6 sebab mengapa tablet merupakan pilihan yang ideal untuk pelajar

Apple merupakan pengeluar peranti pertama yang menawarkan komputer tablet mampu milik untuk pendidikan menerusi iPad.

Seterusnya, tablet berasaskan Android hadir daripada pelbagai jenama pengeluar seperti Samsung, Huawei, Amazon, Lenovo dan sebagainya.

Penguasaan pasaran tablet pada suku kedua 2018 – Sumber data dari Statisca

Tahun ini, Microsoft membuat kejutan dengan pengenalan peranti Surface Go sebagai sebuah peranti kompak dalam barisan Surface.

Google membangunkan Chrome OS untuk dijalankan pada Chromebook (dari pelbagai jenama pengeluar). Perisian pengoperasian ini kini lebih berkuasa apabila mampu menjalankan app-app Android.

Seiring dengan visi baru Google yang mahu menjadi pengeluar peranti, pada bulan ini, Google memperkenalkan tablet pertama mereka berasaskan Chrome OS iaitu Pixel Slate.

Penyertaan tawaran tablet oleh pengeluar-pengeluar utama dunia dalam pasaran menunjukkan minat mereka yang tinggi kepada pembangunan peranti pasca desktop.

Di bawah merupakan 6 sebab mengapa tablet merupakan teknologi yang terbaik dan ideal untuk digunakan di dalam kelas.

1. Harga yang kompetitif

Kebanyakkan komputer tablet ditawarkan pada harga dibawah RM2,000. iPad model 32G versi WiFi keluaran 2018 misalnya ditawarkan pada harga RM1,358 dengan diskaun pendidikan.

Microsoft menawarkan tablet Surface Go  model 4GB RAM / 64GB ROM pada harga RM1,843 di Lazada.

Manakala tablet yang menjalankan Android dari pelbagai pengeluar berharga sekitar RM1,500.

Dengan membayar harga ini, pelajar boleh mendapat satu alat begitu berkuasa untuk tugasan kreatif, penyiasatan serta pelaporan aktiviti.

2. Prestasi yang tinggi

Tablet kini mempunyai prestasi yang memberangsangkan. Teknologi perkakasan dan perisian yang diperkenalkan kini semakin baik.

Dengan keupayaan prosesor yang semakin tinggi, komputer tablet kini mampu memproses video dengan resolusi 4K. Tablet juga mampu mengendalikan aplikasi reka bentuk CAD dengan lancar.

Berbanding komputer riba, tablet dilengkapi kamera belakang yang sudah pasti memberi kelebihan kepada penggunaan aplikasi Augmented Reality (AR).

Semua sedia maklum yang kini aplikasi Augmented Reality (AR) untuk pendidikan tumbuh bagai cendawan.

3. Aplikasi kawalan untuk institusi pendidikan

Institusi pendidikan boleh menetapkan polisi penggunaan tablet di sekolah menerusi penggunaan sistem Mobile Device Management (MDM).

Ini bermakna, pihak sekolah boleh menentukan jenis app atau perkhidmatan yang boleh digunakan di sekolah. Sekolah boleh menghalang sebarang proses instalasi aplikasi pada tablet oleh pelajar.

Selain MDM, sesetengah tablet mempunyai fungsi kawalan peranti. Apple sebagai contoh menawarkan Apple Classroom yang memudahkan guru mengawal iPad pelajar semasa sesi pembelajaran.

4. Mobiliti

Tablet hadir dengan saiz yang kompak serta mudah dibawa. Ianya lebih ringan dan mudah dikendalikan berbanding laptop.

Penggunaan bersama papan kekunci fizikal membuatkan kerja-kerja menaip dokumen dapat dilakukan dengan pantas.

Selain itu, kebanyakkan tablet dioptimasi untuk ketahanan bateri untuk penggunaan sepanjang hari. Ini bermakna dengan bateri penuh ianya mencukupi sehingga kelas tamat pada petangnya.

Tablet juga mampu mengantikan diari atau jurnal pembelajaran tradisional kepada versi digital yang interaktif dengan app-app tertentu. Seperti telefon pintar, pelajar boleh melakukan rakaman video dan foto secara pantas.

Pelajar juga boleh mengambil nota dengan aplikasi-aplikasi tertentu dengan mudah. Penggunaan simpanan awan (cloud) membolehkan nota diakses menerusi peranti lain.

5. Buku digital

Cara pelajar mendapatkan maklumat juga telah berubah. Era buku digital menjadikan tablet merupakan peranti yang amat bersesuaian.

Dengan saiznya yang kompak, tablet menawarkan sokongan pelbagai aplikasi untuk pelajar mendapatkan buku digital atau ebook.

Bayangkan pelajar dapat mengakses pelbagai judul buku dengan mudah tanpa perlu lagi ke perpustakaan.

Mereka juga dapat mengurangkan berat beg sekolah yang mana menjadi kegusaran kebanyakan ibu bapa di Malaysia.

6. Tawaran app untuk pendidikan

Walaupun saya meletakkan faktor ini ditempat terakhir, tetapi faktor inilah yang menjadikan tablet begitu ideal untuk pelajar.

Di App Store sahaja, terdapat lebih 200,000 app untuk pendidikan. Bayangkan jika guru dan pelajar dapat memanfaatkan peluang yang disediakan ini.

Saiz skrin tablet yang besar berbanding telefon pintar membuatkan pembangun menghasilkan aplikasi tertentu yang dikhaskan untuk tablet sahaja.

Menyunting projek video di peranti tablet seperti iPad juga lebih mudah dan pantas berbanding aplikasi di telefon pintar.

Selain itu, tablet juga membenarkan aplikasi yang menyokong paparan skrin sentuh. Ia dapat dimanfaatkan dengan penggunaan alat melakar seperti digital stylus untuk kreativiti.

Kesimpulan

Pengalaman peribadi menggunakan tablet selama lebih 6 bulan mengantikan komputer riba membuatkan saya begitu yakin tablet merupakan alternatif terbaik.

Dalam bengkel aplikasi teknologi yang dijalankan melibatan beberapa kumpulan pelajar baru-baru ini, mereka mengakui potensi tablet yang sebenar melebihi apa yang mereka ketahui.

Sebahagian app pendidikan yang berguna di App Store
Pelbagai app kreatif untuk merangsang kreativiti pelajar
Microsoft Office (Word, Excel & PowerPoint) serta barisan app lain daripada Microsoft
Tawaran app terbaik Google pada tablet
Apple menawarkan pelbagai app kreativiti menarik untuk pendidikan menerusi iPad

Dalam dunia pendidikan abad ke-21 yang mana literasi digital merupakan sesuatu yang begitu penting, tablet merupakan peranti yang kompetitif untuk memenuhi keperluannya.

Inisiatif khas untuk pendidikan oleh gergasi-gergasi teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Mereka melaburkan wang yang bukan sedikit sebagai satu usaha memacu industri pendidikan.

Apple sebagai contoh, menyediakan dua inisiatif besar kepada pendidikan seperti Everyone Can Code & Everyone Can Create  yang memberi tumpuan kepada penggunaan tablet.

Tablet perlu keluar dari tanggapan masyarakat yang mana ianya hanya peranti untuk bermain permainan yang melalaikan serta untuk menonton kandungan video semata-mata.

Sumber gambar: Windows Blog

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.