[Throwback] Pengalaman memenangi 2017 KL Startup Weekend Edutech Edition

Percaya pada diri serta ikhlas menuntut ilmu baharu untuk memperkasa diri sebagai pendidik membuatkan perjalanan hidup saya penuh dengan kejutan. Itulah yang berlaku kepada penyertaan saya dalam program kali ini.

2017 KL Startup Weekend Edutech Edition dianjurkan satu organisasi keusahawan antarabangsa TechStars dengan kerjasama Petrosains, KakiDIY.com, Google dan MaGIC bertempat di Petrosains, KLCC. Program berlangsung selama 3 hari.

Bagi yang belum mengenali apa itu Startup Weekend, ia merupakan satu program santai hujung minggu selama 54 jam untuk menerokai idea-idea baharu keusahawanan digital. Ianya menampilkan mentor-mentor hebat dalam setiap bidang untuk membantu para peserta.

Antara jenama besar yang lahir dari program ini seluruh dunia.

Teknologi Pendidikan / Edutech /EdTech

Pelbagai tema diperkenalkan dalam penganjuran Startup Weekend. Contohnya ‘Women Edition’, ‘Fintech’ ‘Sustainable Revolution’ dan sebagainya. Kali ini tema ‘Teknologi Pendidikan’ atau ‘Edutech’ dipilih. Atas faktor itu, saya tertarik untuk menyertai program ini.

Motivasi saya pada ketika itu adalah untuk membuktikan kepada pelajar bimbingan saya yang cikgu juga boleh berjaya seperti mereka. Selama ini cikgu hanya memberi tunjuk ajar serta tips-tips untuk diamalkan. Kini giliran cikgu.

Mengikut perancangan awal, saya bersama tiga sahabat guru yang sama menyokong inisiatif cikgusiber.com ini akan membawakan inovasi baharu dalam bidang keusahawanan sosial pendidikan. Banyak idea berlegar di pemikiran pada ketika itu.

Oleh kerana kesemua mereka tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain yang lebih penting, saya menukar rancangan untuk menyertai bersama pelajar-pelajar Briged Bestari tingkatan 4 bimbingan saya.

Menjadi kebiasaan untuk kami menyertai mana-mana program inovasi dan juga ‘hackathon’ bersama. Malangnya, pada saat-saat akhir, mereka juga tidak dapat hadir kerana mempunyai agenda lain di sekolah. Mereka wajib menyertai.

Walaupun tiada kumpulan, saya tetap nekad ke sana dengan harapan dapat menyertai mana-mana kumpulan yang bersesuaian. Orang kata “main redah je..”. Saya tiba agak lewat ke sana kerana terdapat kelas pada paginya di sekolah.

Kebetulan yang ditentukan

Sudah lama saya ingin mempelajari ilmu keusahawan ini kerana saya berpendapat sebagai seorang guru yang sering terlibat dalam projek inovasi pelajar serta pernah terlibat dalam program keusawanan koperasi, pengetahuan ini satu kemestian.

Penganjur menetapkan limitasi untuk jumlah peserta. Terdapat lebih 20 pasukan yang menyertai program ini. Semua bangsa dan kerakyatan ada yang datang dari pelbagai latar belakang. Hanya saya seorang yang datang dari sekolah dibawah KPM rasanya.

Malamnya saya bergerak ke setiap kumpulan untuk menyertai kumpulan yang sesuai. Hampir kesemua kumpulan nampaknya telah penuh. Yang kosong pun macam tak ada keserasian. Letih juga rasanya, hampir-hampir berputus asa.

Akhirnya, ada satu kumpulan ini sudi menerima saya. Ini kerana salah seorang ahli, bro Shafiq tidak dapat bersama sehingga tamat program. Mereka yang lain ialah Dickson, George, Kevin, Heong dan Ben. Kesemuanya pelajar tahun akhir dari beberapa universiti swasta sekitar Kuala Lumpur.

Kebetulan semua ahli adalah pelajar Sains Komputer dan saya pula guru yang mengajar Asas Sains Komputer. Apa yang penting kami seperti ada keserasian. Maka bermulalah cabaran yang memerlukan segala idea dan kreativiti dicurahkan.

Sokongan kepada Guru Sains Komputer

Sepanjang 3 hari, pihak penganjur menyediakan slot selingan yang sangat-sangat membantu. Kami memulakan cetusan idea untuk pembelajaran pengekodan (coding) atau Sains Komputer. Permulaannya, kumpulan masih berlegar-legar untuk mencari idea yang menarik.

