6 fenomena penggunaan teknologi digital dalam pendidikan untuk 2020 – Bahagian 2

Apakah fenomena penggunaan teknologi digital dalam pendidikan untuk tahun 2020 di Malaysia. Mari lihat sambungan seterusnya.

5. Pembangunan komuniti pendidik

Kebelakangan ini, kita menyaksikan guru-guru Malaysia begitu bersemangat menyertai pelbagai bengkel penggunaan teknologi digital dalam pendidikan. Saya serta rakan-rakan yang mengendalikan bengkel-bengkel ini melihat fenomena ini bakal berterusan dengan latihan teknologi pendidikan bakal dirancakkan oleh komuniti guru, bukan lagi pihak kementerian.

Saya sendiri membangunkan sebuah komuniti pendidik iaitu ATC iChampion MY. Ia sebuah komuniti guru pengguna Apple untuk pendidikan. Dalam beberapa bengkel yang dijalankan, guru sanggup datang dari jauh seperti dari Sabah, Kelantan dan Johor ke Kuala Lumpur hanya untuk mempelajari ilmu baharu. Amat mengharukan.

Guru membina jalinan dan jaringan

eDidik, Digital Classroom, Mudah Mengajar dan RumahKOD merupakan inisiatif yang digerakkan oleh rakan-rakan guru yang saya kenali. 2020 bakal menyaksikan kumpulan-kumpulan ini akan lebih besar untuk menyokong para guru dengan perkongsian pelbagai kemahiran teknologi serta amalan baik pengajaran berasaskan teknologi.

Untuk meneruskan fenomena ini, cadangan saya supaya pihak KPM menyokong kumpulan-kumpulan komuniti ini dengan sekurang-kurangnya membenarkan mereka mengunakan kemudahan premis latihan milik KPM sewaktu hujung minggu atau cuti sekolah. Ya, itu yang sangat kami perlukan.

Para pendidik menguasai kemahiran baharu
Salah satu bengkel yang dikendalikan untuk komuniti

Tahun 2020 juga menyaksian tiga gergasi dunia digital iaitu Google, Apple dan Microsoft akan memberi perhatian yang luar biasa menyokong dunia pendidikan di Malaysia menerusi bahagian pendidikan masing-masing. Program-program yang disediakan memberi peluang kepada para pendidik menerokai dimensi baharu dunia pendidikan dengan kemahiran serta jaringan secara global.

6. ‘Blogging’

Blogging bukanlah perkara baharu. Platform ini akan sentiasa relevan selagi manusia menggunakan Google Search untuk mencari maklumat. Para pendidik boleh menggunakan blog untuk membina portfolio digital peribadi, menyebarkan ilmu serta berkongsi pengalaman selaku pendidik.

Blog ini contohnya mencatat purata lebih 60,000 halaman dilihat setiap bulan. Data juga menunjukkan kebanyakan pengunjung mengakses dan membaca setiap halaman tersebut (disebut ‘session‘ dalam bacaan analitik). Bayangkan ilmu yang dapat kita sebarkan.

Perjumpaan tahunan para blogger pendidikan
Edublogger Meetup #2 yang berlangsung pada 4-5 Disember 2019

Projek MyEduBlog pula merupakan satu projek komuniti untuk mempromosi penggunaan platform blog bagi perkongsian ilmu atau hal-hal berkaitan pendidikan. Menerusi projek ini sedang dibangunkan satu hub yang mana kesemua blog-blog pendidikan Malaysia dipautkan menerusi satu hub tunggal.

Lihat hub MyEduBlog.info (dalam pembangunan)

Untuk 2020, penggunaan blog akan kembali menjadi perhatian. Dengan guru yang semakin mahir tahap literasi digitalnya serta platform pembangunan kandungan yang semakin mudah membolehkan guru memiliki blog sendiri. Bayangkan jika setiap minggu seorang guru berkongsi satu catatan, berapa banyak ilmu yang dapat disebarkan jika 1000 guru berbuat demikian.

Selamat Datang 2020

Tahun 2020 dilihat sebagai tahun dimana segala teknologi digital untuk pendidikan akan menemui kematangan seiring kecanggihan teknologi perisian dan perkakasan.

Bergiat dalam dunia teknologi pendidikan sejak 2012, banyak suka dan duka ditempuhi. Pengalaman bergaul bersama komuniti pendidik memberi pengalaman yang sangat berharga. Saya dapat merasai jiwa dan semangat para guru dalam usaha mereka menjadi kekal relevan seiring dengan zaman.

Penglibatan pertama saya bersama komuniti pada 2017

Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca blog yang tak seberapa ini. Semoga 2020 ditempuhi dengan pengalaman yang berharga. Selamat menempuh tahun baharu.

#SentiasaInginBERubah

6 fenomena penggunaan teknologi digital dalam pendidikan untuk 2020 – Bahagian 1

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.