Tawaran LMS dari 3 gergasi – Apple iTunes U, Google Classroom dan Microsoft Teams

Para pendidik mempunyai pelbagai pilihan lain untuk menguruskan pembelajaran mereka secara digital. Apple iTunes U, Google Classroom dan Microsoft Teams merupakan tawaran terbaik daripada 3 gergasi dunia digital kepada komuniti pendidik.

Ketiga-tiga aplikasi ini tergolong dalam kategori Learning Management System (LMS) yang mana ekosistemnya membentuk Virtual Learning Environment (VLE) yang lengkap. Dibawah merupakan perbandingan yang saya lakukan bagi ketiga-tiga tawaran ini.

Antaramuka bagi app telefon pintar untuk pembelajaran Anytime, Anywhere

Apple iTunes U

Apple sedia terkenal dengan iTunes Store, sebuah gedung kandungan digital menawarkan pelbagai kandungan multimedia seperti muzik, filem, podcast, audiobook dan sebagainya.

iTunes U telah diperkenalkan pada 2007 sebagai salah satu platform penawaran kursus digital untuk kolej dan universiti, kini telah diperluaskan kepada semua peringkat.

Apple kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan peranti iPad untuk pendidikan. Mereka memperkasa iPad dengan pelbagai ciri produktiviti seperti fungsi dock, drag and drop serta pengurusan fail awan dalam kemaskinian iOS 11.

Selain itu mereka juga menawarkan pelbagai aplikasi sokongan lain seperti Apple Classroom (kawalan kelas fizikal), Apple iBooks (buku digital interaktif), Apple Podcasts (koleksi audio/video digital) serta pelbagai lagi.

Pada September 2013, Apple membenarkan pengguna membina kursus di iTunes U tanpa perlu Apple ID anda didaftarkan dalam intitusi pendidikan, namun ianya terhad kepada 12 kursus sahaja dengan 50 pelajar setiap kursus.

Walaupun anda tiada peranti dari Apple anda masih lagi boleh mengakses iTunes U menerusi web. Anda hendaklah mendapatkan Apple ID anda dahulu.

Kursus yang dibina (tanpa didaftarkan ke dalam institusi pendidikan) tidak boleh diterbitkan ke iTunes Store. Guru hanya boleh berkongsi pautan kepada pelajar untuk menyertai kursus yang anda hasilkan.

Penerbitan kursus ke katalog iTunes U atau ke iTunes Store hanya dibenarkan kepada institusi pendidikan yang berdaftar dengan Apple sahaja. Tiada had bilangan kursus bagi institusi yang berdaftar.

Menerusi iTunes Store juga, pengguna boleh melanggan kursus dari pelbagai institusi pendidikan terkenal dari seluruh dunia. Ianya memberi ‘markah bonus’ kepada iTunes U berbanding platform lain.

Sokongan yang pelbagai dari Apple menjadikan iTunes U sebagai satu aplikasi terbaik ditawarkan secara percuma dengan syarat anda hidup dalam ekosistem pembelajaran Apple.

Integrasi iTunes U dengan app pihak ketiga pada iPad memanfaatkan ribuan app di App Store
Tawaran pelbagai kursus percuma daripada institusi pendidikan terkenal seperti Oxford, Yale, Stanford, MIT dan pelbagai lagi.
Laman info iTunes U
Apple Education

Google Classroom

Berbeza dengan iTunes yang lebih kepada penawaran kursus dalam talian kepada umum, Google Classroom hadir sebagai satu alat sokongan pengurusan kelas digital.

Diperlihatkan pada Mei 2014 dan pelancaran pada Ogos tahun yang sama, Google Classroom pada awalnya memerlukan anda melanggan pakej G Suite for Education. Untuk makluman, G Suite for Education ditawarkan secara percuma bagi institusi pendidikan yang diiktiraf dan sah.

Dengan G Suite for Education, selain aplikasi pejabat dan produktiviti dari Google, anda dapat menikmati beberapa fungsi tambahan seperti Google Admin secara percuma.

Mulai Mac 2017, Google menawar Google Classroom secara percuma kepada semua akaun Google tanpa perlu lagi langganan pakej G Suite for Education. Keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja mengakses teknologi canggih mereka.

