Mengapa saya menyokong Pak Nil sebagai Ikon Pembelajaran Abad ke-21 oleh KPM?

Pengumuman KPM ini telah menimbulkan pelbagai polemik. Berdasarkan pemerhatian saya di Facebook, iaitu satu media sosial yang popular dalam kalangan guru, lebih banyak komen mengkritik dilontar berbanding ucapan tahniah.

Di Terengganu, pada acara RUMAHKOD Edtech Day 2019 yang disertai, saya bersama pakar Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), Cikgu Herryan Shah (Mudah Mengajar) selama hampir 3 jam berbual panjang mengenai isu-isu semasa pendidikan di kedai kopi.

Menyentuh isu ini, jelas rupanya kami mempunyai pandangan yang sama iaitu menyokong sepenuhnya pemilihan Pak Nil atau nama sebenarnya Datuk Aznil bin Hj Nawawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Berikut merupakan enam sebab mengapa saya menyokong Pak Nil sebagai ikon PAK21.

1.  Aspek penjenamaan

Sedikit pengalaman dalam MaGIC Pre-Accelerator Program bersama beberapa negara Asia Pasifik selama 3 minggu serta bergaul dengan rakan-rakan ‘startup‘ perniagaan digital membuatkan saya percaya tindakan KPM melantik Pak Nil merupakan satu strategi yang betul untuk ‘memasarkan’ jenama PAK 21.

Ya, PAK21 perlu dijenamakan dengan berkesan. Pemilihan seorang selebriti (yang ternama) merupakan cara terbaik untuk mempromosi PAK21. Kesannya berbeza jika KPM mengambil sesiapa sahaja yang kurang dikenali masyarakat.

2. Ikon vs. Duta

Pada naskah watikah pelantikan yang dikongsi, kita dapat lihat antara tanggungjawab beliau setelah dilantik adalah untuk:

  • Mempromosikan dan memberi pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat mengenai kemahiran PAK21.
  • Menggalakkan perkembangan sahsiah murid secara holistik dan seimbang.
  • Memberi inspirasi kepada murid supaya memiliki keyakinan diri serta kemahiran pengucapan awam dengan ketrampilan kelas pertama.

Ramai guru yang menyatakan lebih sesuai diberi gelaran duta berbanding ikon. Bagi saya ikon merupakan pilihan yang lebih wajar dan sesuai dengan peranan yang bakal dimainkan.

Apa bezanya? Anda tanya pada diri sendiri. Untuk memberi inspirasi kepada orang lain, gelaran mana yang lebih sesuai? Duta atau ikon?.

Selain itu, secara peribadi saya merasakan gelaran ‘ikon’ itu sendiri lebih moden mencerminkan abad ke-21.

3. Pendidikan milik masyarakat

Saya tergelak apabila seorang guru mempertikai lantikan ini dengan bertanya “Pak Nil pernah ke masuk kelas pegang kad traffic light? tahu ke pasal Exit Card?. Baiklah, adakah beliau bukan seorang guru, maka beliau tidak boleh mendidik?

Pendidikan sebenarnya bukan hanya peranan guru di sekolah semata-mata. Ianya merupakan tanggungjawab semua warganegara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang cemerlang.

Pak Nil dalam kerjayanya dilihat sebagai seorang yang sentiasa mengetengahkan bakat dan kreativiti kanak-kanak serta terkini menumpu kepada salah satu tunjang penting dalam PAK21 iaitu kemahiran berkomunikasi.

Kerangka PAK21 itu sebenarnya juga besar. Kita tidak harus menganggap PAK21 hanyalah aktiviti di kelas semata-mata. PAK21 merupakan satu ekosistem untuk menghasilkan pelajar yang memenuhi keperluan tuntutan abad ke-21.

Warga pendidik perlu melihat perkara ini dari sudut yang lebih luas. Usaha KPM mendekati masyarakat terutamanya misinya untuk memberi pemahaman lebih jelas kepada ibu bapa juga perlu disambut baik.

