Mini, Air, Pro – Mana satu varian pilihan anda? | Panduan terkini iPad untuk Guru

Moratarium masih boleh mohon lagi kan?. Emm… elok juga kalau dapat upgrade peranti PdPR ni, iPad OK ke?” tanya seorang rakan guru.

Dalam tempoh PKP ini nampaknya ramai pula para pendidik ingin mencuba peranti iPad. Buktinya, tips panduan pemilihan iPad merupakan tiga catatan yang paling banyak diakses di blog cikgusiber.com sepanjang musim PKP.

Panduan Variasi iPad Pilihan Guru 2021 / 2022

Saya terpanggil untuk menyiarkan satu lagi catatan kemaskini, yang mungkin dapat membantu anda membuat pilihan setelah pelancaran produk baharu Apple pada Apple Event 15 September lalu.

Jadi, tanpa berborak panjang, ini cadangan saya bagi varian iPad terbaik serta eksesori untuknya menurut pandangan peribadi saya.

1. iPad mini (2021) Versi 256GB Wi-Fi bersama Apple Pencil (2nd Gen)

  • Harga standard: RM2,949
  • Harga pendidikan: RM2,649 (Penjimatan RM300)
  • Apple Pencil (harga pendidikan): RM509

iPad mini (6th Gen) menjanjikan saiz yang kompak dengan dimensi skrin 8.3 inci. Ia sangat sesuai untuk guru-guru wanita yang mahukan sebuah gajet yang nampak elegan serta muat untuk beg tangan Hermes anda.

Dari segi rekaannya, ia seiring dengan reka bentuk iPad Pro dan iPad Air yang berbentuk boxy. Apa yang paling menarik adalah sokongan port USB-C yang sangat berguna. Sistem kameranya juga mantap.

Saiznya yang comel sudah tentu kapasiti baterinya juga kecil. Adakah mencukupi untuk kegunaan di sekolah untuk PdP nanti? Itu antara persoalan daripada rakan-rakan guru apabila berbicara mengenai iPad mini.

Apple menjanjikan penggunaan sehingga 10 jam. Itu sebabnya mereka meletakkan cip pemprosesan A15 Bionic yang sama digunakan pada iPhone 13 pada iPad mini untuk kuasa serta penjimatan penggunaan tenaga.

8.3 inci VS. 10.2/11 inci. OK ke iPad dengan saiz sekecil sebegini?

Diakui, saiz skrin yang lebih besar seperti yang ditawarkan pada iPad, iPad Air dan iPad Pro sudah pasti memberi kelebihan dari segi ruang antaramuka yang lebih besar untuk pengalaman penggunaan sepertimana skrin laptop.

Dengan iPad mini, terdapat perkara tertentu perlu dikompromi. Sebagai contoh, jika ingin sepenuhnya menggunakan aplikasi pemprosesan kata seperti Word atau Pages di iPad, saiz yang kecil kurang memberi keselesaan pada hemat saya.

Melihat pada kelebihnya, saiznya yang kompak serta keupayaan kuasa yang tinggi, serta sistem kameranya merupakan faktor utama mengapa pada pandangan saya, varian ini akan menjadi begitu popular dalam kalangan pendidik.

Saya sendiri akan menempah iPad mini untuk kegunaan peribadi apabila tempahan dibuka nanti menerusi Apple Store online. Buat masa sekarang pre-order di Apple Store Online masih belum dibuka.

2. iPad Air (2020) versi 256GB Wi-Fi terpakai bersama Apple Pencil (2nd Gen)

  • Harga standard (baharu): RM3,249
  • Harga pendidikan (baharu): RM3,049 (Penjimatan RM200)
  • Harga anggaran (pasaran terpakai): RM2,300-RM2,800 * 
  • Apple Pencil (harga pendidikan): RM509

* Harga bergantung kepada berapa lama lagi waranti yang tinggal. iPad Air (2020) dilancarkan pada Oktober 2020 yang mana kebanyakkan stok dalam pasaran terpakai kini masih lagi dalam tempoh jaminan 1 tahun Apple.

iPad Air (4th gen) menawarkan storan yang sangat rendah untuk pakej versi permulaan iaitu dengan hanya 64GB sahaja. Sejujurnya, tahun 2021, membeli peranti 64GB bukanlah satu keputusan yang bijak**.

** Namun begitu, masalah storan yang kecil dapat diatasi dengan anda mengaktifkan langganan iCloud+ atau menggunakan storan fizikal tambahan menerusi penggunaan port USB-C. 

Sudah tentu, pilihan seterusnya adalah versi 256GB kerana versi 128GB tidak ditawarkan. Jika anda inginkan iPad Air baharu versi storan 256GB, saya nasihatkan dapatkan sahaja iPad Pro 11″ versi 128GB Wi-Fi dengan menambah RM230 sahaja lagi.

Jadi, jika anda masih inginkan sebuah iPad Air dengan kapasiti storan 256GB, mungkin kerana warna-warnanya yang sexy atau faktor-faktor lain, saya cadangkan anda mendapatkan dipasaran terpakai yang dipercayai. Ya, peranti terpakai.

