Panduan Pembelian iPad untuk Pendidik 2021

Salam sejahtera semua. Jika anda rasakan ini masanya untuk anda mendapatkan sebuah iPad untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau dari rumah, catatan ini untuk anda.

Tanpa membebel panjang, berikut panduan pembelian iPad untuk para pendidik bagi 2021.

iPad vs. iPad Air

Jika anda mahukan sebuah iPad kerana bajet yang kurang mencukupi, saya tidak menyarankan anda mengambil versi Wi-Fi 32GB. Ini kerana saiz versi permulaan 32GB terlalu kecil untuk 2021.

Saya berpandangan, Apple masih mengeluarkan model dengan kapasiti storan sebegini pada 2021 untuk kegunakan secara ‘shared device‘ di institusi-institusi pendidikan atau didedikasi untuk kegunaan industri-industri tertentu.

Jika anda telah telah terbeli versi 32GB, anda tidak lah perlu menyesal sangat. Anda masih boleh menampung kelemahan saiz yang terlalu kecil dengan penggunaan sepenuhnya teknologi simpanan awan.

Dengan RM3.90/bulan untuk 50GB atau RM11.90/bulan untuk 200GB (boleh berkongsi dengan ahli keluarga lain), anda boleh mendapatkan pakej iCloud ini untuk kelegaan ruang simpanan.

iPad generasi ke-8 ini mempunyai Smart Connector dan menyokong  Apple Pencil generasi pertama.

Untuk iPad, saya amat menyarankan anda memilih versi Wi-Fi 128GB  yang ditawarkan pada harga RM1,769 (diskaun pendidikan). Atau, anda boleh memikirkan untuk sebuah iPad Air.

iPad Air ditawarkan bermula dengan simpanan sebesar 64GB. Bagi saya, 64GB sudah memadai untuk kegunaan rutin seorang guru. iPad Air dijual pada harga (RM2,399 (diskaun pendidikan) bagi versi Wi-Fi 64GB.

iPad Air vs. iPad Pro

Jika anda rasakan 64GB terlalu kecil dan memikirkan untuk iPad Air 256GB, saya sarankan anda pergi kepada versi Pro bersaiz 11 inci dengan storan 128GB. Ini kerana perbezaan harga yang sedikit iaitu kira-kira RM239 sahaja. Jangan terkejut.

Secara peribadi, saya melihat ianya strategi pemasaran Apple yang memang sengaja berbuat sedemikian untuk menjual lebih banyak iPad Pro pada penghujung kitar hayatnya. Ini kerana iPad Pro generasi baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Hanya beli iPad Air jika anda hanya mahukan versi 64GB.

iPad Pro juga ditawarkan pada saiz 12.9 inci yang sangat sesuai jika dan seorang guru seni atau terlibat dalam penyuntingan grafik. Saiz 11 inci lebih ideal kepada kebanyakkan cikgu.

Dengan iPad Pro, anda mendapatkan cip pemprosesan yang lagi berkuasa, teknologi ProMotion dengan paparan skrin 120Hz berbanding Air yang hanya 60Hz, tambahan Face ID, sensor LIDAR serta sistem speaker yang lagi baik.

iPad Pro ditawarkan dalam dua saiz skrin iaitu 11 inci dan 12.9 inci. Versi permulaan Wi-Fi 128GB dijual pada harga RM3,279 (diskaun pendidikan). Selain storan 128GB, iPad Pro menawarkan tiga pilihan lain 256GB, 512GB dan 1TB.

Bagi saya, storan 128GB sudah mencukupi. Jika anda banyak menghasilkan kandungan video secara serius atau anda seorang content creator sejati, membenci pula kaedah simpanan secara cloud, anda boleh mempertimbangkan versi 256GB atau 512GB.

iPad Terpakai

Anda boleh juga mempertimbangkan untuk sebuah iPad terpakai. Ianya amat berbaloi. Cadangan saya, dapatkan iPad Pro generasi ke-3. iPad Pro model 11 inci keluaran tahun 2018 ini boleh didapati pada harga sekitar RM2,000 bagi versi Wi-Fi 64GB.

Walaupun dijual 3 tahun lepas, iPad versi tertinggi ini sebenarnya masih sangat berkuasa dan menggunakan teknologi ProMotion. Model lain? Tiada. Ini sahaja model iPad dari pasaran terpakai yang saya cadangkan untuk 2021.

‘Feel’ Apple Pencil pada iPad Pro ternyata berbeza berbanding iPad Air atau iPad kerana teknologi ProMotionnya yang menggunakan skrin dengan kadar segar semula 120Hz.

Tetapi sentiasa berhati-hari jika anda membeli menerusi dalam talian. Sebaiknya, dalam suasana pandemik ini, carilah pemilik yang berdekatan dengan anda untuk anda mendapatkannya secara COD.

