Panduan lengkap Pinjaman Pembiayaan Komputer & Telefon Pintar Penjawat Awam / Kerajaan

Para pendidik memerlukan set komputer untuk pelbagai tugasan penting seperti mereka bentuk bahan pengajaran, mengakses sumber-sumber pendidikan serta melakukan tugasan-tugasan dalam talian seperti urusan mengemaskini maklumat pelajar.

Para pendidik di Malaysia lazimnya mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk tugasan rasmi. Satakat ini, tiada sebarang peruntukan khas atau subsidi diberikan untuk guru.

Dalam era baharu pendidikan digital, aplikasi pada komputer dan telefon pintar mampu meningkatkan lagi produktiviti guru serta memudahkan komunikasi harian dengan pelajar.

Kami sediakan kepada anda panduan lengkap skim pembiayaan pinjaman komputer penjawat awam jika anda bercadang menambah komitmen perbelanjaan bulanan anda. 😄

Panduan Pinjaman Pembiayaan Komputer & Telefon Pintar Penjawat Awam

Kerajaan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia KW 9.1 telah menawarkan kakitangan kerajaan untuk melakukan pinjaman untuk membeli komputer sebagai salah satu kemudahan kepada mereka.

Ianya menyediakan kadar bayaran balik pembiayaan yang rendah berasaskan kaedah jual-beli dan keuntungan. Tiada unsur riba disini.

Bukan sekadar komputer

Pada penghujung 2016, dalam pengumuman Bajet 2017, kerajaan memperluaskan istilah komputer dengan memasukkan telefon pintar sebagai salah satu peranti yang boleh dibeli.

Pinjaman hanya diberikan kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang bertaraf tetap. Anggota yang bertaraf sementara, kontrak dan sambilan tidak layak untuk dipertimbangkan.

Had pinjaman maksimum bagi komputer dan telefon pintar adalah RM5,000 dengan tempoh bayaran balik ansuran maksimum selama 48 bulan (4 tahun).

Pemohon layak membuat permohonan setiap 3 tahun dengan syarat telah menyelesaikan pinjaman terdahulu bagi pegawai yang pernah memohon.

Apa yang boleh dibeli?

Set Komputer

3 kategori komputer yang boleh anda perolehi adalah:

  1. Komputer dekstop – cth: PC / mini PC / iMac (Apple)
  2. Komputer riba – cth: Laptop / Netbook / Chromebook / Macbook (Apple)
  3. Komputer tablet – cth: Apple iPad / Microsoft Surface (tab hibrid) / tablet-tablet Android (pelbagai jenama)

Telefon Pintar

Jenis telefon pintar yang boleh anda perolehi adalah dari semua jenis telefon pintar (dari pelbagai jenama)  yang sah dan diiktiraf SKMM.

Telefon pintar ini boleh dibeli bersama perisian-perisian dan perkakasan-perkakasan lain. 

Perkakasan lain

Menurut perkeliling, “perkakasan” bererti komponen jenis fizikal yang dihubungkan secara terus dengan komputer / telefon pintar (smartphones). Ia juga merupakan alat yang digunakan sebagai input, aktiviti pemprosesan dan output.

Anda juga boleh mendapatkan perkakasan-perkakasan lain sebagai tambahan bersama unit komputer atau telefon pintar.

Mereka memberi 3 kategori untuk perkakasan:

  • Mesin Pencetak
  • Mesin Pengimbas
  • Peranti Pelbagai Guna (Multifunction Device)

Dalam istilah perkomputeran, item ke-3 iaitu ‘Multifunction Device’ atau MFD merujuk kepada peranti yang menggabungkan pelbagai tugasan. Contohnya, pencetak 3 dalam 1 iaitu menggabungkan fungsi pencetak, pengimbas dan faks.

