SalamWeb Browser – pelayar web patuh syariah

Salah satu sebab mengapa Youtube Kids dibina adalah untuk melindungi kanak-kanak menerusi pengalaman dalam talian yang lebih selamat dengan paparan kandungan yang bersesuaian.

Bagaimana pula jika anak anda sudah semakin membesar dan mula pandai mencari maklumat menerusi engin carian Google untuk pembelajaran?

Pornografi, keganasan, penipuan, buli siber dan pelbagai lagi gejala negatif di Internet pasti menggusarkan anda.

Semalam, portal web teknologi popular Malaysia, Amanz.my berkongsi berita mengenai pelancaran satu satu perkhidmatan pelayar web patuh syariah.

SalamWeb Browser dibina atas platform Chromium sepertimana Google Chrome yang menawarkan pengalaman pelayaran yang pantas dengan ciri keselamatan yang baik. Dilaporkan Microsoft Edge juga akan beralih kepada platform ini pada masa hadapan.

Menariknya, SalamWeb Browser menawarkan fungsi tapisan kandungan dengan menyekat kandungan yang tidak bersesuaian dengan nilai-nilai yang sepatutnya.

Anda juga boleh melaporkan sebarang kandungan yang tidak bersesuaian yang terlepas dari algoritma tapisan mereka.

Selain itu, mereka juga menawarkan ciri-ciri menarik seperti paparan waktu solat, arah kiblat, aplikasi sembang dan sebagainya sebagai pelengkap kepada gaya hidup muslim.

Mereka diberi status patuh syariah daripada Amanie Shariah Supervisory Board. Ia ditawarkan secara percuma kepada pengguna PC, Mac, iOS dan Android.

Saya melihat inisiatif ini sebagai suatu yang baik buat ibu bapa atau pendidik yang mahu memberi pelindungan kepada anak atau pelajar mereka. Ia juga sesuai untuk anda sebagai satu alternatif aplikasi pelayar web.

Muat turun SalamWeb Browser

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.