Classroom mempunyai antaramuka yang mudah digunakan serta navigasi yang sangat pantas. Ianya memudahkan bagi pengguna kali pertama. Jika anda biasa dengan produk dari Google yang lain, menggunakan Google Classroom tidak menjadi masalah buat anda.

Kehadiran Google Classroom dilihat sebagai pelengkap kepada semua tawaran produk dan perkhidmatan dari mereka. Dengan sokongan pelbagai produk percuma dari Google, kini Google Classroom merupakan platform pembelajaran paling popular.

Fungsi yang pastinya disukai ibu bapa untuk memudahkan mereka memantau pembelajaran anak mereka.
Laman info Google for Education
Mengenai Google Classroom

Microsoft Teams

Microsoft pula telah lama menyokong bidang pendidikan dengan penawaran yang pelbagai produk dalam pakej Office 365 for Education.

Melihat kepada pesaing, mereka menyedari mereka harus mempunyai platform LMS tersendiri. Pada April 2017 Microsoft memperlihatkan Microsoft Classroom dengan beberapa sokongan seperti Microsoft Form, Class Notebook dan Schools Data Sync.

Pada 31 Julai 2017 Microsoft mengumumkan yang mana projek Microsoft Classroom dibatalkan dan semua ciri-ciri pembelajaran di Microsoft Classroom diintergasi ke dalam Microsoft Teams.

Microsoft Teams seterusnya menawarkan produk kepada golongan profesional yang terlibat dalam pembangunan kumpulan profesional serta kegunaan warga pendidikan.

Ianya menawarkan pelbagai ciri-ciri tambahan yang guru dan pelajar perlukan. Sebagai contoh fungsi persidangan video menurusi Meetings, kumpulan sembang menerusi Chat serta kebolehan membina channel bagi kumpulan kecil pelajar menjadikan ianya amat menarik untuk digunakan.

Microsoft Teams menyokong ciri-ciri pembelajaran dan juga pembangunan kumpulan profesional.
Class Notebook sebagai alat kolaborasi dan perkongsian nota kelas
Laman info Microsoft Education
Mengenai Microsoft Teams

Kesimpulan

Daripada penilaian yang dijalankan, saya melihat ketiga-tiga produk dan perkhidmatan ini mempunyai kelebihan masing-masing yang menjadikan kumpulan sasaran mereka mungkin berbeza.

Contohnya, iTunes U dari Apple hanya menumpukan tawaran kepada persekitaran pembelajaran Apple. Google Classroom merupakan satu produk untuk menguatkan lagi tawaran G Suite dalam program Google for Education.

Produk baharu Microsoft Teams pula mampu menjadi alat kolaborasi terbaik untuk golongan profesional. Walaupun tidak diketahui punca mengapa mereka menggugurkan projek Microsoft Classroom, namun keputusan menggabungkan ciri Microsoft Classroom pada Microsoft Teams menjadikan tawaran mereka lebih menarik.

Ketiga-tiga tawaran mempunyai pelbagai aplikasi pejabat dan produktiviti serta mempunyai ekosistem tersendiri sebagai pelengkap kepada perkhidmatan.

Pastinya, ketiga-tiga produk menawarkan sokongan pembangunan profesional kepada para pendidik. Ini dapat direliasasikan kerana mereka mempunyai kemampuan modal yang besar untuk membina sebuah LMS yang lancar serta menyokong pembangunan komuniti pendidikan.

Bagi saya aplikasi terbaik adalah aplikasi yang sesuai dengan keperluan anda, bergantung kepada persekitaran semasa institusi pendidikan anda atau apa pesekitaran baharu yang ingin anda bentuk.

Perkara terpenting setelah memilih platform VLE adalah usaha berterusan untuk anda wujudkan satu sinergi dalam kelompok kecil rakan-rakan anda.

Seterusnya, tunjukkan kepada rakan-rakan lain bertapa aplikasi ini dapat menjimatkan masa serta meningkatkan produktiviti kerja lantas mereka juga pasti mahukannya.

#sentiasainginberubah

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.