Peranti pilihan untuk BYOD

Apa itu BYOD ? 🤔  BYOD atau ‘Bring Your Own Device’ merupakan satu kaedah pembelajaran yang kini menjadi trend dunia pendidikan global.

Konsepnya mudah, setiap pelajar akan memiliki atau membawa peranti mereka sendiri berdasarkan kaedah 1 pelajar satu peranti.

Peranti apakah yang sesuai dalam perlaksanaan kaedah BYOD?.

Sekarang kita akan melihat satu persatu kategori peranti yang wujud di pasaran dan boleh digunakan dalam kelas abad ke-21.

Mari lihat, peranti yang sesuai untuk anda.

1. Komputer Riba / Netbook

Kos untuk sebuah komputer riba Windows adalah sekitar RM 1,600 – RM3,600 bergantung kepada spesifikasi. Kos bagi komputer riba yang menjalankan macOS  iaitu Apple Macbook pula bermula dari RM4,200.

Komputer riba mempunyai kelebihan tersendiri kerana mampu menjalankan perisian aplikasi penting serta menyokong permainan video yang menarik dan popular dipasaran.

Bagi yang mahukan peranti yang mampu menyunting kandungan multimedia dengan prestasi terbaik anda disarankan untuk melakukan sedikit pelaburan dengan memilih peranti dalam kategori ‘Pro’.

Kelebihan yang paling utama komputer riba sudah tentulah sokongan papan kunci fizikal untuk menaip dengan pantas. Terdapat juga komputer riba yang menawarkan sokongan skrin sentuh.

Selain itu, perisian aplikasi pejabat seperti Microsoft Office (Word, Excel, Powerpoint, etc.) atau Apple iWork (Pages, Numbers, Keynote) dapat digunakan dengan ‘sempurna’ di komputer riba.

Netbook pula merupakan komputer riba berkemampuan rendah untuk tugasan yang lebih ringan. Dengan namanya ‘net’ sudah tentu ianya mengsasarkan kepada golongan yang memerlukan satu peranti dengan tujuan utama untuk akses kepada Internet.

Namun, faktor kuasa yang tidak mampu menampung kerja-kerja lebih berat seperti suntingan grafik dan video menyebabkan netbook kini kurang popular.

2. Chromebook

Kos untuk sebuah Chromebook adalah bermula dari RM800 hingga RM2,400 bergantung kepada spesifikasi. Chromebook menjalankan sistem pengoperasian (OS) Chrome OS daripada Google.

Seperti juga komputer riba, Chromebook dihasilkan oleh pelbagai pengeluar dan kebanyakkan mereka mengsasarkan industri pendidikan.

Proses boot untuk mengaktifkan Chrome OS begitu pantas sekali.  Chromebook dikhususkan untuk menjalankan perisian aplikasi berasaskan awan (cloud) yang memerlukan anda sentiasa mempunyai capaian internet.

Terdapat begitu banyak perisian aplikasi menarik ditawarkan secara percuma seperti pakej G-Suite untuk pendidikan. Kini, terdapat juga pelbagai aplikasi yang menawarkan operasi secara offline.

Terkini, Google mengumumkan yang mana aplikasi Android boleh dijalankan pada beberapa peranti Chromebook terkini. Fungsi ini bagi saya telah memberi satu kelebihan tersendiri kepada pengguna Chromebook.

Chromebook juga menawarkan papan kekunci fizikal yang sudah pasti memberi keselesaan untuk proses menaip. Kebanyakkan Chromebook untuk 2017 hadir dengan kemampuan fizikal untuk bersenam ala ‘yoga’.

3. Komputer Tablet

Komputer tablet terkenal dengan saiznya yang kompak serta cara interaktiviti menggunakan skrin sesentuh.

Tambahan aksesori seperti papan kekunci fizikal memberi keselesaan kepada proses menaip manakala stylus pen memberi fungsi tambahan untuk kreativiti dan anotasi.

Antara komputer tablet yang terkenal dan terbaik di pasaran adalah Apple iPad yang ditawarkan pada harga sekitar *RM1,500.

iPad Pro pula menawarkan kuasa yang lebih tinggi, kamera lebih baik serta menyokong Apple Pencil untuk kreatifiviti serta kegunaan profesional.

Pesaing bagi Apple dalam kategori serupa adalah Samsung Galaxy Tab S3 (berharga sekitar *RM3,000) dan Asus Zenpad S3 10 LTE (berharga sekitar *RM1,800).

Komputer tablet merupakan peranti yang amat disarankan untuk pendidikan. Saiznya yang kompak, bateri yang tahan lama serta kemampuan interaktiviti menerusi sentuhan memberi pengalaman yang menyeronokkan kepada pengguna.

Terdapat juga tablet dalam kategori hibrid seperti Microsoft Surface ( (harga bermula *RM3,800). Microsoft Surface Pro pula merupakan sebuah tablet yang amat berkuasa dengan pelbagai ciri canggih, namun harganya agak tinggi.

Kehadiran Surface Pen menjadikan Microsoft Surface sebuah peranti yang sesuai untuk kreativiti. Microsoft juga menawarkan pelbagai aksesori lain yang menarik untuk digunakan bersamanya.

* Harga anggaran versi asas. Harga berlainan bagi spesifikasi yang lebih tinggi.

4. Telefon Pintar

Kebanyakan pelajar sudah mempunyai telefon pintar sendiri. Tidak kira dari jenama apa, telefon pintar menjadi satu keperluan kepada mereka.

Dua platform utama yang popular di Malaysia sudah tentulah telefon pintar bersasaskan Android (Google) dan juga iOS (Apple). Telefon pintar hadir dengan saiz skrin dari 4 sehingga 6 inci.

Limitasi saiz skrin pada telefon pintar sebenarnya akan menjadi isu dalam pembelajaran interaktif di dalam kelas. Ketahanan bateri pada telefon pintar juga menjadi masalah bagi kelas sepanjang hari jika digunakan secara aktif didalam kelas.

Kebaikan penggunaan telefon pintar, ianya akan sentiasa bersama pelajar dalam saiz yang mudah dibawa. Ini membolehkan pelajar menguruskan pembelajaran mereka dimana-mana sahaja setelah tamat sesi persekolahan.

Di Malaysia status pihak kementerian untuk membenarkan peranti pintar ini digunakan di dalam kelas masih lagi dalam peringkat kajian dan perbincangan.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.