICT merupakan tulang belakang utama dan penting.

Bayangkan penyiasatan pelajar tanpa Internet serta laporan pelajar tanpa bantuan peralatan komputer. Tanpa teknologi, apa bezanya pembelajaran pada 20th Century dengan 21th Century?. Tanya salah seorang mentor saya.

Perkembangan pesat dunia teknologi membuatkan para pendidik perlu berubah seiring peredaran zaman. Revolusi Perindustrian 4.0 menjadikan sektor perkerjaan kini menuju ke arah adaptasi penggunaan teknologi dalam operasi sesebuah organisasi.

Kini terdapat banyak sekolah yang keluar dari kebiasaan apabila memperkenalkan penggunaan teknik penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) secara elektonik. Kaedah ini dikenali sebagai eRPH.

Ia merupakan satu contoh bagaimana teknologi digunakan untuk memudahkan tugasan guru serta menjimatkan masa. Ini kerana untuk tahun-tahun seterusnya cikgu tidak perlu berulang menulis semula RPH di buku. Dengan kaedah digital mereka hanya perlu menyuntingnya sahaja.

Sepanjang 2018, banyak sekolah mula mengadakan ladap bertemakan pedagogi berasaskan teknologi digital. Guru-guru juga dilihat sanggup mengeluarkan pembelajaran untuk menyertai bengkel-bengkel berbayar di luar. Tahun 2018 semangat guru belajar perkara baru amat luar biasa sekali.

Kemahiran para pendidik amat penting memandangkan pelajar kini sudah kehadapan dalam penggunaan teknologi. Dengan penguasaan teknologi, kredibiliti serta imej guru dapat ditingkatkan.

Harapan saya untuk 2019

PKG dan PKG diperkasa

Sudah tiba masanya Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) serta Pusat Kegiatan Guru (PKG) mengambil peranan merancang dan melaksanakan sesuatu dalam skala yang besar.

Masih ingat lagi apabila permohonan saya untuk menggunakan kemudahan di salah sebuah BTP negeri untuk kami sekumpulan komuniti pendidik berkongsi ilmu ditolak atas alasan permohonan dibuat atas kapasiti individu dan ‘tiada autoriti’.

Namun, saya memahami dasar, SOP dan kekangan yang mereka hadapi. Pendekatan yang lebih mesra mungkin perlu diperkenalkan mulai 2019.

Saya membayangkan BTP dan setiap PKG perlu diberi bajet khas untuk menyediakan satu ruang terbuka dengan pelbagai kemudahan untuk diakses untuk 24 jam, 7 hari seminggu bagi guru menjalankan aktiviti.

Inisiatif pendidikan

Google, Microsoft dan Apple merupakan 3 gergasi dunia digital global yang mempunyai inisiatif khas kepada dunia pendidikan. Peluang ini harus diambil kesempatan oleh bukan sahaja pihak KPM, tetapi juga para pendidik.

Guru-guru boleh menyertai bengkel-bengkel percuma serta kursus dalam talian  yang dianjurkan mereka. Guru juga boleh mengambil  ujian untuk mendapatkan sijil-sijil  kemahiran pedagogi digital.

Ketiga-tiga inisitif ini juga menawarkan pengiktrafan kepada guru-guru yang menunjukan kepakaran dan inovasi dalam PdPc. Anda boleh melihat inisiatif yang ditawarkan pada pautan di bawah:

Apple Education 
Google for Education
Microsoft Education

Selain itu, saya juga berharap pada 2019 sokongan pihak swasta diperhebat dengan terus menyokong dan menaja program-program pendidikan. Saya juga berharap pihak TM dapat melanjutkan promosi Pek Jasa sepanjang 2019.

Apa pula harapan anda untuk tahun hadapan?

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.