Pengajaran menerusi video pakar – Dr M

Dr M selepas PRU ke-14, mengumumkan beliau akan berperanan sebagai Menteri Pendidikan (kemudian menariknya semula kerana bertentangan dengan manifesto).

Beliau menyatakan minatnya untuk memegang portfolio tersebut kerana berpendapat pendidikan kita masih lagi terkebelakang dan akan hadir dengan idea-idea untuk pembaharuan pendidikan menerusi penggunaan teknologi terkini.

Awani melaporkan pada semalam di Jakarta, beliau mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan video pengajaran daripada pakar-pakar.

Maksud ‘disk’ atau ‘thumb drive’ yang dinyatakan beliau mungkin merujuk kepada video yang dirakam dan boleh dimainkan pada bila-bila masa di sekolah.

“Saya sedar bahawa sistem pendidikan kita di Malaysia sudah agak usang dan tidak sesuai dengan zaman komputer” – Dr M

Idea ini walaupun dilontarkan secara umum tanpa perincian, saya melihat ianya agak praktikal untuk dilaksanakan.

Ini kerana kaedah ‘offline’ merupakan satu altenatif dan juga solusi untuk masalah capaian Internet yang masih membelenggu sekolah-sekolah di Malaysia walaupun projek 1bestarinet telah memasuki fasa ke-2.

Jika ini yang dimaksudkan dengan cadangan Dr M yang merujuk kepada video menerusi ‘disk’ dan ‘thumb drive‘ yang saya tafsirkan sebagai ‘video secara offline’, ketiga-tiga faktor ini perlu diberi perhatian.

i. Kualiti Kandungan

Kandungan yang menarik dan berkesan amat penting untuk menarik minat pelajar. Perlu diakui ‘selera’ remaja kita kini amat berbeza.

Saya tertarik dengan Projek Video STEM KPM yang dijalankan secara berfasa melibatkan kerjasama KPM, UTM dan MIT dari Amerika Syarikat.

Saya dan rakan-rakan berpendapat kebanyakkan video yang diterbitkan belum mencapai tahap sebuah video pengajaran yang berkualiti lantas dapat menarik minat pelajar.

Namun, kaedah interaktiviti menggunakan video tersebut boleh diamalkan seiring dengan cadangan Dr M yang mana guru akan bertindak sebagai fasilitator sepanjang video ditayangkan.

Untuk menghasilkan video yang berkualiti bukan sahaja penyampai perlu pakar. Kepakaran pengarah produksi, penulis ‘storyboard‘, pereka bentuk set intruksional, pereka bentuk animasi/3D dan lain-lain dalam hal penerbitan kandungan juga diperlukan.

ii. Penyimpanan dan Pengurusan Media

Apabila video dibekalkan secara fizikal kami mencadangkan ianya disimpan kedalam Solid-state Drive (SSD), bukannya CD/DVD atau Hard Disk Drive (HDD) yang dijadikan ‘external hard disk‘.

CD/DVD sudah tidak releven. HDD pula walaupun berkapasiti besar dengan harga yang murah namun ketahanannya untuk fungsi mobil amat diragui.

Thumb drive yang dicadangkan pula perlu memiliki kapsiti storan yang besar untuk fail video berdefinisi tinggi. Saya berpandangan SSD merupakan pilihan terbaik dari segi kepantasan dan ketahanan.

Hal pengurusan penyimpanan peralatan ini pula mungkin boleh diatasi dengan peranan guru media di sekolah. Peranan Pusat Sumber Sekolah perlu diberi perhatian oleh pihak kementerian.

Selain simpanan secara ‘offline’ kami mencadangkan juga agar video-video ini juga dapat diletakan dalam simpanan cloud serta dimuatnaik ke laman pengstriman video Youtube untuk diakses oleh sesiapa sahaja.

iii. Peralatan Tayangan

Peralatan tayangan seperti laptop dan projektor diperlukan. Selain itu faktor bilik yang kondusif untuk tayangan juga perlu difikirkan.

Di sekolah-sekolah Malaysia, kita sedia maklum sudah wujudnya Bilik Tayang atau dulunya dikenali sebagai Bilik Audio Visual. Namun, terkini terdapat bilik-bilik khas matapelajaran telah mempunyai peralatan yang disediakan atas inisiatif sendiri panatia.

Cadangan kami supaya kesemua bilik khas seperti bilik tayang, geografi, bilik sejarah, bilik bahasa dinaik taraf dengan peralatan tayangan yang lebih baik.

Secara peribadinya, saya lebih menyukai idea dengan ‘melekatkan’ set televisyen yang besar (mungkin 60 inci keatas). Dengan pemasangan televisyen, guru tidak perlu lagi set komputer dan juga pemasangan sistem audio berasingan.

Peralatan media yang dibekalkan sama ada ‘thumb drive‘ atau SSD terus boleh diakses dengan memautkan pada port yang sedia ada pada televisyen.

Apapun kita lihat perancangan seterusnya dari pihak kementerian. Apa pula pendapat anda?

Gambar dan sumber: Astro Awani

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.