Frogasia mengumumkan Frog VLE and Pelan Data Guru Akan Diteruskan Selepas 30 Jun 2019

Frogasia (Frogasia Sdn. Bhd.) merupakan anak syarikat YTL yang diberi tanggungjawab untuk mengurus platform pembelajaran maya Frog VLE serta hal-hal berkaitan dengannya.

Susulan Fasa 2 projek 1BestariNet yang bakal tamat pada 30 Jun ini serta berita penangguhan untuk fasa seterusnya, FrogAsia mengumumkan walaupun Frog VLE bukan platform rasmi KPM selepas 30 Jun, namun Frog VLE masih boleh diakses menggunakan ID sedia ada.

Pengumuman ini bermakna pihak Frogasia akan terus menawarkan sokongan penuh (secara ihsan) kepada para pendidik sepanjang tempoh interim jika mereka ingin terus menggunakan platform pembelajaran ini. Terkini, mereka bakal menerbitkan satu Pek Ulangkaji sebagai persediaan untuk pelajar menghadapi peperiksaan.

Selain itu, mereka juga memaklumkan pelan data guru juga diteruskan selepas 30 Jun seperti biasa. Ini bermakna telefon pintar yang diberikan kepada para guru tidak perlu dipulangkan. Namun, tidak jelas sama ada setelah 31 Disember (tamat tempoh Interim) peranti tersebut perlu dipulangkan ataupun tidak.

Di bawah saya siarkan pengumuman terkini daripada pihak Frogasia dipetik daripada laman rasmi mereka. Mari kita lihat kenyataan penuh mereka.

PENGUMUMAN

Frog VLE and Pelan Data Guru Akan Diteruskan Selepas 30 Jun 2019

Fasa 2 Projek 1BestariNet akan tamat pada 30 Jun 2019. Pihak kami telah mendapat banyak persoalan tentang akses Frog VLE selepas 30 Jun 2019. Pihak kami difahamkan berkemungkinan akan terdapat tempoh sehingga 6 bulan bagi pihak KPM membuka tender baharu untuk fasa seterusnya.

Sehubungan dengan itu, FrogAsia amat prihatin terhadap keadaan di mana semua sekolah-sekolah akan membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun.  Pihak kami juga amat menghargai segala usaha sekolah dalam mencipta dan memuatnaikan kandungan pengajaran dan pembelajaran dalam Frog VLE, serta keaktifan pihak sekolah dalam  menggunakan pelantar ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dan membudayakannya di sekolah.

Frog VLE

Oleh itu kami dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Frog VLE masih berjalan dan tersedia seperti biasa selepas 30 Jun 2019. Semua pengguna masih boleh menggunakan username dan password masing-masing.

Seperti yang telah dirancangkan, pihak kami akan menerbitkan Pek Ulangkaji pada 1 Julai untuk semua sekolah (SK, SJK(C), SJK(T) dan SMK) yang mengandungi soalan dan kuiz untuk topik-topik yang meliputi pengajaran dan pembelajaran dari Januari sehingga Jun. Di antara subjek-subjek yang terlibat ialah:

  •     Bahasa Melayu
  •     Bahasa Inggeris
  •     Matematik
  •     Sains

Pek Ulangkaji adalah sebagai sumber tambahan kepada site yang terdapat dalam Boost yang meliputi semua subjek berdasarkan sukatan pelajaran.

Pelan Data Guru ( Telefon Mudah Alih Altitude)

Kami juga ingin memaklumkan bahawa guru-guru masih boleh menyimpan dan menggunakan telefon mudah alih Altitude dengan pelan data guru seperti sedia ada. Oleh itu, guru-guru masih boleh menggunakan perkhidmatan ini di dalam bilik darjah serta di rumah untuk mengakses Frog VLE seperti perkhidmatan sedia ada tanpa sebarang gangguan.

Sumber: Frogasia

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.