Ini 6 perkara yang perlu anda tahu mengenai Google Classroom

Sejurus penamatan fasa 2 projek 1BestariNet pada 30 Jun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan yang mana Google Classroom akan menggantikan Frog VLE mulai tempoh interim sebagai platform digital pembelajaran. Tempoh 6 bulan ini membolehkan pihak KPM mengkaji semula dasar mereka mengenai ICT sebelum meneruskan projek untuk fasa seterusnya.

Dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM pagi ini, menurut Dr. Wagheeh Shukry Hasan, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pelantar Pembelajaran, Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan KPM, Google Classroom dipilih kerana ianya memenuhi standard antarabangsa ISTE serta mudah digunakan kerana ianya mesra pengguna.

Secara peribadi saya berpandangan pemilihan Google Classroom merupakan pilihan yang tepat untuk proses peralihan ini memandangkan majoriti guru telah biasa dengan ekosistem Android yang mana banyak menggunakan aplikasi dan perkhidmatan dari Google. Kebanyakan perkhidmatan dalam Frog VLE seperti storan awan dan sistem email juga menggunakan aplikasi daripada Google.

Catatan kali ini, saya bawakan 6 perkara yang anda perlu tahu sebelum anda menggunakan aplikasi pembelajaran ini.

1. Telah berusia hampir 5 tahun

Bulan hadapan, Google Classroom bakal menyambut ulang tahun ke-5. Usia ini menggambarkan google Classroom sebagai sebuah aplikasi yang matang dan stabil serta mempunyai rujukan yang banyak di Internet. Bagi sebuah platform pembelajaran atas talian yang telah lama bertapak, Google Classroom mengalami evolusi yang membawakan banyak ciri-ciri menarik. Google mengemaskini Google Classroom setiap tahun dengan penambahbaikan yang kebanyakkan hadir atas permintaan guru.

2. Boleh diakses menerusi pelbagai platform

Google Classroom boleh diakses menerusi pelayar web dan juga aplikasi pintar pada Chrome OS, iOS dan Android. Tawaran pada semua jenis platform utama ini memudahkan akses serta membolehkan sesiapa sahaja menggunakannya. Tak kiralah anda pengguna PC, komputer LINUX, laptop Windows, MacBook, iPad, Chromebook, atau telefon pintar yang menjalankan Android, iPhone dan sebagainya, Google Classroom sedia diakses.

3. Juga tersedia untuk akaun personal

Google Classroom pada asalkan ditawarkan untuk pelanggan G-Suite for Education sahaja. Mulai Mac 2017, Google mengumumkan ianya dibuka kepada umum. Jika anda mempunyai akaun Google anda sudah pun boleh mengakses perkhidmatan ini. Saya dimaklumkan, untuk Google Classroom dibawah KPM, emel khas institusi akan dibekalkan kepada semua guru dan pelajar dalam pakej penuh G-Suite for Education. Sementara menunggu akaun rasmi tersebut, anda boleh mencubanya terlebih dahulu dengan akaun personal anda disini.

4. G-Suite for Education

G-Suite for Education merupakan satu pakej khas perkhidmatan Google kepada institusi pendidikan atau entiti yang berkaitan dengan pendidikan. Ianya ditawarkan secara percuma menyokong sehingga 10,000 pengguna. Antara kelebihan pakej ini adalah, pengguna akan menikmati storan awan tanpa had secara percuma serta akses kepada perkhidmatan lain seperti laman perbincangan Google+. G-Suite memerlukan jabatan ICT mendaftarkan domain khas bagi membolehkan pentadbir sistem menerbitkan email rasmi institusi seperti namaada@institusianda.edu.my. Selain itu, pentadbir sistem diberi akses kepada perkhidmatan konsol Google Admin untuk memudahkan pengurusan pengguna.

5. Integrasi perkhidmatan awan Google

Google Classroom hanyalah platform penghubung dalam talian yang membolehkan guru menyiarkan pengumuman, berkongsi bahan pembelajaran, memberi tugasan serta mengred tugasan. Untuk mahir Google Classroom secara keseluruhan, anda perlu juga mahir mengendalikan aplikasi-aplikasi lain dalam ekosistemnya. Antaranya penggunaan storan awan Google Drive serta aplikasi produktiviti awanan lain seperti  Google Forms, Google Docs, Google Sheets, Google Slides, Google Calendar, Google Jamboard, Google Sites dan pelbagai lagi. Menariknya, kebanyakkan aplikasi-aplikasi ini boleh digunakan secara offline menggunakan app pada Android, iOS dan Chrome OS.

6. Penglibatan ibu bapa

Tahukah anda guru boleh menetapkan Google Classroom untuk menghantar laporan terus kepada ibu bapa pelajar. Ini bermakna ibu bapa dapat mengetahui aktiviti kelas anak mereka sepanjang minggu serta laporan tugasan pelajar mengenai tugasan yang perlu disiapkan serta tugasan yang masih belum dihantar. Fungsi ini akan memudahkan guru dan ibu bapa bersama melakukan pemantauan bagi memastikan pelajar berada pada landasan yang betul.

Kenali lebih lanjut mengenai Google Classroom

Sertai Saluran Telegram Cikgu Siber untuk pelbagai informasi mengenai teknologi dalam pendidikan.

Sumber gambar: Google for Education

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.