Kami mencadangkan definisi perkakasan tambahan dikemaskini untuk lebih jelas seiring dengan kepantasan teknologi

 

Dalam konteks yang diberikan juga, kami berpendapat anda juga boleh mendapatkan unit komputer bersama perkakasan-perkakasan ini untuk pembelajaran seperti:

  • Projektor. –> (output video/paparan)
  • Dongle untuk ‘mirroring’ / ‘casting’ seperti Chromecast, Miracast atau Apple TV. –> (output video/paparan)
  • Kit VR – Set kepala untuk paparan ‘Virtual Reality’ atau ‘Mixed-Reality’ –> (sokongan output video/paparan)
  • Pembantu pintar (‘smart speaker’) seperti Apple Homepod / Google Home / Amazon Echo –> (output audio/speaker)
  • Peranti input kreatif seperti Wacom (‘smartpad‘) atau Apple Pencil / Surface Pen. –> (input lakaran).
  • Papan kekunci khas untuk menaip pada tablet. –> (input teks).

Peranti-peranti yang disebutkan diatas merupakan sebahagian peranti input dan output untuk melengkapkan sesebuah unit komputer dalam era baru pembelajaran.

Perisian

Untuk perisian-perisian (yang berbayar), anda boleh memasukkan bersama dengan pakej unit komputer atau peranti pintar.

Perisian-perisian yang boleh dibeli adalah seperti perisian pengoperasian, perisian aplikasi pejabat, perisian multimedia (suntingan grafik/video/web) serta perisian produktiviti lain.

Perlu diingat, perisian-perisian permainan tidak dibenarkan sama sekali.

Jadi, apa yang boleh dibeli?

Tafsiran kami berdasarkan peneletian terhadap peraturan dalam perkeliling, dengan pinjaman ini, pemohon boleh membeli:

  • Satu unit komputer (bersama perisian-perisian), ATAU
  • Satu unit komputer (bersama perisian-perisian) serta beberapa perkakasan tambahan (yang belainan), ATAU
  • Beberapa unit komputer (berlainan kategori) (bersama perisian-perisian), ATAU
  • Beberapa unit komputer (berlainan kategori) (bersama perisian-perisian) serta beberapa perkakasan tambahan (yang berlainan), ATAU
  • Satu unit komputer (bersama perisian-perisian) serta beberapa perkakasan tambahan dan satu telefon pintar (termasuk perkakasan tambahan), ATAU
  • Beberapa unit komputer (berlainan kategori) (bersama perisian-perisian) serta beberapa perkakasan tambahan dan satu telefon pintar (termasuk perkakasan tambahan), ATAU
  • Satu telefon pintar (termasuk perkakasan tambahan)

Anda boleh membeli beberapa peranti dan beberapa perkakasan tambahan dalam satu pembiayaan. Namun, ianya mestilah tidak sama kategori bagi unit komputer dan tidak sama jenis bagi perkakasan tambahan.

Sebagai contoh, sebuah komputer riba bersama sebuah komputer tablet seperti iPad berserta perkakasan tambahan seperti pencetak ‘3 in 1’.

Set komputer juga boleh dibeli bersama telefon pintar. Namun, bagi telefon pintar hanya sebuah sahaja dibenarkan untuk sekali pembiayaan yang sama.

Ini bermakna anda boleh membeli sebuah komputer riba, sebuah iPad dan sebuah telefon pintar dalam skim yang sama.

Pembiayaan membenarkan kombinasi kedua-dua item komputer dan telefon pintar

Tafsiran yang kami lakukan terhadap perkara 5.3 Pekeliling Perbendaharaan Malaysia KW 9.1, adalah bersifat semasa dan seiring dengan perkembangan terkini teknologi dalam pendidikan serta memenuhi keperluan para pendidik dalam abad ke-21.

Lulus atau tidak permohonan anda nanti bergantung kepada proses kelulusan peringkat atasan. Jika objektif utama skim ini diimbas kembali, saya rasanya ianya bukan menjadi masalah besar.

Jumlah Pinjaman dan Sebut harga

Amaun pembiayaan akan dikira kepada angka ratusan ringgit yang kurang. Misalnya :-

  • Jika RM4,888 – pinjaman yang boleh diluluskan ialah RM4,800.
  • Jika RM5,199 – pinjaman yang boleh diluluskan ialah RM5,000.

Sewaktu menghantar sebut harga bersama borang permohonan, tidak menjadi masalah jika jumlah sebutharga seperti di (2) atau melebihi jumlah pembiayaan dimohon.

Kadar bayaran balik bagi pinjaman jumlah maksima dan tempoh masa maksima. Konsep jual-beli digunakan. Kerajaan akan melantik wakil untuk ‘akad’.

