Khan Academy – Pencetus revolusi pendidikan

Seorang pemuda telah mencetuskan revolusi pendidikan dengan satu misi iaitu menawarkan pendidikan bertaraf dunia untuk semua di mana-mana sahaja, secara percuma.

Beliau, Salman Khan, 38 tahun, merupakan seorang rakyat Amerika berketurunan India dan Bangladesh, mempunyai 3 ijazah dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) dalam bidang matematik, kejuruteraan elektrik dan sains komputer, kemudiannya mengambil MBA di Harvard Business School.

Khan Academy tercetus secara tidak sengaja. Ujar Khan, ia bermula sebagai satu hobi. Pada mulanya, beliau hanya memulakan kelas tutorial matematik kepada sepupunya, Nadia menerusi Yahoo!’s Doodle Notepad.

Setelah menerima permintaan dari rakan-rakan dan saudara maranya, seorang sahabat berpandangan adalah lebih baik untuk beliau menghasilkan video tutorial dan memuat naik ke YouTube.

Pantas, perkongsian beliau mempunyai aura yang tersendiri. Beliau seterusnya menjadi sensasi di Youtube dan menerima banyak dorongan dan catatan testimoni yang merangsangnya untuk melangkah dengan lebih jauh.

Maka beliau bertekad untuk berhenti kerja di Connective Capital Management sebagai penganalisis kewangan pada tahun 2009 untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada projek Khan Academy.

“He started by posting a math lesson, but his impact on education might truly be incalculable” – Bill Gates

Pada 2010 di Aspen Ideas Festival, Bill Gates telah mengumumkan yang beliau telah menggunakan video Khan untuk mendidik anaknya. Khan setelah diberitahu hal tersebut berkata beliau sedikit gementar seraya berseloroh “Ianya hanya sebuah video untuk Nadia, bukan untuk Bill Gates”.

Selepas itu beliau menerima panggilan daripada Gates untuk ke pejabat Bill & Melinda Gates Foundation. Pertemuan penting itu telah membuka jalan luas kepadanya.

Khan Academy seterusnya bergerak sebagai NGO dan menerima sumbangan dana termasuklah  daripada Bill & Melinda Gates Foundation, Ann and John Doer, Google Inc. serta beberapa lagi nama.

Pada mulanya Khan Academy hanya memberi fokus kepada matapelajaran matematik sahaja. Kini ia menawarkan kursus dalam pelbagai bidang seperti sejarah, kesihatan, kewangan, fizik, kimia, biologi, astronomi, kosmologi, ekonomi, muzik, perkomputeran dan pelbagai lagi.

” We identify the gaps [in children’s knowledge], then we ignore them” Sal Khan

Khan Academic juga diterjemah kepada lebih 20 bahasa dengan bantuan para rakaniaga dan sukarelawan. Konsep pembelajaran  di Khan Academy adalah mudah. Mereka menawarkan video pembelajaran dan kuiz pengukuhan secara dalam talian.

Selain menyediakan video tutorial pembelajaran, mereka juga memperkenalkan pendekatan-pendekatan baru dengan mempromosikan Gamification of Learning, iaitu galakan motivasi pembelajaran menerusi permainan video dan aplikasi elemen-eleman permainan dalam persekitaran pembelajaran.

Sehingga kini mereka menawarkan lebih 400 juta bahan pembelajaran dalam pelbagai topik secara percuma menerusi www.khanacademy.org. Menurut mereka lagi, 2.5 billion latihan telah disiapkan dengan purata 4 juta latihan setiap hari.

Selain itu, terdapat lebih 500,000 guru berdaftar di Khan Academy dari seluruh dunia. Tidak mengejutkan pada 2012, Khan disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 manusia berpengaruh di dunia oleh Time.

Sumber gambar: Khan Academy’s blog, Forbes

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.