BYOD dan perlaksanaannya: Pengenalan BYOD

BAHAGIAN 1

Dunia pendidikan kini bergerak kehadapan dengan pelbagai tawaran teknologi terkini sebagai alat sokongan pembelajaran bagi guru dan pelajar.

Di kebanyakkan sekolah di negara-negara maju, kaedah BYOD merupakan satu kaedah yang diterima ramai. Peranti seperti Chromebook dan komputer tablet seperti iPad menjadi pilihan atas faktor harga yang murah serta berbaloi untuk dimiliki.

Apa itu ‘Bring Your Own Device’

Konsep BYOD amat mudah, setiap pelajar akan memiliki atau membawa peranti mereka sendiri ke sekolah untuk tujuan pembelajaran.

Guru pula akan menggunakan pelbagai kaedah pembelajaran berasaskan teknologi dan interaktiviti di dalam atau di luar kelas bagi memastikan matlamat pembelajaran abad ke-21 tercapai.

Dengan tawaran teknologi yang semakin canggih dan murah, konsep ini perlu diberi perhatian terutamanya kepada pentadbir sekolah serta PIBG agar iklim pembelajaran di sesebuah institusi dapat ditransformasi seiring dengan zaman.

Taraf hidup yang semakin baik membolehkan ibu bapa melakukan pelaburan terhadap kemudahan pembelajaran anak-anak mereka.

Kerajaan juga memberi inisiatif pengecualian cukai terhadap pembelian perkakasan ICT yang dilihat sebagai peluang terbaik perlaksanaan.

Ianya bagi memastikan guru dan pelajar tidak ketinggalan serta dapat mengambil manfaat sepenuhnya daripada kelebihan dunia maklumat tanpa sempadan.

Perlaksanaan BYOD di Malaysia

Bagaimana pula dengan penerimaan kaedah ini di Malaysia?

Berdasarkan pengalaman peribadi selama 2 tahun mengendalikan projek 1:1 dan BYOD di salah sebuah sekolah SBP, saya melihat ibu bapa mulai sedar akan kepentingan anak mereka dibekalkan peranti untuk pembelajaran.

Mereka memahami kekangan kewangan sekolah untuk menyediakan peranti di sekolah. Mereka juga berpandangan memiliki peranti secara peribadi akan memudahkan urusan pembelajaran anak mereka.

Cumanya, di sekolah berasrama penuh, mereka sedikit gusar dengan keselamatan peranti kerana ianya terdedah kepada kes kecurian dan sebagainya.

Untuk melaksanakan kaedah BYOD di sekolah, banyak faktor yang perlu diberi perhatian. Ianya termasuk polisi penggunaan serta pelan perlaksanaan pembelajaran digital yang dingin diwujudkan.

Tahap sosioekonomi keluarga juga perlu dianalisis. Jika ianya dilaksanakan sebagai pilihan, masalah akan muncul sewaktu proses merancang pengajaran kerana apabila beberapa pelajar tidak memiliki peranti dalam pembelajaran digital, ianya akan mewujudkan jurang dan diskriminasi.

Selain itu, akses terhadap maklumat juga perlu diberi perhatian. Liputan Internet haruslah menyeluruh dan mencukupi untuk menampung jumlah penggunaan yang tinggi.

Dicadangkan isu-isu ini dibincangkan bersama antara pihak pentadbiran dan PIBG agar satu solusi terbaik dapat diputuskan.

BYOD dan perlaksanaannya: 6 sebab mengapa BYOD?

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.