 

Namun, pembiayaan diberikan hanyalah mengikut jumlah genapan yang dimohon seperti dalam jadual Lampiran E, KW 9.1. Baki bayaran (jika ada) akan ditanggung oleh anda sendiri.

Perlu diingat, segala urusan pembelian perlu dilakukan oleh anda sendiri dalam Malaysia menerusi syarikat yang sah sahaja.

Rebat akan diberikan jika anda ingin memendekkan tempoh bayaran balik atau melakukan penyelesaian penuh.

Kami nasihatkan resit pembelian juga perlu disimpan untuk anda gunakan sebagai potongan bagi cukai pendapatan nanti.

Langkah-langkah Memohon Pinjaman

1️⃣ Meneliti dokumen Pekeliling Perbendaharaan Malaysia KW 9.1. Dapatkan maklumat lanjut dari jabatan anda untuk sebarang pertanyaan.

2️⃣ Menyemak kelayakan potongan gaji di jabatan masing-masing. Pastikan juga tiada baki pinjaman terdahulu (jika pernah meminjam).

3️⃣ Mengisi borang Kew. 317 dari muka surat 17-18 Lampiran A, KW 9.1. Sediakan dalam tiga (3) salinan bersama lampiran sebutharga dari syarikat yang sah. Sebut harga juga boleh daripada kedai atas talian (online store).

4️⃣ Kemukakan permohonan kepada Bahagian Kewangan Kementerian / jabatan pegawai.

5️⃣ Setelah permohonan diluluskan oleh KSU Pembendaharaan (atau pegawai kanan yang diturunkan kuasa), anda dikehendaki melengkapkan serta menandatangan beberapa dokumen pada Lampiran B, Lampiran C dan Lampiran D, KEW 9.1 (disediakan oleh pihak bertanggugjawab).

6️⃣ Amaun pembiayaan yang diluluskan akan diserahkan oleh Pejabat Pembayar melalui Electronic Fund Transfer (EFT) atau cek ke akaun anda.

7️⃣ Anda dikehendaki menyerahkan resit belian kepada pejabat dalam tempoh 30 hari dari tarikh transaksi EFT/cek. Jika gagal menyerahkan dalam tempoh tersebut, tawaran pinjaman akan terbatal.

8️⃣ Menyemak potongan gaji paling lewat 2 bulan dari tarikh transaksi EFT/cek. Jika menerima pembiayaan pada Januari, potongan gaji paling lewat akan bermula pada gaji Mac. Slip gaji anda akan tercatat potongan pinjaman komputer. Jika tiada potongan dilakukan anda dikehendaki berhubung dengan jabatan untuk melakuan bayaran secara tunai.

Menukar spesifikasi atau pembekal setelah kelulusan

Pegawai yang ingin menukar spesifikasi atau pembekal komputer yang berlainan daripada spesifikasi atau pembekal komputer yang dipohon hendaklah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada pegawai yang meluluskan pembiayaan tanpa melibatkan perubahan kos pembelian.

Muat turun Pekeliling dan Borang Permohonan Pinjaman Komputer

Segala urusan adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Dan Syarat-Syarat Mengenai Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar (Smartphones) Bagi Anggota Perkhidmatan Awam dalam Perkeliling Perbendaharaan Malaysia KW 9.1 seperti dibawah:

⬇️⬇️⬇️

Perkeliling Perbendaharaan KW 9.1
Senarai Semak Borang & Dokumen (KPM)*

*Versi terkini borang permohonan adalah Kew. 317 pindaan 1/2011 berbanding Kew. 317 pindaan 1/93 dalam senarai semak ini. Sila gunakan versi terkini.

Penafian: Panduan diatas berdasarkan semakan dan pemahaman kami terhadap peraturan-peraturan dalam perkeliling semasa serta panduan di portal Jabatan Akuantan Negara Malaysia. Ianya tidak mewakili ketepatan maklumat atau prosedur yang sepatutnya jika berlainan.

Adakah panduan ini berguna untuk anda?. Bantu kami menambahbaik panduan ini dengan fungsi komen di bawah.

Nota: Catatan disunting semula pada 15 Julai 2018 dengan beberapa input baru.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.