[Catatan] Pengalaman menyertai 2019 Gold Coast ADE Institute

Catatan ini ditulis dalam penerbangan balik ke Malaysia setelah 7 hari berada di Gold Coast, Australia sebagai satu refleksi diri. Berada pada ketinggian 40,000 kaki, saya terus mencapai iPad untuk mengisi ruang masa selama kira-kira enam jam di udara. Penerbangan AirAsia ini akan ke KLIA2 sebelum ke Pulau Pinang. 

iPad Pro kesayangan. Model 2015 tapi masih power untuk 2019. Jangan ditanya kemana hilangnya nombor 7 tu, huhu..

Tiket pada harga terendah

Untuk ke Gold Coast, saya perlu menanggung sendiri kos perjalanan, insuran dan sebagainya. Penginapan dan makan pula ditanggung sepenuhnya oleh penganjur. Lazimnya, membeli tiket penerbangan awal adalah lebih murah. Alhamdulillah, bersyukur walaupun membeli pada saat akhir, saya masih mendapat harga yang amat rendah.

Mungkin ada hikmahnya saya nekad untuk menunggu seorang rakan yang juga ADE 2019, Ustaz Syukri dari MRSM Taiping. Kami merancang untuk bergerak dari Pulau Pinang dengan penerbangan yang sama. Risau juga sebenarnya bila dimaklumkan tiket beliau yang ditaja MARA bakal diperolehi kira-kira seminggu sebelum program.

Terus saya menghubungi abang saya yang bertugas di AirAsia. Abang saya ni telah lama berkhidmat disana sejak AirAsia hanya ada dua pesawat yang dipajak. Beliau menyatakan musim ini tiket ke sana sentiasa ada walaupun lagi seminggu. Namun, beliau tidak pasti dengan harga yang ditawarkan.

Saya memperolehi harga asas tambang hanya RM1,004 dari Penang-KL-Gold Coast dan pulang. Ha, apa lagi, ini masanya untuk saya mencuba beberapa menu hidangan terbaik mereka. Menggunakan sistem tempahan AirAsia sangat mudah dan pantas. Mereka menyediakan pengalaman yang menyeronokkan dari rumah lagi.

Mungkin ini sebab mengapa Tony Fernandes jatuh cinta pada gadis Korea 😋

Kualiti makan yang disediakan sangat terbaik. Anda harus mencubanya sendiri bila berkesempatan nanti. Dengan sistem tempahan yang mudah digunakan serta makanan yang sedap, tidak hairanlah AirAsia bergelar pengendali penerbangan terbaik dunia dalam kelasnya. Tahniah noh.

Setibanya di lapangan terbang Gold Coast. Bersama Dr Helmi dan juga Ustaz Syukri. Agak sejuk cuaca di sini.

ADE Institute – Class of 2019

Pemilihan ADE diadakan pada setiap tahun ganjil. Apabila penawaran dibuka, lazimnya pada awal tahun, anda perlu melakukan pencalonan sendiri dengan menghantar video selama 3 minit memaparkan usaha gigih anda. Selain itu, anda perlu melampirkan halaman web atau blog (jika ada), pautan sosial media, penerbitan buku, modul, kandungan serta bukti-bukti lain yang berkaitan. 

Baca: Guru pertama KPM untuk pengiktirafan ADE

Jika anda terpilih, anda perlu menghadiri satu program khas yang dikenali sebagai ADE Institute. ADE Institute akan dipecahkan kepada secara tiga acara berasingan mengikut wilayah utama dunia. Saya menyertai kumpulan guru-guru daripada Asia Pasifik iaitu dari Asia Tenggara, Asia Timur dan benua Australia. Program berlangsung selama 5 hari di RACV Royal Pines Hotel & Resort, Benowa, Gold Coast.

Rakan-rakan dari Jepun. Mereka antara penyertaan teramai kali ini.
Cuaca mendung sepanjang hari. Pengalaman makan di padang golf sangat mengasyikkan. Bila hujan berterabur lari. Haha.
Nasib baik penganjur prihatin dengan menyediakan makanan yang halal sepanjang program.
Waktu solat di sana. Jam 5 dah malam.

Rasanya tak perlu saya terangkan dengan panjang lebar dan terperinci mengenai perjalanan program kerana ianya mungkin akan menjadi satu ‘spoiler’ kepada ADE-ADE akan datang. Ya, mungkin Class of 2021 nanti mungkin sedikit berbeza ditambah pula dengan tempat yang berlainan. Bagi saya hidup akan lebih menarik jika penuh dengan kejutan serta pengalaman yang tidak terjangka.