Harga Pendidikan – Education Authorised Seller vs. Apple’s Education Store

Kedua-dua kaedah pembelian untuk pendidikan ini menawarkan harga pendidikan yang mana tidak jauh berbeza antara satu sama lain. Kedua-dua menguntungkan anda.

iPad Pro 11 inci Wi-Fi 128GB sebagai contoh dijual pada harga RM220 lagi rendah daripada harga biasa. Aksesori seperti Apple Pencil pun ada diskaun juga.

Untuk berurusan dengan Education Authorised Seller Apple, saya mencadangkan AST. Mereka satu-satunya syarikat jurujual bertauliah Apple untuk pendidikan milik bumiputera yang berpangkalan di Shah Alam. #supportbumi

Boleh minta sebut harga daripada mereka jika anda ingin membeli dengan skim pinjaman komputer kerajaan. Untuk pembelian secara terus pun boleh. Sangat mudah berurusan.

Anda juga boleh berjimat dengan membeli pada harga pendidikan di Education Store Apple. Pembelian secara dalam talian dan barang dipos ke rumah.

Tidak memerlukan sebarang bukti pun yang mengatakan anda seorang guru. Dengan Apple ID sedia ada (jika tiada boleh daftar disini), anda layak sekali untuk mendapatkan produk dengan harga yang menarik, termasuk juga Mac dan MacBook.

iPad menjadi peranti pilihan utama untuk PdPR di musim pandemik. Baca di sini.

Aksesori

Aksesori yang disarankan untuk iPad adalah sebatang Apple Pencil. Apple Pencil amat berbeza daripada stylus biasa. Ianya dioptimasi untuk lakaran digital profesional serta berkemampuan mengantikan papan kekunci untuk input teks menerusi ciri Scribble.

Untuk seorang guru, Apple Pencil dapat membantu guru untuk melakar dan melukis dengan jitu serta memudahkan penghasilan nota digital atau anotasi pada dokumen. Membeli Apple Pencil secara dalam talian membolehkan anda engrave nama anda. Tetapi, ianya untuk generasi ke-2 sahaja.

Baru la bila pergi kursus iPad, Apple Pencil tak tertukar.

Menariknya, Apple juga menawarkan diskaun untuk Apple Pencil bersama pakej pendidikan. Video dibawah menunjukkan bagaimana Apple Pencil digunakan untuk kreativiti.

Papan Kekunci pula terpulang kepada anda. Dapatkan jika anda rasakan perlu. Saya lebih meminati papan kekunci daripada Logitech berbanding produk Apple. Ikut selera.

Jika ada bajet lebih, boleh dapatkan sebuah Apple TV 4th gen untuk anda mirroring dari skrin iPad ke projektor secara tanpa wayar di kelas. Tidak perlu versi 4K, yang HD adalah memadai.

Jika anda boleh mendapatkan Apple TV 3rd gen lagi baik kerana ianya sangat kecil dan mudah dibawa. Tiada versi baharu dijual, anda boleh dapatkan di pasaran terpakai ataupun stok refurbished.

Berbaloikah membeli sekarang?

Kedua-dua versi iPad Pro (11 inci dan 12.9 inci) bakal dikemaskini bersama iPad dan iPad Mini dalam masa terdekat. Nasihat saya, jika anda masih boleh menunggu dalam kira-kira sebulan lebih dari sekarang, sila tunggu.

iPad Pro dijangka menawarkan teknologi skrin Mini-LED yang dikatakan lebih baik daripada skrin OLED dalam beberapa aspek. iPad Pro sekarang hanya menggunakan teknologi skrin IPS LCD.

Saya jangkakan, pelancarannya nanti pada penghujung Mac yang mana sebelum-sebelum ini Apple kerap juga mengadakan acara khas pada suku pertama tahun. Dalam situasi pandemik ini, sukar dijangka.

Untuk iPad Air, anda boleh mendapatkan sekarang kerana iPad Air baharu sahaja dilancarkan. Jadi tiada masalah.

Saya pula sedang menunggu sebuah iPad Pro 2021 11 inci versi selular dengan storan 128GB bersama sebatang Apple Pencil 3rd gen yang diberitakan bakal hadir dengan teknologi color sampling. Itupun kalau tabung ayam dah penuh.

Yang dah terbeli sebelum membaca panduan ini, anda tidak perlu menyesal. Lupakan garis masa dan ingat iPad adalah sebuah iPad. Apapun model, anda dijamin berpuas hati dengan setiap sen yang dibelanjakan. Semoga panduan ini bermanfaat untuk anda.

Cikgu Razif merupakan seorang Apple Distinguished Educator (ADE) dan Apple Professional Learning Specialist (APLS). Kini berusaha keras untuk pengiktirafan Apple Distinguished School (ADS) untuk sekolahnya. Boleh mengikuti beliau di Twitter dengan pautan berikut: https://twitter.com/razxxf

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.