Saya cuba yakinkan rakan-rakan lain mengenai situasi yang berlaku dalam intitusi pendidikan arus perdana yang mana satu transformasi diperkenalkan dengan pengenalan subjek baharu Asas Sains Komputer dan Sains Komputer mengantikan ICT.

Mereka ini harus dijadikan kumpulan sasaran. Guru-guru ini harus dibantu kerana mereka ramai yang terpaksa mendalami ilmu baharu kerana tiada pengetahuan asas. Ilmu ICT dan Sains Komputer sangat berbeza. Inisiatif KPM ini dijalankan secara agak drastik menyebabkan ramai guru agak tertekan.

Selain itu, kepentingan untuk belajar koding untuk setiap orang (bukan dalam pendidikan formal) juga perlu diberi penekanan. Tetapi, rakan-rakan lain nampaknya masih tidak dapat membayangkan apa yang sedang berlaku dalam pendidikan arus perdana kerana mereka agak terpisah dengan sistem ini.

Peranan Mentor

Kami sangat bertuah keranan sepanjang menerokai idea baharu kami dibantu oleh ramai mentor-mentor yang mempunyai nama-nama besar dalam pendidikan dan juga keusahawan. [Lihat senarai mentor di bawah].

Salah seorang mentor, Nigel dari Chumbaka seterusnya mengesahkan isu yang kami bawakan mengenai kepentingan untuk menyokong guru-guru dalam sekolah arus perdana sebagai satu perkara yang sangat mendesak ketika itu.

Beliau menyatakan itulah kekuatan idea kami yang perlu diketengahkan kerana ianya mengambarkan aspirasi kerajaan dalam menyokong revolusi perindustrian ke-empat (IR4.0) menerusi pendidikan.

Tempat Pertama

Kami memperkemas idea dengan beberapa bukti serta justifikasi inovasi yang dicadangkan. Kes saya sebagai guru Asas Sains Komputer yang tiada asas pendidikan Sains Komputer tetapi perlu mengajar subjek berkenaan didedahkan dalam sesi pembentangan akhir.

Kami membawakan satu idea perkhidmatan digital untuk membantu 17,000 guru yang terlibat dalam agenda baharu negara ini. Inovasi ini akan memudahkan guru melakukan persediaan mengikut sulibus yang diperkenalkan. Setiap Q&A berjaya dikendalikan dengan baik.

Alhamdulillah, dalam acara penutup program, inovasi yang dinamakan codeHelp ini, telah diumumkan memenangi tempat pertama pertandingan, menewaskan para pesaing yang tidak kurang hebatnya. Ianya satu pengalaman yang amat mengujakan.

Antara komen juri adalah, kumpulan kami terdiri daripada variasi ahli kumpulan yang mantap dan mampu pergi jauh selain idea yang disifatkan sebagai satu keperluan semasa. Mereka mengharapkan idea ini terus direalisasikan.

Menyertai MaGIC Pre-Accelerator Bootcamp

Antara hadiah yang diterima adalah dua bulan co-working space di MaGIC, Cyberjaya, beberapa cenderahati serta tawaran program latihan khas yang melayakkan kami memohon untuk mendapatkan geran pembangunan dari Cradle bernilai RM300,000.

Bagi saya hadiah yang paling bernilai adalah kami terpilih menyertai program antarabangsa MaGIC Pre-Accelerator Bootcamp selama 2+1 minggu pada cuti sekolah penghujung 2017. Hanya dua tempat ditawarkan untuk kami. Oleh itu kami perlu memilih.

Rezeki saya ketika itu kerana semua ahli lain tidak dapat menyertai kerana perlu fokus kepada projek tahun akhir pengajian mereka. Dikson, salah seorang ahli yang menunjukan minat yang tinggi menyatakan kekesalannya kerana masih mempunyai urusan lain di luar negara.

Oleh itu, saya menjemput rakan Cikgu IK (cikguik.com), seorang blogger teknologi pendidikan sebagai penganti dalam program ini. Selama 3 minggu kami mempelajari ilmu keusahawan daripada pakar-pakar dan juga tokoh dari industri.

