6 fenomena penggunaan teknologi digital dalam pendidikan untuk 2020 – Bahagian 1

Esok kita bakal menyambut kedatangan tahun baharu. 2020 merupakan tahun yang sering dilaung-laungkan sebagai tarikh keramat negara yang mana kita dijangka mencapai satu tahap kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan. Jadi, mari kita lihat apakah fenomena aplikasi teknologi digital dalam pendidikan untuk tahun 2020 di Malaysia.

1. e-RPH

Rancangan Pengajaran Harian secara elektronik (e-RPH) bukanlah perkara baharu. Sepanjang 3 tahun yang lalu, pelbagai konsep telah muncul. Apa yang pasti inovasi ini menggunakan platform dalam talian tanpa lagi melibatkan penggunaan kertas. Penggunaan eRPH telah teruji dapat menjimatkan masa guru serta memudahkan semakan dan pengesanan oleh pihak pentadbir.

Terdapat pelbagai alat dicadangkan untuk tujuan ini. Antara yang paling popular adalah penggunaan perkhidmatan daripada Google seperti integrasi Google Docs/Sheets menerusi platform LMS Google Classroom. Selain itu, terdapat juga sekolah-sekolah tertentu yang menggunakan integrasi aplikasi Microsoft OneNotes menerusi platform LMS Microsoft Teams.

eRPH yang dikendalikan

Pada tahun 2020, e-RPH bakal menjadi fenomena yang mana lebih banyak sekolah yang akan menyokong inisiatif ini. Saya juga dimaklumkan terdapat beberapa Jabatan Pendidikan Negeri yang mahu mempromosi penggunaan inovasi ini secara besar-besaran pada tahun hadapan.

Sertai Kumpulan e-RPH eDidik Malaysia (Telegram)

2. ‘Cikgu Youtuber’

2020 juga bakal menyaksikan para guru menjadi pencipta dan penerbit kandungan pembelajaran digital sendiri menerusi platform video di Youtube. Projek yang diberi nama CikgooTUBE ini merupakan satu inisiatif komuniti bersama BSTP untuk mempelbagaikan sumber pembelajaran secara dalam talian.

Projek ini sebenarnya telah dilancarkan pada 12 Disember lalu oleh KPPM. Tahun hadapan bakal menyaksikan pelbagai program latihan djalankan untuk memberi kemahiran-kemahiran penting kepada guru untuk mereka menonjolkan kreativiti mereka. Saya terlibat secara langsung sebagai Master Trainer untuk projek ini.

Sertai Team CikgooTUBE (Telegram)

3. Bilik Darjah Digital

Bilik Darjah Digital atau Kelas Digital merujuk kepada kelas fizikal yang mengintegrasi penggunaan teknologi digital untuk pembelajaran. Sebuah kelas digital haruslah menyokong gaya pembelajaran digital pelajar dengan penyediaan kemudahan Internet serta alat bantu pengajaran elektronik.

Pembangunan kelas digital yang baik melibatkan kos perbelanjaan tertentu
Modul penerokaan maya Expeditions oleh Google

Terdapat pelbagai model dan reka bentuk kelas digital seperti Future Classroom, Chromebook Labs atau iPad Classroom. Terdapat juga sekolah yang memilih untuk mengubahsuai kelas sedia ada kepada kelas yang lebih digital serta interaktif. Setiap konsep kelas-kelas digital ini akan diterangkan dalam catatan akan datang.

Sertai projek pembangunan kelas digital iPad (Telegram)

2020 bakal menyaksikan inisiatif ini akan diberi perhatian oleh lebih banyak sekolah untuk membangunkan sekurang-kurangnya sebuah kelas digital bagi kegunaan PdP. Untuk itu, dana dari PIBG serta pihak-pihak tertentu seperti alumni dan korporat diperlukan. Kreativiti pihak sekolah meraih dana dari pelbagai sumber mempercepatkan pembangunan kelas digital di sekolah masing-masing.

Pelaksanaan kelas digital dan kaedah BYOD di salah sebuah sekolah SBP di utara tanah air.

4. Pelaksanaan kaedah BYOD

BYOD atau Bring Your Own Device merupakan kaedah yang mana guru dan pelajar memiliki peranti sendiri untuk pembelajaran. Pelajar dibenarkan membawa peranti sendiri ke sekolah. Antara peranti yang sering menjadi pilihan untuk pelaksanaan kaedah ini adalah iPad dan Chromebook atas faktor kos pemilikan yang rendah serta teknologi yang ditawarkan.

Antara kelebihan kaedah BYOD adalah pelajar dapat menggunakan peranti secara lebih personal kerana sentiasa bersama mereka. Pelajar dapat mengunakan peranti pada bila-bila masa sahaja dimana-mana jua. Ia memudahkan pembelajaran secara digital.

BYOD dan perlaksanaannya: 6 sebab mengapa BYOD?

Pembelian peranti untuk anak-anak akan membolehkan ibu bapa memohon potongan bagi item layak untuk pelepasan cukai. Untuk lebih jimat, mereka boleh membeli dengan harga diskaun khas mendidikan. Bagi para guru pula, skim pinjaman komputer kerajaan ditawarkan untuk pembelian komputer atau telefon pintar dengan kadar yang menarik.

Saya sering kali melihat kaedah dijalankan di sekolah-sekolah antarabangsa. Sejak akhir-akhir ini, sekolah-sekolah kerajaan arus perdana juga telah menjalankan polisi untuk membenarkan peranti-peranti ini dibawa dan digunakan sewaktu sesi persekolahan. Tahun 2020 bakal menyaksikan kaedah ini diperluas kepada lebih banyak sekolah.

Sambungan Bahagian 2 pada pautan dibawah…

6 fenomena penggunaan teknologi digital dalam pendidikan untuk 2020 – Bahagian 2

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.