Pendaftaran Kangaroo Math Competition Malaysia 2017 dibuka!

Tahun ini saya mula mempelkenalkan Kangaroo Math Competition (KMC) kepada para pelajar sebagai satu usaha mempromosikan STEM. Saya menjemput pasukan KMC untuk sesi road tour bagi tujuan ‘menghasut’ mereka. Hasilnya 38 pelajar menunjukkan minat dan seterusnya mendaftar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Rasional pertandingan ini diperkenalkan kepada mereka adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang Matematik mendapat pengiktirafan. KMC pula antara jenama yang dikenali dunia dalam bidang Matematik selain The International Mathematical Olympiad (IMO).

Untuk makluman, KMC ialah pertandingan cabaran matematik terbesar dunia dengan lebih 6,000,000 penyertaan dari 69 buah negara pada tahun sebelumnya. Soalannya begitu mencabar ke arah KBAT. Ianya diadakan secara tahunan dengan 6 kategori dipertandingkan (berumur 7-19 tahun).

Untuk sekolah menengah, kategori pertama dikenali sebagai CADET (untuk pelajar tingkatan 1 & 2), kategori kedua JUNIOR (untuk pelajar tingkatan 3 & 4) dan kategori ketiga STUDENT (untuk pelajar tingkatan 5 & 6/Pra-U).

Dalam perlaksanaan KMC, lazimnya seorang guru akan dipertanggungjawabkan sebagai guru penyelaras di sekolah/institusi masing-masing (dapat sijil tu). Pelajar akan melakukan pendaftaran dengan guru berkenaan dan perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM31.80 (termasuk GST).

Seterusnya guru akan melakukan pendaftaran rasmi menerusi borang yang dimuat turun dari laman web KMC. Kemudian, guru penyelaras akan melakukan pembayaran secara pukal yuran yang dikumpulkan (dengan pelbagai kaedah).

Hari pertandingan (secara peperiksaan) akan diumumkan di laman web, selalunya jatuh pada hari Khamis minggu ketiga dalam bulan Mac. Ianya dikenali sebagai K-Day. K-Day akan dijalankan serentak di seluruh negara bertempat di sekolah masing-masing.

Guru akan menerima borang pengesahan penyertaan, set soalan, pembungkus untuk penghantaran set jawapan serta sedikit ole-ole dari pihak penganjur untuk para peserta. Set ini akan diterima secara pos kira-kira seminggu sebelum pertandingan.

Semasa K-Day guru akan mengawas peperiksaan dalam had masa yang ditentukan (75 minit). Teman meminta bantuan guru-guru matematik untuk bersama mengawas pelajar di dewan peperiksaan. Pelajar perlu menjawab 25 set soalan jenis beraneka jawapan.

Seterusnya set soalan akan dikutip semula atas faktor keadilan dan ketelusan kerana mungkin akan terdapat pelajar yang tidak dapat mengambil peperiksaan atas hal-hal kecemasan ataupun terdapat pusat pertandingan yang tidak dapat menjalankan pertandingan pada waktu tersebut.

Set soalan akan hanya boleh diedarkan kepada pelajar sejurus keputusan disiarkan nanti. Seterusnya guru penyelaras diberi masa seminggu untuk kertas jawapan berobjektif dibungkus dan diposkan.

Untuk 2016, hanya seorang pelajar teman memperolehi Gold Medal. 4 lagi memperolehi Bronze Medal manakala 17 calon lagi memperolehi Honorable Mention. Saya melihat keputusan ini amat baik memandangkan ianya tahun pertama penyertaan kami tanpa sebarang persediaan rapi. Inshaallah tahun hadapan beberapa stategi akan dilakukan bagi memastikan kemahiran berfikir aras tinggi diterapkan kebelum bermulanya K-day.

Bagi penerima Gold Medal, pingat akan diberikan dalam acara khas mengikut zon negeri oleh pihak penganjur. Sijil penyertaan/pencapaian dan pingat selain Gold Medal akan diposkan terus ke sekolah.

KMC edisi 2017, pendaftaran awal telah dibuka sehingga 31 Disember 2016 dengan tawaran diskaun 10%. Seterusnya mereka akan meneruskan dengan pendaftaran biasa sehingga 20 Februari 2017. Lazimnya pihak KMC ada juga menawarkan bengkel persediaan untuk KMC dengan bayaran tertentu. Sila ke laman web rasmi mereka untuk maklumat lanjut.

Banyak lagi pertandingan yang berada dalam radar kami untuk dipromosikan. Jadi, jangan lupa untuk kekal bersama Cikgu Siber dan bantu kami untuk promosikan jenama ini untuk manfaat kita bersama dalam arena pendidikan.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.