Panduan untuk menjalankan program Duta Penggerak Digital & Kelab Penggerak Digital di sekolah

Tahun pertama sebagai guru saya diberi tugasan sebagai guru pembimbing kelab robotik bersama dua rakan. Di sekolah kedua, saya mengendalikan pasukan Briged Bestari yang juga banyak terlibat dengan peralatan serta teknologi digital.

Terlibat dengan pembangunan bakat pelajar dalam pembelajaran bertemakan digital memerlukan guru sentiasa bersedia dengan perubahan pantas teknologi serta mempunyai sumber yang mencukupi sama ada dalam bentuk kewangan dan akses kepada bahan pembelajaran.

Pelajar-pelajar dibawah bimbingan saya terlibat dengan pelbagai projek inovasi digital.

MDEC dalam dua tahun kebelakangan ini telah menunjukkan usaha yang begitu luarbiasa untuk mempromosi pembelajaran teknologi digital menerusi inisiatif #mydigitalmaker. Antara program yang diperkenalkan adalah Duta Penggerak Digital serta Kelab Penggerak Digital.

Duta Penggerak Digital

Berdasarkan panduan yang dikeluarkan, Duta Penggerak Digital ditubuhkan adalah untuk menggantikan peranan yang dimainkan oleh Briged Bestari/Pengawas Siber/Pengawas ICT sebelum ini.

Ia merupakan badan penggerak dalam kalangan murid sekolah, yang mempunyai kepakaran ICT, berketerampilan, bertanggungjawab dan berintergriti. Sebenarnya, badan ini setaraf dengan Pengawas Sekolah atau Pengawas PSS.

Dalam dunia yang mana teknologi yang semakin canggih, peranan ahli ini cukup penting. Meraka akan berperanan sebagai pemangkin pembudayaan ICT di sekolah, dan sebagai agen tranformasi dan kelestarian pembestarian sekolah.

Mereka yang digelar Duta Penggerak Digital ini akan membantu sekolah membangunkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran abad ke-21, bertanggungjawab dan berdaya tahan untuk mencapai matlamat Pembestarian Sekolah.

Kelab Penggerak Digital

Kelab Penggerak Digital merupakan penjenamaan semula kelab-kelab bertemakan digital yang sedia wujud di kebanyakkan sekolah sebagai aktiviti kokurikulum rasmi.

Tiga kelab dicadangkan iaitu:

  • Kelab Video & Fotografi Penggerak Digital
  • Kelab Komputer Penggerak Digital
  • Kelab Robotik Penggerak Digital

Ianya diberi nafas baharu dengan organisasi yang lebih tersusun serta cadangan aktiviti yang direka bentuk khas. MDEC menyediakan panduan aktiviti yang boleh dijalankan setiap kali perjumpaan kelab.

Modul Panduan dan Pelaksanaan

Untuk memudahkan tugasan pihak pentadbiran dan para guru pembimbing, MDEC telah menerbit 4 modul khas sebagai rujukan dan panduan untuk transformasi ini.

Modul ini telah disemak oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia serta dijalankan projek rintis bersama 69 buah sekolah seluruh negara.

Mereka menyediakan panduan pelaksanaan organisasi, cadangan serta lembaran aktiviti dan juga sokongan borang-borang serta templat sijil yang dapat membantu mengurangkan beban guru mengendalikan kelab ini.

Muat Turun Modul

Video tutorial di hub pendidikan JomStudi

JomStudi merupakan satu projek kolaborasi antara Digi, Astro dan Media Prima dengan sokongan MDEC. Ianya merupakan satu hub pembelajaran yang membekalkan sumber pembelajaran secara percuma dan juga berbayar.

MDEC telah menerbitkan panduan bagi Kelab Robotik Penggerak Digital di sini dalam bentuk video tutorial. Video-video ini nanti dapat digunakan sebagai rujukan pembelajaran bagi guru dan juga pelajar.

JomStudi juga menawarkan pelbagai kandungan pembelajaran akademik lain yang boleh disertai oleh pelajar.
Modul Video di JomStudi

Jika anda guru pembimbing bagi badan serta kelab-kelab ini anda sememangnya bertuah. Secara peribadi saya berpendapat panduan yang diusahakan ini dapat membantu guru menjalankan aktiviti dengan lebih berkesan dan terancang.

Diharapkan pada masa hadapan MDEC meneruskan usaha ini dengan menerbitkan pelbagai lagi kandungan yang lebih berkualiti serta mengemaskini kandungan sedia ada agar sentiasa relevan dengan dunia semasa.

Sumber maklumat dan grafik: #mydigitalmaker

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.