Ayuh Mohon Dana Pemfailan Harta Intelek 2018

Pada 2017 saya bersama pelajar telah diberi dana oleh myIPO untuk mempatenkan salah sebuah idea inovasi yang dibangunkan.

Skim diberikan setelah projek kami terpilih sebagai antara prototaip terbaik yang berpotensi untuk didaftarkan dalam salah satu pertandingan inovasi pelajar peringkat antarabangsa.

Untuk memperolehi paten, ianya memerlukan sedikit usaha untuk mengkaji prosedur serta menyediaan dokumen yang diperlukan.

Kami perlu mengikuti beberapa proses yang khusus seperti hal-hal penyediaan draf serta lukisan konsep peten, carian paten, menandatangani dokumen sehinggalah paten disiarkan di laman paten global.

Inisiatif myIPO

myIPO menawarkan inisiatif kepada pelajar dan golongan muda dengan skim yang dikenali sebagai Dana Pemfailan Harta Interlek untuk pelajar. Mereka banyak membantu kami menyediakan segala dokumen serta melakukan pendaftaran menerusi lantikan khidmat konsultan bertauliah.

Hasilnya, idea inovasi pelajar-pelajar saya telah disenarai dalam laman paten selama 18 bulan untuk disemak oleh badan-badan yang mengendalikan proses pendaftaran peten seluruh dunia. Fasa ini dikenali sebagai Petent Pending. Jika tiada cabaran dan pertindihan, selepas tempoh ini, hak peten akan diberikan.

Beratus-ratus inovasi telah dihasilkan oleh MCKK sejak penubuhannya sejak 112 tahun. Segala-galanya lenyap begitu sahaja selepas pertandingan. Idea luarbiasa berakhir di stor atau tong sampah.

Salah seorang rakan guru MCKK yang pernah terlibat dalam pertandingan inovasi mendakwa salah satu idea pelajarnya lama dahulu kini telah muncul sebagai produk komersial yang telah dipasarkan secara meluas oleh orang lain.

Saya melihat pentingnya usaha kerajaan menerusi peranan yang dimainkan oleh myIPO ini. Maklum sajalah proses paten ini bukanlah murah. Ianya mencecah sehingga belasan ribu ringgit.

Mohon Dana Pemfailan Harta Intelek 2018

Melihat kepentingan untuk terus menyokong inovasi yang dihasilkan pelajar, myIPO sekali lagi menawarkan peluang keemasan kepada pelajar Malaysia.

Dana Harta Intelek myIPO diwujudkan untuk membantu golongan belia, pelajar dan komuniti setempat yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai pemfailan harta intelek mereka.

Permohonan yang berjaya akan menerima dana dalam bentuk pemfailan harta intelek yang dikehendaki sama ada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta atau petunjuk geografi.

Pautan dibawah menyediakan panduan lengkap, borang serta proses yang harus diikuti. [KEMASKINI] Tarikh tutup yang sepatutnya pada 30 April kini dilanjutkan kepada 30 Jun 2018. Ayuh, jangan tunggu lagi, mohon segera.

Mohon Dana myIPO 2018

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.