Lihat cara Cikgu Kiah guna platform ‘Remote Learning’ KPM

Cikgu Kiah nak berkongsi kisah bagaimana cara beliau menggunakan platform Digital Learning KPM untuk satu minggu pengajaran sewaktu musim PKP COVID-19.

Cikgu Kiah ini sorang Cikgu Bahasa Melayu yang berumur 42 tahun mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Perlis. Beliau bukanlah seorang yang mahir komputer, katanya.

Tujuan Cikgu Kiah berkongsi kisah ini, sebab bagi beliau walaupun sudah 3 minggu diperkenalkan, ramai sahabat beliau masih belum lagi faham pembelajaran secara ‘Remote Learning’ ini.

CATATAN CIKGU KIAH

Minggu lepas, saya mengajaq karangan jenis Rencana dalam subjek Bahasa Melayu. Saya guna Google Classrom yang DL KPM punya. Pada mula agak susah sebab tak berapa nak faham.

Saya pun buat la satu kumpulan Telegram sebab budak-budak sekarang tak suka sangat Whatsapp. Jadi, kat situ saya guna la Telegram untuk berkomunikasi dengan depa.

Menerusi Telegram saya habaq kat depa yang saya ada kongsi beberapa pautan contoh karangan untuk dibincangkan. Saya ambil daripada akhbar ‘online’ ja. Pelajar memang bagi respons.

Terfikir jugak nak buka pembincangan kat Telegram, tapi nanti dah banyak bincang dia hilang macam tu ja. Jadi, lebih baik buka perbincangan di Google Classroom.

Selepas budak dah respons, saya set satu sesi pengajaran saya menerusi aplikasi Google Meet pada hari Selasa. Ramai pelajar minta guna Zoom. Saya habaq kat depa. “Takpa lah, kita cuba dahulu Meet”.

Menerusi kelas Meet tu, memang lah seronok saya dapat bersoal jawab dengan pelajar saya. Boleh ‘share’ skrin saya. Saya guna iPad dan Apple Pencil, senang nak conteng-conteng, nak tulis-tulis.

Tapi, tak ramai pelajar saya dapat ‘join’, Internet ‘slow’ katanya. Yang jenis lambat bangun pagi pun ramai. Mak ayah tu tolong lah, bagi disiplin sikit anak-anak bangsa kita tu. Demi masa depan depa jugak.

Tapi, saya ada la rakam sesi tersebut bagi yang terlepas sesi Meet tersebut. Budak boleh tengok di Youtube. Cikgu IT cakap kalau malu nak ‘expose’ kat Youtube boleh setkan video sebagai ‘unlisted’. Saya rasa lepas ni nak buat kelas petang dan malam pulak. Budak liat bangun.

Lepas kelas video ‘online’, saya hantaq tugasan untuk pelajar buat dan hantaq di Google Classroom sebelum hari Khamis. Guna Classwork dalam Google Classroom sangat la senang. Tengok ada fungsi boleh bagi gred.

Sangat la ‘best’ menyemak tugasan guna Google Classroom ni bagi cikgu bahasa macam saya ni. Saya boleh tanda dan komen terus dalam lembaran kerja mereka yang dihantar menerusi Google Docs.

Saya rasa perlu sekali lagi saya guna Meet untuk buat sesi pembincangan hasil dapatan saya setelah menanda tugasan pelajar. Jadi, saya pun bersiaran semula dengan depa pada hari Jumaat.

Kepada rakan-rakan guru saya kat luar sana, sebenarnya senang saja nak mengajar secara ‘Remote Learning’ ni. Cikgu kena rajin sikit nak ‘explore’. Saya pandai pun sebab saya berani guna. Mula-mula memang susah, dah pandai hari-hari nak bersiaran, haha.

Ni la peluang kita untuk kita cuba benda-benda baru. Kalau tak sekarang bila lagi. Kalau tak cuba bila nak pandai. Ayuh cikgu-cikgu.

Sekian sahaja perkongsian saya minggu pertama. Minggu kedua saya kongsi lagi.

-Cikgu Kiah
Guru Zero to Hero #nakseribudaya

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.