Saya cadangkan iPad Air terpakai kerana semua iPad Air model terkini yang wujud dalam pasaran masih lagi dilindungi waranti oleh Apple. Untuk makluman anda, iPad Air generasi terkini mula diedar mulai November 2020.

Namun, saya sentiasa mengingatkan anda supaya berhati-hati apabila berurusan dengan penjual iPad terpakai dalam talian kerana ramai yang telah ditipu.

3. iPad Pro (2021) 11″ versi 128GB  Wi-Fi bersama Apple Pencil (2nd Gen)

  • Harga standard: RM3,499
  • Harga pendidikan: RM3,279 (Penjimatan RM220)
  • Apple Pencil (harga pendidikan): RM509

Saya sering mencadangkan model ini kepada rakan guru jika ditanya yang mana satukah antara sebuah iPad Pro 11″ (3rd Gen) keluaran 2021 dengan iPad Air keluaran 2020. Apple sangat bijak memanipulasi delima pengguna dengan skim harga mereka.

iPad Pro menawarkan pengalaman pengalaman penggunaan lebih baik serta pelbagai ciri tambahan yang sangat luar biasa seperti skrin ProMotion, sensor LiDAR serta Face ID. Storan 128GB memadai.

Kelebihan utama bagi saya adalah kuasa pemprosesannya yang tiada tandingan dalam penawaran komputer tablet. Cip pemprosesan Apple M1 merupakan cip yang sama ditawarkan dalam sebuah MacBook Pro.

Bayangkan kemampuannya untuk proses rendering setelah suntingan video di iPad serta ia meyokong aplikasi 3D serta AR dengan cemerlang. Saya jangkaan iPad Pro ini dapat menyokong iPadOS serta app-app terkini sehingga 6 tahun lagi.

Anda perlu tahu, iPad Pro hadir dalam dua saiz yang berbeza iaitu 11 inci dan 12.9 inci. Saiz 11 inci sangat ideal untuk kegunaan kelas kerana faktor mobilitinya. Kebanyakkan app dipasaran dioptimasi untuk saiz 9.7 sehingga 11 inci.

Manakala iPad Pro bersaiz 12.9 inci amat sesuai kepada pendidik yang mahukan kanvas yang lebih besar untuk berkarya dalam penghasilan karya seni digital serta reka bentuk permodelan 3D atau reka bentuk CAD.

Pengalaman penggunaan Apple Pencil di iPad Pro amat luarbiasa. Kelebihannya pada tahap ketepatan yang tinggi dengan teknologi skrin dengan kadar segar semula 120Hz berbanding model lain hanya 60Hz.

Mengapa bukan iPad generasi ke-9?

Mengapa iPad 10.2 inci terkini yang dilancarkan baru-baru ini tiada dalam senarai saya? Baik, bagi saya, sebagai seorang guru, saya berpandangan iPad Air atau Pro lebih sesuai dengan imej anda dalam bidang profesional.

Lagipun dengan iPad varian tertinggi seperti iPad Pro, jika umurnya panjang, anda tidak perlu mengemaskini lagi iPad dalam tempoh 5 tahun ke depan. Pelaburan jangka sederhana yang berbaloi-baloi.

Namun begitu, jika anda merasakan bajet adalah kekangan, iPad 10.2 inci Wi-Fi dengan storan 256GB berharga RM2,019 (diskaun pendidikan) bersama Apple Pencil (1st Gen) berharga RM379 mungkin boleh dipertimbangkan.

Jika ada bajet yang lebih sedikit, iPad Pro 11″ (2nd Gen) 128GB Wi-Fi keluaran tahun 2020 dari pasaran terpakai bersama Apple Pencil (2nd Gen) juga boleh dipertimbangkan dalam lingkungan harga RM2,100 sehingga RM2,600.

Perlu atau tidak saya mendapatkan papan kekunci fizikal?

Sebelum kehadiran teknologi Scribble pada iPad, saya seringkali menggalakkan guru membeli papan kekunci fizikal bersama iPad. Tetapi kini, ianya terpulang kepada cara penggunaan anda.

Bagi saya Apple Pencil sudah memadai untuk anda memasukan input teks dengan mudah tanpa perlu anda membuat pelaburan tambahan. Mengelak penggunaan keyboard fizikal sebenarnya dapat mengurangkan berat iPad untuk dibawa.

Sudah terbeli model lain?

Anda baru sahaja membeli model lain selain yang dicadangkan diatas? Tak perlu menyesal. Perlu diingat, variasi iPad diatas adalah cadangan saya semata-mata. Bukan masalah yang besar.

Mungkin anda mempunyai pertimbangan tersendiri untuk mendapatkan model yang dapat memenuhi keperluan anda. Anggap sahaja pandangan saya tidak sesuai dan boleh disanggah menerusi justifikasi anda.

Apa pun model dan variasi, iPad yang anda beli merupakan iPad yang berkuasa dan mampu untuk menjana kreativiti anda dalam PdP. Gunakanlah ia sebaik-baiknya. Jumpa lagi dalam catatan seterusnya.

  • Cikgu Razif merupakan seorang Apple Distinguished Educator (ADE) serta Apple Professional Learning Specialist (APLS). Beliau kini berusaha untuk projek pengiktirafan Apple Distinguished School (ADS) di sekolah beliau. 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.