LRK2015 – Panduan Produksi Video (Bahagian 1)

Bahagian 1 – Pengenalan & Asas Penulisan Papan Cerita

Hadiah RM10,000 dan peranti Apple iPhone merupakan satu impian bagi peserta yang menyertai Liga Remaja Kreatif 2015. Dalam penganjuran kali ini, terdapat sedikit kelainan format dimana johan peringkat negeri akan perlu menghasilkan naskah kedua untuk dipertandingkan di peringkat kebangsaan. Atas sebab itulah liga pada pada tahun ini bermula agak awal.

Yang mana satukah untuk tahun ini?

Bagi yang bercadang menyertai pertandingan ini, saya sediakan sedikit panduan agar anda dapat merancang sebaik-baiknya dan menggunakan tempoh cuti sekolah sebagai ruang yang bermanfaat.

Saya terlibat membimbing pelajar untuk Liga Remaja Kreatif semenjak tahun 2010.  Sepanjang tempoh itu, pencapaian terbaik adalah pada tahun lepas dengan mengondol tempat ketiga negeri Perak. Selain LRK, pelajar saya juga banyak menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelbagai pertandingan di peringkat nasional.

Saya amat bertuah kerana produksi sekolah dengan label Semesta Studio mempunyai ramai pelajar berbakat dalam bidang pengarahan dan suntingan. Semalam baru berlangsungnya satu bengkel khas Videografi sempena LRK 2015 untuk menyediakan pelajar kepada asas videografi. Mereka diajar perkara asas produksi video pendek berfokus kepada Liga Remaja Kreatif.

Di Malaysia terdapat pelbagai pertandingan video pendek dipertandingkan anjuran jabatan kerajaan mahupun swasta di peringkat negeri mahupun kebangsaan dengan menawarkan hadiah yang amat lumayan. Penghasilkan filem pendek mempunyai prospek yang amat besar. Karya yang dihasilkan layak dipertandingankan sehingga peringkat antarabangsa – FFM, Cannes, The International Festival of Very Shorts, Filminute dan sebagainya.

 

Langkah Permulaan- Pembentukan kumpulan

Sekretariat LRK menetapkan jumlah keahlian pasukan terdiri daripada 4 orang pelajar dari sekolah yang sama. Untuk sesebuah kumpulan yang mantap, hendaklah mempunyai visi atau pandangan yang sama atau istilahnya ‘satu kepala’. Keempat-empat mereka hendaklah memberi fokus kepada kemahiran yang berlainan. Selain minat yang mendalam, peranan ketua selaku pengarah amat penting untuk menggerakkan kumpulan.

Penulisan Papan Cerita

Penulisan papan cerita amat penting sebelum memulakan pengambaran/produksi. Antara kepentingan papan cerita adalah seperti berikut.

  1. Paparan jalan cerita keseluruhan cerita -memberi kefahaman kepada semua ahli pasukan.
  2. Mengurus idea, konsep cerita dan pemilihan lokasi rakaman.
  3. Elemen ektestika (sudut kamera, kandungan, komposisi dan sebagainya)
  4. Kawalan masa – anggaran masa dicatatkan setiap turutan (sequence) / babak (scene)
  5. Menjadi panduan semasa proses pengambaran- supaya tidak terlepas sesuatu babak.
  6. Menjadi panduan ketika proses suntingan.

Menulis papan cerita adalah perlu sebelum memulakan rakaman. Tiada format khusus bagi penulisan papan cerita. Ianya bergantung kepada cara mana anda membuat lakaran, penerangan, dan melabelkan dengan nombor babak dan turutan cerita untuk difahami dan diterjemah dalam bentuk digital. Selain secara manual anda juga boleh membina papan cerita menerusi aplikasi web Storyboardthat.

Berikut merupakan contoh papan cerita yang digunakan secara rasmi oleh Semesta Studio.

MUAT TURUN HELAIAN PAPAN CERITA

Konsep Cerita

Dalam penulisan papan cerita juga, kumpulan produksi hendaklah menentukan konsep cerita yang hendak dihasilkan. Berikut merupakan konsep cerita yang boleh dihasilkan.

  1. Animasi/Montaj
  2. Sketsa/Drama
  3. Iklan /Pesanan Masyarakat
  4. Dokumentari
  5. Footage/ Rakaman sebenar

Tema Pertandingan

Sudah tentu setiap pertandingan mengangkat tema tertentu. Kali ini pihak penganjur cuba mempromosi semula jalur lebar dengan tema yang menyentuh kaitan jalur lebar dengan masyarakat. Pada tahun ini temanya berbunyi “INOVASI JALUR LEBAR, GAYA HIDUP DIGITAL MALAYSIA”. Temanya berbunyi sedikit elemen dokumentari ataupun pesanan masyarakat. Peserta perlu menonjolkan perkara baru yang diperkenalkan menerusi teknologi internet berkelajuan tinggi dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia.

Pengurusan Idea

 

Lihat gambar diatas, cuba fikirkan bagaimana hendak menghasilkan penerangan cerita menggunakan kelima-lima konsep cerita diatas.

Untuk mendapat idea yang baik, anda hendaklah melakukan rujukan dengan melihat pelbagai karya video pendek di laman Youtube. Saya lebih suka untuk melihat iklan komersial serta video pendek yang telah memenangi anugerah. Cuba kaji dari segi komposisi, sudut kamera serta nilai estestika yang diterapkan. Lihat juga bagaimana mereka menyampaikan mesej dengan cara yang unik.

Setelah papan cerita siap, anda hendaklah berbincang beberapa kali dengan melihat kembali dengan konsep yang cuba diketengahkan dan kaitan dengan tema pertandingan. Cerita yang baik selalunya bermula dari skripnya yang cemerlang.

Langkah Seterusnya

Langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan alat rakaman. Nantikan bahagian kedua yang akan membincangkan aspek teknikal serta aksesori tambahan yang dapat menyokong rakaman yang berkualiti.

Bahagian 2 - Pemilihan alat rakaman
Bahagian 3 - Proses rakaman, teknik kamera serta komposisi
Bahagian 4 - Perisian Penyuntingan - Mana satukah pilihan anda?
Bahagian 5 - Penerbitan, hak cipta dan pematuhan undang-undang

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.