Benarkah enjin carian ini dikatakan lebih hebat daripada Google Search?

Wolfram|Alpha merupakan satu enjin pengetahuan komputasional yang bukan sahaja mencari tetapi melakukan analisis terhadap maklumat yang dimahukan.

Ianya umpama sebuah komputer pintar yang memberikan anda jawapan lengkap terhadap apa yang ingin dicari dengan paparan yang sangat jelas dan terperinci. Cuba carian pertama ada di  Wolfram|Alpha dengan memasukan kata kunci ‘malaysia‘.

Bagaimana Wolfram|Alpha berfungsi?. Baik, contohnya anda ingin mencari BMI badan anda. Dengan memasukan data yang berkaitan (contohnya: ‘human, 1.56m, 60kg‘) carian akan memaparkan bukan sahaja kadar bacaan BMI anda,  tetapi segala maklumat lain yang anda perlu tahu mengenai BMI.

Untuk melakukan carian yang efektif anda haruslah mengikut panduan yang diberikan. Sebagai contoh jika anda ingin membandingkan antara Mazda CX-5 dengan Honda CR-V anda haruslah memasukan kata kunci mazda ‘cx-3 and honda cr-v‘.

Seterusnya carian akan memaparkan maklumat lengkap dalam bentuk perbandingan specifikasi, harga, graf dan sebagainya. Ianya membandingkan pelbagai perkara dengan hanya menggunakan kata kunci ‘vs’. Contohnya ‘malaysia vs indonesia vs singapore‘.

Selain itu, Wolfram|Alpha juga diintergrasi dengan maklumat secara langsung. Sebagai contoh dengan memasukan kata kunci ‘international space station’ pula ia akan memaparkan kedudukan terkini objek buatan terbesar yang pernah dibina manusia di angkasa ini secara pemetaan langsung.

Selain itu anda juga boleh melakukan analisis profail akaun Facebook anda. Dengan hanya menaip ‘facebook report’ anda akan dibawakan kepada beberapa menu untuk carian memproses dan menganalisis data profail anda.

Maklumat seperti jalinan rakan, berapa kerap akan melakukan perkongsian status, perkataan yang selalu digunakan, gambar yang paling disukai, gambar paling banyak dikomen dan sebagainya akan dipaparkan.

Wolfram|Alpha membantu pelajar meneroka pengetahuan dengan lebih baik

Sistem carian ini pada pendapat saya amat berguna dalam pendidikan dimana pelajar akan dapat menjimatkan masa dengan melakukan carian yang lebih terarah dan fokus.

Mereka tidak lagi perlu mengunjungi laman web yang kandungannya belum tentu memberi jawapan tepat mengenai apa yang ingin dicari.

Paparan hasil carian pula amat membantu dengan analisis data yang lengkap serta maklumat dipaparkan seumpama laporan yang akan menjadikan dapatan maklumat merupakan penemuan penting kepada mereka.

Antara kelemahan sistem carian ini ia tidak memaparkan maklumat yang terkini dalam carian tajuk tertentu. Mereka menegaskan mereka bukanlah enjin carian sepertimana enjin carian popular yang mengindek laman web.

Mereka menawarkan carian kandungan maklumat terbina yang dikurasikan oleh pakar untuk jawapan yang spesifik bagi setiap pertanyaan.

Kedua, anda perlu menguasai teknik carian tertentu untuk hasil carian yang memuaskan, namun, ianya saya kira bukanlah masalah besar kerana mereka menyediakan panduan atau contoh khusus untuk anda.

Anda boleh klik pada kategori yang telah ditetapkan pada bahagian bawah carian untuk melihat panduan yang disediakan.

Wolfram|Alpha menawarkan perkhidmatan carian yang lebih spesifik dan sistematik. Ianya memberi manfaat yang besar kepada kehidupan manusia terutamanya cara manusia ‘memburu’ maklumat di Internet.

Wolfram|Alpha bakal berkembang sebagai bukan sebuah enjin carian yang cekap, tetapi sebuah enjin carian pengetahuan khusus yang sangat pintar. Ia juga mampu menyelesaikan formula matematik, fizik, ukuran kejuruteraan dan sebagainya.

Tidak dinafikan Google Search merupakan satu enjin carian terbesar dan terpenting dunia dalam dunia pendidikan. Namun, idea luarbiasa yang diperkenalkan oleh Wolfram|Alpha ternyata menjadikan teknologi carian maklumat di web maju setapak ke hadapan.

Adakah ianya lebih hebat daripada Google, jawapannya adalah tidak kerana mereka berada dalam kategori yang berbeza dan mempunyai peranan masing-masing.

Terokai Wolfram|Alpha
 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.