Acara pembukaan ADE Institute 2019 Asia Pacific.
Program ADE kini menyambut ulang tahun ke-25 kali ini.
146 pengiktirafan diberikan Apple kepada para pendidik seluruh dunia pada tahun ini.
ADE Showcase memaparkan perkongsian pendidik mengenai amalan terbaik mereka.
Setelah acara pembukaan, para peserta berpecah ke beberapa bilik untuk sesi perbincangan.
Sesi perbincangan mengenai isu-isu penggunaan teknologi dalam pembelajaran. Sampai garu kepala Mat Saleh tu, hehe..

Dengan menjadi alumni ADE Institute melayakkan seseorang menyertai acara khas ADE Institute edisi global pula pada tahun berikutnya. Menyertai ADE Institute Global merupakan matlamat saya untuk tahun hadapan, inshaallah. Berkongsi pandangan dan idea dengan komuniti antarabangsa sebenarnya memberi saya pelbagai idea dan inspirasi bagaimana untuk mengadaptasi dalam citra budaya tempatan. Tu dia ayat.

Penganjuran terbaik ADE Institute

Saya pernah mencalonkan diri untuk pengiktirafan ini pada 2017, namun permohonan saya tidak berjaya. Mungkin banyak hikmah Allah tangguhkan untuk saya menyertai ADE Institute pada kali ini. Menurut salah seorang pengurus pendidikan Apple, ini merupakan penganjuran terbaik mereka sepanjang 25 tahun. 

Bersama pasukan bimbingan. Tak sangka mentor kumpulan saya (berdiri di tengah) orang yang saya hubungi 4 bulan lalu menerusi Twitter.
Salah seorang sahabat dari China (berbaju jeans) berbangga menunjukkan kelas beliau ‘dicerap’ oleh Tim Cooks.
Bro ni sangat rapat dengan saya sepanjang program. Tali hijau bermaksud penerima ADE Untuk 2019, manakala biru adalah alumni.

Kami juga dimaklumkan, tahun ini sedikit berbeza kerana Apple membawakan ramai ketua-ketua projek pembangunan serta jurutera-jurutera perisian bagi produk-produk dan perkhidmatan mereka dari Cupertino, Amerika Syarikat. Kami diberi peluang untuk berbual santai secara ‘berlaga lutut’ dengan mereka. Satu pengalaman yang cukup peribadi dan tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar pendidik. 

Saya juga ada memberi cadangan penambahbaikan bagi aplikasi Keynote pada iPad. Salah seorang pembangun mengiakan ciri yang dicadangkan amat penting dan mempertimbangkan pada kemaskini aplikasi akan datang. Kami dimaklumkan Apple kini akan lebih mendengar pendapat para guru untuk memantapkan produk mereka agar lebih mudah digunakan. Ini terbukti dengan kehadiran iPadOS yang versi betanya sudah boleh dicuba.  

iPadOS bakal dilancarkan pada sekitar September membawakan banyak perkara baharu.
Satu sesi perkongsian yang amat membuka mata mengenai bagaimana kreativiti harus dicorak.
Sangat teruja dapat bertemu sendiri dengan orang-orang kuat Apple dari Apple Park.
Pasukan yang buat kurikulum ‘Everyone Can Code’ dan app Swift Playgrounds. Teruja beb jumpa depa.

Bagi saya, Apple menyediakan peranti dan app yang sangat berkualiti untuk pendidikan. Mereka begitu serius membangunkan produk dan perkhidmatan yang benar-benar terbaik. Untuk pendidikan mereka menyediakan pelbagai sumber pembelajaran untuk memudahkan para guru dalam pengajaran.

Sepanjang program saya paling teruja dengan paparan mengenai potensi aplikasi GarageBand yang bagi saya sangat ‘osem’. Dua daripada empat sesi bengkel pilihan adalah berkenaan app GarageBand pada iPad. Menariknya bengkel disampaikan sendiri oleh orang yang terlibat dalam pembangunan app tersebut.

I love GarageBand
GarageBand rupanya mempunyai banyak rahsia. Bengkel diberi sendiri oleh pasukan pembangun produk.

Apa kata kita tunjukkan team GarageBand muzik-muzik kita”. Kata saya kepada seorang peserta dari Indonesia sewaktu sesi makan tengah hari. 

Beliau maklumkan yang mana mereka telah pun meminta untuk instrumen muzik dari alam nusantara ditawarkan juga pada app GarageBand.Kalau menjadi kenyataan, lepas ni boleh lah lagu gamelan ‘Timang Burung’ dimainkan secara langsung oleh pelajar semasa acara penyampaian anugerah kecemerlangan sekolah.

Satu bengkel yang mencetuskan idea untuk satu projek yang akan saya buat dengan pelajar nanti.
25 tahun GarageBand. Rasa sangat teruja bertemu para pasukan yang terlibat dalam pembangunan aplikasi muzik terbaik ini.