Penganjur juga membawakan perkongsian daripada nama-nama yang semakin meningkat naik dalam bidang perniagaan digital seperti ServisHero dan banyak lagi. Banyak tips-tips berguna diberikan berdasarkan kisah benar dari pengalaman mereka membangunkan perniagaan digital.

Geran 300k

Sepertimana yang dinyatakan kami menerima peluang untuk menerima dana daripada pihak Cradle sebanyak RM300,000 untuk membangunan inovasi yang dicadangkan setelah tamat program. Untuk itu, kami perlu menyiapkan proposal perniagaan yang lengkap.

Oleh kerana saya dan Cikgu IK adalah penjawat awam, maka kami tidak meneruskan niat untuk membangunkan idea tersebut. Terserah kepada ahli lain kerana mereka masih muda dan bakal memasuki alam perkerjaan kelak.

Namun, ia bukan satu kerugian bagi saya. Apa yang penting adalah ilmu keusahawanan yang tiada nilainya yang didapai dari penyertaan kedua-dua program ini. Ilmu ini saya akan salurkan kepada pelajar-pelajar bimbingan saya kelak. Inshaallah.

Pengajaran

Daripada penyertaan ini terdapat tiga pengajaran penting yang boleh saya kongsikan kepada semua.

1. Ilmu keusahawanan amat penting dalam IR4.0. Ianya merupakan satu ilmu yang perlu diterapkan kepada setiap pelajar bagi memastikan negara dapat menghasilkan tenaga kerja yang berdaya saing lantas membina Malaysia yang lebih cemerlang.

2. Malaysia negara yang amat bertuah. Peluang untuk mempelajari perkara-perkara baharu sentiasa wujud. Para pendidik perlu memanfaatkan peluang-peluang ini agar dapat memperkasa diri dengan ilmu yang dapat memenuhi tuntutan semasa.

3. Sentiasa percaya kepada diri dan berusaha mencari solusi penyelesaian terbaik menerusi perbincangan, penerokaan serta bertemu pakar-pakar dalam bidang berkaitan. Kemenangan kami bukan satu kebetulan. Kerjasama merupakan satu ramuan utama.

Catatan dibawah mengingatkan saya satu kata bidalan. “Jika anda ingin pergi cepat, pergi berseorangan. Tetapi, jika anda ingin pergi jauh, pergi bersama”. Terima kasih kerana sudi membaca catatan ini.

2017 KL Startup Weekend Edutech Edition 

Speaker:

Dr. Daniel Loy, Director – Centre of Learning and Innovation, Petrosains

Mentors:

Alan Teng, Head of Digital Innovation Strategy & Architecture, PETRONAS ICT

Alex Lim, Co-founder, MYReaders

Amelia Tan, Co-founder, 100% Project

Dr. Amir A Samad, Head of Common Support Services, PETRONAS ICT

Andrew Yong, Co-founder, 100% Project

Angeline Chin, Head of Corporate Citizenship for Asia Pacific, Credit Suisse

Anupam Chatterjee, Founder & CEO, CEMPIA

April Khor, Sunway iLabs

Chan Teck Keng, CEO, LH Learning Group

Chelsey Lepage, Innovation Head, UNICEF Malaysia

Denise Teoh, Partnerships, FrogAsia Sdn. Bhd.

Edmond Yap, Co-founder, EduNation

Hui Yik Seong, Founder, Direct Lending

Josh Teng, CEO, NEXT Academy

Lee Wei Chee, Founder, CheQQme

Lee Xin, Tech Lead, CollectCo

Mellissa Lee, Head, GetResponse

Nigel Sim, Co-founder, Chumbaka

Phang Jo Yee, Marketing & Community Manager, FutureLab

Dr. Renard Siew, Group Sustainability, Sime Darby

Richard Gan, General Manager, Sunrise Enrichment Centre

Sataksi Chatterjee, Director, CEMPIA

Sotheeswari Somasundram, Senior Lecturer, Taylor’s University

Tan Yee Siang, Lead Developer, MaGIC

Tiffany Marie Mervin, IBM

Wan Dazriq, Manager of Strategic Initiatives, ASEAN Centre of Entrepreneurship (ACE), MaGIC

Judges:

Ehon Chan, Executive Director of ASEAN Centre for Entrepreneurship (ACE), and Community & Outreach, MaGIC

Izwan Ibrahim, Chief Operating Officer, PETRONAS ICT

Ridwan Othman, Head & Vice President, Advanced Global Institute of Learning Excellence (AGILE)

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.