Kerangka Pembelajaran Abad ke-21 (versi 2019) oleh P21 (Battelle for Kids)

4. Matlamat dan kesungguhan

Inilah watikah pelantikan #paknil sebagai Ikon Pembelajaran Abad ke-21 oleh Menteri Pendidikan Malaysia YB Dr @Maszlee. Terima kasih kepada pejuang-pejuang @YayasanPesona. Tugas baharu kita telah bermula. Anak-anak PakNil keliling Malaysia, nantikan kemunculan PakNil dan pasukan Yayasan Persona muncul di sekolah anak-anak,”

Diatas merupakan coretan beliau di laman Instagram. Melihat dokumen yang dipaparkan, ianya satu watikah pelantikan, bukan perhargaan untuk tokoh. Bermakna beliau telah diberi satu tanggungjawab yang besar untuk itu. Beliau telah menerimanya, bermakna beliau sudah bersedia.

Beliau menyatakan kesungguhan untuk membantu perkembangan pendidikan di Malaysia dengan kapasiti (masa dan kemahiran) yang dimilikinya. Saya merasakan beliau mempunyai pengaruh serta karisma tersendiri yang mampu memberi impak yang besar.

5. Sumbangan kepada dunia pendidikan

Beliau telah meletakkan objektif yang jelas menerusi inisiatif pendidikan yang diusahakan. Yayasan Pesona walaupun baru ditubuhkan (tidak sampai pun setahun), namun, ia projek kerja amal beliau yang didedikasi sepenuhnya dengan memperlahankan aktiviti seni beliau.

Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk saya memberi pula kepada orang ramai dengan melakukan misi amal. Saya sudah tiada apa lagi untuk dikejar dan saya tidak akan menyesal dengan keputusan yang dilakukan ini kerana ia merupakan aktiviti yang baik” Datuk Aznil Hj Nawawi [Agenda Daily – 27 April 2018)

Beliau pastinya mempunyai perancangan tersendiri setelah dilantik sebagai ikon PAK21 KPM. Cuma berikan beliau sedikit ruang dan masa untuk beliau menyusun pasukan beliau dalam proses traksaksi ini.

6. Pengiktirafan Ikon Guru PAK21 dalam kempen terbaru KPM

Kebanyakan komen netizen dari kalangan guru mempertikaikan kenapa tidak dipilih calon dari kalangan guru. Sebenarnya, pihak kementerian telah pun merancang program pencarian guru PAK 21 menerusi Kempen Guru PAK21 yang dilancarkan pada 20 Disember lepas.

Ianya merupakan satu pemilihan yang melibat tapisan yang ketat untuk memilih guru PAK21 yang benar-benar layak dan berkualiti. Ikon Guru PAK21 bakal dinobatkan dalam masa terdekat. Oleh itu, bagi guru-guru yang menganggap guru tidak diberi pengiktirafan sepatutnya tidak perlu memperbesarkan isu ini.

Tahniah Pak Nil – Masa untuk membuktikan

Tahniah Pak Nil saya ucapkan kerana berani menyahut cabaran ini yang pastinya bukan mudah. Abaikan segala kritikan dan terus maju berjuang bersama para pendidik. Diharap anda melaksanakan amanah ini dengan serius lantas membuktikan anda seorang ikon PAK21 yang layak.

Buat rakan-rakan, hayati kata-kata beliau sewaktu pelancaran Yayasan Pesona:

Dengan era ledakan komunikasi digital yang pesat berkembang, saya melihat pentingnya generasi muda diingatkan mengenai keperluan menjaga budi bahasa, cara pertuturan selain etika di alam maya. 

Saya juga amat percaya tugas ini harus dipikul oleh setiap individu kerana cara kita bercakap, cara kita menjawab soalan merupakan lambang atau terjemahan peribadi kita,” Datuk Aznil Hj Nawawi  [KOSMO! – 19 April 2018]

Sumber gambar: Yayasan Persona (IG)

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.