ADE Battlemania

Saya tidak menjangkakan salah satu pertandingan yang saya daftar sebulan sebelum iaitu ADE Battlemania sangat-sangat meriah. Hanya 14 guru menyertai. Dengan ‘selambanya’ saya menyahut cabaran ini. Pelbagai teknik dipamerkan dalam suasana yang sangat meriah. Apa yang saya lihat daripada adalah budaya pendidik antarabangsa yang sentiasa ingin belajar serta sangat menghargai orang lain. 

Tu dia kena lawan dengan otai dari Jepun.
Sempat la juga naik pentas. Yang penting berani, hek..
Para peserta Battlemania setelah tamat cabaran.

Pengalaman Luar Biasa

Menyertai ADE Institute merupakan satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Apple mengendalikan acara ini dengan gaya santai tetapi penuh prestij. Seronoknya dapat melihat persembahan gaya Apple sepertimana yang kita biasa lihat dalam acara WWDC atau acara pelancaran produk mereka setiap tahun.

Program Apple Teacher diaktifkan sejak awal tahun di Malaysia dan tiga negara Asia Tenggara lain.
Modul ‘Everyone Can Create’ yang dibangunkan Apple untuk pembelajaran kreativiti.
Perkongsian dari seorang peserta. Mungkin suatu hari nanti ada wakil dari Malaysia pula dapat berkongsi di pentas besar ini.
Peluang untuk meneraju perubahan. Inshaallah akan buktikan yang guru Malaysia setanding pendidik global.

Bertemu ramai rakan baharu, berbual bersama para pembangun perisian Apple, menikmati cuaca ‘winter’ di Gold Coast serta menyertai beberapa agenda yang diatur memberi dimensi baharu dalam perjalan hidup saya sebagai pendidik. Sudah pasti, kembalinya ke Malaysia saya akan terus berusaha mentransformasi pendidikan dengan cara tersendiri. Fuyyoh… 

Sesi santai bertemu para pembangun produk dan perkhidmatan Apple.
Di sebelah saya adalah seorang bekas pensyarah yang telah lama mendapat status ADE. Kiranya akak legend le ni.
Menyiapkan mural digital Everyone Can Create
Bersama pasukan ADE Malaysia. Seorang lagi ADE, Vicky tiada dalam gambar.
Bersama Ustaz Syukri a.k.a Ustaz Rock. Sebelah kanan tu mentor kami.

Setelah 6 hari saya dapat simpulkan menyertai komuniti ADE bukan mengenai teknologi Apple yang digunakan semata-mata. Tidak kira anda pengguna tegar produk Microsoft, Google dan sebagainya. Ramai sahaja ADE yang juga MIE Experts dan juga Google Innovators. Apa yang penting adalah bagaimana anda memanipulasi serta memanfaatkan teknologi tersebut untuk mencapai matlamat pembelajaran dalam sama yang sama dapat menerapkan pelbagai elemen pembelajaran terkini.

Apple mempunyai kekuatannya tersendiri dengan tawaran iPad dengan perisian yang sangat intuitif. Pembangunan app-app untuk kreativiti juga diberi keutamaan selain kurikulum khas untuknya. Itulah yang membezakan Apple dengan jenama lain. Selain itu, Apple sentiasa menyokong ekosistem pendidikan dengan pelbagai aplikasi seperti Classroom, Books, Schoolwork dan iTunes-U.

Sempat singgah di pantai terkenal Surfer Paradise Beach pada hari akhir. Cuaca agak tak baik sepanjang minggu.
Suhu di Queensland pada musim sejuk ini boleh mencecah 18 darjah celcius.
Banyak cenderamata yang menarik. Saya tak banyak berbelanja memikirkan perlu ‘survive’ sampai hujung bulan, hehe..

Selamat tinggal Gold Coast. Satu kenangan yang sangat indah.

Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan saya terutamanya dalam gerakan komuniti ATC iChampion MY yang telah banyak mencetus inspirasi untuk saya sentiasa bersemangat. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Apple Education (Malaysia) atas peluang yang diberikan. Inshaallah, segala ilmu yang diperolehi akan dimanfaatkan untuk memajukan anak bangsa seiring dengan zaman serta kaedah pedagogi yang semakin kehadapan

KLIA2. ‘Sebuah lapangan terbang penuh misteri…’.

Kini saya berada di pesawat seterusnya untuk pulang ke Pulau Pinang setelah singgah sebentar di KLIA2. Sedang mendarat saya sedari satu set makanan yang saya tempah tidak diberikan. Mungkin mereka terlepas pandang. Akibat terkejar masa tak sempat pula nak jumpa kru penerbangan lepas tu. Jika Tony Fernandes ada membaca catatan ini boleh la belanja saya nanti sebagai ganti. Haha…

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.